2 November 2023, 16:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Raja Yusoff Ariffin terpanggil untuk turut memberikan reaksi terhadap isu kehadiran peserta dalam Pertemuan Penyair Nusantara XII kerana beliau telah menyertai banyak acara sastera berskala besar dan kecil sejak muda.

Menariknya, PPN XII juga merupakan acara sastera berskala besar pertama yang saya hadiri setiap hari tanpa menginap di lokasinya.

Walaupun lupa acara sastera pertama apa yang disertai, tetapi saya pasti masih muda ketika itu, dan acara berkenaan berskala kecil.

Pertemuan Penyair Nusantara XII (PPN XII) sudah pun dua minggu berlalu. Tidak disangka, timbul pula polemik mengenai kehadiran pesertanya.

Pada mulanya, saya tidak berminat untuk menyertai polemik ini. Hanya tersenyum sendirian memerhati. Namun demikian, setelah seorang rakan penulis lama menggesa setiap kali saya memberi komen ringkas di ruang komen Facebook, biarpun hanya dua kali, ditambah pula dengan munculnya artikel pertanyaan terhadap kehadiran penulis tua, saya terpanggil untuk memberikan reaksi. Melarat nampaknya isu ini, kata hati saya.

Dalam tempoh beberapa minggu, halaman Reaksi Dewan Sastera JendelaDBP dibanjiri artikel mengenai kehadiran peserta PPN XII, muda dan tua, bermula dengan “Ke Mana Menghilangnya Penulis Muda Kita?” oleh Salman Sulaiman (16 Oktober 2023), yang dibalas segera dengan “Penulis Muda Ada di Sini” tulisan Jack Malik pada hari yang sama.

Kemudian “Sebuah Gumam, ‘Di Sini Rupanya Penulis Tua…’” oleh Naim al-Kelantani (18 Oktober 2023), “Penulis Muda Menyepi daripada PPN XII 2023?” daripada Ramlee Wahab (19 Oktober 2023), dan diikuti dengan “Ke Mana Menghilangnya Penulis Tua Kita Pula?” tulisan Sinaganaga (20 Oktober 2023).

Seperti yang disebutkan awal tadi, saya mulanya malas campur tangan. Walau bagaimanapun, selain kerana gesaan rakan lama penulis, sejak muda hingga kini sudah tua menyertai pelbagai acara sastera berskala besar atau kecil, daripada yang bertaraf kebangsaan sehingga antarabangsa seperti Hari Sastera (di Selangor dan Melaka), Hari Puisi Nasional (Negeri Sembilan), Seminar Pemikiran Sasterawan Negara (Kuala Lumpur), Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa Pangkor atau lebih dikenali sebagai Pulara (Perak), Forum Penyair Asean (Kuala Lumpur), Hari Puisi Sedunia (Selangor), Dialog Utara (ringkasnya, DUTA – Perak), persidangan dan forum, saya fikir, saya berhak untuk turut memberi reaksi.

PPN XII yang saya sertai pada 13 hingga 15 Oktober lalu di Kuala Lumpur ialah acara sastera berskala besar bertaraf antarabangsa yang saya sertai selepas DUTA ke-16 di Ipoh, Perak pada 23 hingga 25 September 2022. Menariknya, PPN XII juga merupakan acara sastera berskala besar pertama yang saya hadiri setiap hari tanpa menginap di lokasinya.

Bagi saya, baik penulis muda atau penulis tua, menyertai perhimpunan, persidangan, kolokium, seminar, wacana, atau forum sastera bukanlah satu kewajipan. Terpulang pada kehendak masing-masing, apatah lagi jika dia orang perseorangan bukan kerajaan (NGI).

Kalau dia NGI dan mampu (membayar yuran penyertaan), serta layak menyertai, sertailah. Jika dia ahli persatuan penulis dan merasakan perlu hadir, sementelah diminta sedemikian, hadirlah. Cuma, dalam kes ini, dia perlu hadir dengan mematuhi arahan, atau memenuhi permintaan pemimpin persatuan yang dianggotai.

