Oleh Izzat Isa
23 Oktober 2023, 13:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Izza Isa menulis reaksi balas polemik tulisan Salman Sulaiman, Jack Malik dan Lokman Hakim.

Walau zaman berubah dan generasi saling bertukar generasi, percayalah, konsep ‘the angry young men’ tetap wujud di sanubari setiap orang muda, termasuklah buat kalangan penulis.

Saya tidak berhasrat untuk memanjangkan persoalan yang dilontarkan oleh Sdr. Salman Sulaiman dalam tulisannya bertajuk “Ke Mana Menghilangnya Penulis Muda Kita?”, tetapi sekadar menitipkan pandangan peribadi bukan daripada penulis muda (jika ukurannya ialah karya bermutu), tetapi sebaliknya sebagai peminat dan pembaca sastera.

Daripada tulisan yang dilontarkan oleh Salman, dapat dirasakan kekecewaan beliau terhadap ketiadaan penulis muda di majlis sastera peringkat serantau yang baru-baru ini berlangsung di ibu kota. Daripada pemerhatian saya, yang dikhuatiri oleh beliau ialah kehadiran penulis muda yang menonjol dengan kekuatan karyanya. Sebab itu beliau memberikan contoh siapa itu “penulis muda”, mengikut garis panduan berdasarkan pemilihan Sasterawan Muda MASTERA dan mempersoalkan kenapa penyair mapan seperti Zaen Kasturi tidak diketengahkan sebagai pembentang. Saya percaya yang dipersoalkan bukanlah daripada aspek usia kerana pada majlis itu memang tampak kehadiran penulis muda, seperti Nimoiz T.Y.

Pada saya, persoalan yang lebih serius yang ingin dilontarkan ialah bentuk jalinan hubungan antara kedua-dua kelompok penulis, penulis veteran dan penulis muda dan beliau berharap sastera ini dibangunkan bersama-sama, gandingan antara kedua-dua generasi ini. Sdr. Jack Malik sebagai generasi penulis muda sudah pun menjawab dengan menyatakan tidak semua penulis mengetahui acara tersebut dan sememangnya segala aktiviti sastera wujud berdasarkan jenis gelembung-gelembung yang tersendiri. Sdr. Lokman Hakim pun sudah memberikan reaksi dari sudut penglibatan penulis muda dengan aktiviti berpersatuan sastera.

Saya sendiri bersetuju dengan pandangan Sdr. Jack Malik dan Sdr. Lokman Hakim. Walau apa-apa pun bidang, sememangnya tetap wujud jurang generasi waima dalam bidang politik dan pentadbiran. Peranan generasi muda sememangnya sama sepanjang zaman, yang membezakannya adalah dari sudut medium dan wahana. Walau zaman berubah dan generasi saling bertukar generasi, percayalah, konsep the angry young men tetap wujud di sanubari setiap orang muda, termasuklah buat kalangan penulis. Perkara membara di dada inilah yang menyebabkan penulis berusaha menulis perkara-perkara yang di luar kebiasaan (konvensi) penulisan yang sedia ada.

Buktinya sudah wujud zaman-berzaman. Abdullah Munsyi berusaha menulis tidak seperti penulisan penulis sebelumnya atau sezaman dengannya. Begitu juga oleh penulis dalam kalangan Kaum Muda seperti Syed Sheikh al-Hadi, Ahmad Rashid Talu, Raja Ali Kelana, Sheikh Tahir Jalaluddin, Haji Abbas Taha, dan ramai lagi. ASAS 50 sendiri pun cuba menambah baik mutu penulisan mereka yang kita akui banyak terpengaruh daripada kesusasteraan Indonesia. Begitu juga dengan Anak Alam yang “membina” citra kreatif melalui jalannya yang tersendiri. Lima belas tahun lampau, rumah terbitan indie juga telah memberi ruang kepada penulis terutamanya penulis muda untuk “beraksi”, sama seperti sebelumnya untuk cuba menongkah arah.

Di negara tetangga seperti Indonesia pun tidak terkecuali. Lihat bagaimana Angkatan 45 telah membawa perubahan dalam bentuk penulisan mereka daripada angkatan sebelum mereka, iaitu Pujangga Baru. Begitu juga penulis-penulis generasi terkemudian, iaitu Angkatan 60. Jurang tempoh antara ketiga-tiga generasi adalah tidak jauh, namun telah wujud perubahan yang ketara sehingga perlu diwujudkan nama dan istilah buat kelompok sedemikian. Perkara-perkara perubahan yang diketengahkan oleh penulis muda ini sememangnya lumrah, walaupun ada juga yang dikenali dengan istilah seperti “ekspresi”, “eksperimen”, “pembaharuan”, mahupun “perjuangan”. Hal ini ialah kitaran roda.