“Orang kuat” persatuan seperti presiden dan timbalannya, ataupun setiausaha dan ahli jawatankuasa, bagi saya, wajar hadir. Kurang manis jika mereka tidak hadir walaupun mungkin pula mengundang umpatan pihak lain: “Bos-bos saja yang pergi ke sana ke sini …” (hanya mereka yang berpeluang menyertai setiap acara, baik di dalam atau di luar negara).

Jika mengikut pengalaman sendiri, saya bermula pada usia 20-an dengan menjadi ahli Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor atau KEMUDI di Klang, tetapi agak cepat menarik balik keahlian kerana sering gagal menghadiri acara anjurannya.

Saya tidak lama bergerak solo kerana kemudian menyertai RANTAI (lupa pula nama penuhnya), dan menjadi ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM) sehingga pernah memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa sebelum tewas dalam pemilihan berikutnya kerana tidak hadir. Sementelah KALAM kini bukan lagi persatuan yang sah.

Selain menganggotai KALAM, saya menyertai Seniman Paksi Rakyat (PAKSI), dan sempat bersama-sama Dinsman serta rakan-rakan lain menganjurkan Baca Puisi Madrasah Seni (Kuala Lumpur), Teater Atas Pokok (Selangor), Hening Puisi PAKSI (Johor), Seni & Masyarakat: Tiga Hari Bersama A. Samad Said (Selangor), dan beberapa acara lain sebelum berundur tujuh tahun lalu.

Kemudian, saya menjadi rakan media bagi Tajulmedia Melayu, yang bukan persatuan penulis atau badan bukan kerajaan, sebaliknya syarikat. Selepas kira-kira dua tahun membantunya menganjurkan Bicara Puisi Bukit Nanas dan Jejak Warisan (Kuala Lumpur), saya bersendirian semula.

Kini, saya bebas tanpa sebarang persatuan penulis. Mungkin juga saya akan terus bebas sebegini kerana tidak minat lagi berpersatuan.

Secara umumnya, sejak dahulu saya tidak menghadapi masalah besar sama ada mahu menyertai acara sastera dan budaya atau tidak. Cuma, seperti yang dibincangkan tadi, semasa dalam KALAM dan PAKSI, secara automatik saya berasa perlu menyertai acara sastera dan budaya berskala besar dan kecil di mana-mana pun.

Mengikut pengalaman saya, acara sastera budaya berskala besar masih membincangkan isu yang sama yang tidak selesai-selesai sejak bertahun-tahun. Acara yang berskala kecil pun begitu.

Ketika muda dan kini sudah berusia, saya seboleh mungkin menyertai acara sastera berskala besar dan kecil sehingga pernah sekali dua beberapa orang rakan mengusik dengan kata-kata yang agak menyinggung, puluhan tahun lalu, “Siang malam asyik muka kau saja.”

Walau bagaimanapun, singgungan itu tidak lama menghuni hati kerana saya lebih mengutamakan manfaat yang diperoleh daripadanya. Saya juga masih ingat kata-kata Kemala ketika Allahyarham belum bergelar Datuk Dr. dan Sasterawan Negara ke-11 kepada saya dalam sebuah acara kira-kira empat dekad lalu, “Tulislah. Hantar ke akhbar. Dapat duit …”

Sekarang, sementelah saya menjadi wakil media bebas atau freelance, terpulang kepada saya untuk menyertai ataupun tidak. Tiada siapa yang marah. Hal ini juga bergantung pada lokasi “boleh capai” (accessible) atau tidak – biasanya di Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam kerana usahanya turut membabitkan kos perjalanan yang ditanggung sendiri.

Cuma, sebagai pencinta sastera budaya, kerugian tetap dirasai andainya saya tidak menyertai. Ketidakhadiran disebabkan oleh ada masanya acara itu bertembung pula dengan acara lain yang bukan sastera budaya, yang saya diminta tugasan rasmi untuk membuat liputan.

Berbalik pada pertanyaan Salman dan Sinaganaga, saya sekali lagi menegaskan, hal ini tetap terpulang pada keinginan masing-masing. Selain itu, jangan lupa pada zaman canggih teknologi sekarang. Tidak nampak wajah di lapangan bukan bererti ketinggalan atau “ponteng”.

Penulis muda atau tua kini boleh mengikuti acara sastera budaya menerusi telefon bimbit atau komputer riba atau komputer peribadi masing-masing, asalkan ada rangkaian internet. Sejak kebelakangan ini, terutamanya selepas Perintah Kawalan Pergerakan yang popular dengan sebutan PKP, akibat wabak pandemik COVID-19, begitu banyak acara boleh diikuti menerusi siaran langsung di Facebook dan media sosial lain.

Itu pun masih bergantung pada diri sendiri juga. Mahu mengikutinya atau tidak, terpulang pada diri sendiri.

Pun begitu, pada saya juga secara logik, adalah lebih baik dan bermanfaat penulis muda, termasuk calon penulis menyertai bengkel penulisan daripada mengikuti pertemuan, persidangan, kolokium, atau seminar yang membincangkan isu-isu besar. Lebih berfaedah bagi mereka untuk mencari ilmu menjadi penulis atau pengarang besar!

Mengikut pengalaman saya, acara sastera budaya berskala besar masih membincangkan isu yang sama yang tidak selesai-selesai sejak bertahun-tahun. Acara yang berskala kecil pun begitu.

Selain membosankan penulis tua, penulis muda yang pertama kali mendengarnya akan cuak dan bingung kerana terpaksa memikirkan isu besar, sedangkan baru menjadi penulis, atau berminat (calon penulis). Mungkin mereka akan kurang atau hilang minat terus menjadi penulis.

Tiada makna juga menyertai acara sastera berskala besar jika tidak memahami/meminati perkara yang dibincangkan. Mereka kebosanan sehingga akhirnya berlegar-legar meminta tandatangan penulis tua untuk buku antologi khas acara berkenaan yang dibeli. Tidak kurang juga yang berswafoto dan berwelfie. Malang sungguh kerana hal itu dilakukan ketika sesi perbincangan sedang rancak berlangsung!

Jadi, tidak perlu digusarkan sangat kurangnya penulis muda menyertai acara berskala besar seperti PPN XII sebulan lepas. Kebanyakan mereka yang baru menjadi penulis kurang meminati, atau bersedia untuk memikirkan perkara-perkara yang besar.

Penulis tua juga tiada erti menyertai kalau lebih kepada berbual-bual, dan tidak menumpukan perhatian pada perbincangan kerana bosan atas isu yang sama dan serupa sejak bertahun-tahun. Dengan kemudahan telefon bimbit, mereka turut riang gembira saling bergambar. Hal ini malah dibisikkan ke telinga saya oleh seorang rakan penulis yang relatifnya masih muda!

Mengikut pengalaman juga, saya dapat melihat banyak wajah yang sama – dalam lain perkataan, “balik-balik orang itu” – mengikuti apa-apa sahaja acara sastera besar kecil. Cuma, sejak setahun dua ini terdapat agak ramai wajah serupa itu telah tiada – antaranya kerana masalah kesihatan atau sudah meninggal dunia.

Kadang-kadang saya turut terfikir, kecilkah khalayak sastera negara kita kerana wajah yang serupa sahaja menghadiri setiap acara. Namun begitu, jika difikirkan kembali, mujur juga ada wajah-wajah yang sama itu. Kalau tidak, langsung tiada peserta atau hadirin. Justeru, sama ada penulis muda atau tua, kehadirannya tetap dialu-alukan, dan dihargai.

Kredit Foto: Nicholas Chew/Unsplash

______________________________

Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.