Hal yang perlu dirisaukan ialah sastera di negara kita ini sudah tidak berfungsi seperti perkembangan sastera pada awal abad ke-20 dan dekad selepas merdeka.

Gelembung-gelembung seperti yang dinyatakan oleh Sdr. Jack Malik sememangnya benar. Saya fikir Sdr. Salman sendiri pun tidak mengetahui banyak aktiviti sastera di sekitar Perak, Pulau Pinang, Johor, atau Sarawak jika hanya terdedah dengan aktiviti anjuran badan gabungan dan persatuan penulis yang disertai oleh beliau sahaja. Semua penulis mempunyai impian dan harapan dalam penulisan mereka. Begitu juga dengan berpersatuan atau kelompok kolektif, masing-masing mempunyai tujuan dan kaedah pergerakan mereka. Jika kegusaran sebenarnya ialah jalinan antara kedua-dua (penulis veteran dengan penulis muda, berpersatuan atau bergerak sendiri dengan kolektif), saya percaya hal ini tidaklah buruk seperti yang disangkakan.

Hal yang perlu dirisaukan ialah sastera di negara kita ini sudah tidak berfungsi seperti perkembangan sastera pada awal abad ke-20 dan dekad selepas merdeka. Sastera kini sudah tidak dibaca sebagai keperluan dan kehendak rakyat umum. Bukan sekadar hanya berlegar dalam kalangan para penulis, sasterawan, penyair, dramatis, artis, sarjana sastera, dan pelajar sastera sahaja. Buktinya mungkin boleh dilihat daripada jualan buku Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP, sebagai penanda aras pembangunan sastera tanah air), penglibatan orang awam dalam majlis dan aktiviti sastera, dapatan kajian dan tinjauan, jumlah pelajar sastera, jumlah penulis, atau apa-apa sahaja indikasi yang boleh diguna pakai. Mengapa situasi ini terjadi?

Saya percaya, sastera telah berevolusi. Sastera moden sudah tidak “terperangkap” dalam bentuk buku puisi, cerpen, drama, novel, dan seumpamanya, sebaliknya telah menjalar membentuk dirinya ke arah “bentuk” yang lain, sesuai dengan peredaran masa dan zaman. Sastera kini menjadi sebahagian daripada drama televisyen, sitkom, komik, filem, animasi, dan terkini, turut berkembang dalam bentuk video pendek. Apakah elemen penting dalam sastera yang sudah berubah itu? Jawapannya ialah nilai kreatif. Perkara yang sama dialami oleh watak Pak Hassan dalam novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman nukilan Sasterawan Negara Anwar Ridhwan apabila memperlihatkan perubahan masyarakat yang sudah beralih minat daripada mendengar cerita-cerita lisan kepada radio. Medium sastera itu sendiri sudah berubah dan begitu juga khalayaknya.

Jika hendak dikira jumlah penyair (mengikut nama majlis pertemuan tersebut), barangkali memang ramai tetapi yang dicari ialah penyair yang mapan. Pasti ada penulis dan penyair yang mengikuti sesuatu program untuk mendapat kesan terbaik dalam proses pengkaryaannya. Tidak terkecuali yang menghadiri program untuk bersilaturahim. Majlis ini diadakan di Malaysia, oleh itu persoalan ini dilontarkan kepada penulis tanah air. Akan tetapi, dalam masa yang sama, adakah semua penulis muda terkemuka dari Indonesia, Singapura atau Thailand misalnya, hadir kesemuanya? Jika majlis tersebut diadakan di Brunei, adakah semua penulis muda ternama Malaysia turut hadir? Bukan semua penulis mempunyai kelapangan masa, malah ada yang mempunyai sebab-sebab kekangan tersendiri.

Ya. Saya akui nama majlis itu sendiri berstatus serantau. Akan tetapi, faktor penganjur juga perlu diteliti. Adakah penganjur mewakili kesemua penulis atau organisasi penulis? Jawapannya tidak. Jambatan kabur antara penulis veteran dengan penulis muda sebenarnya telah pun diusahakan, misalnya daripada usaha-usaha En. Mohd Khair Ngadiron dalam Majlis Buku Kebangsaan Malaysia dan Dr. Fahd Razy serta kru Grup Karyawan Luar Negara yang mewujudkan laman Hebahan Aktiviti Penulisan, Sastera, dan Perbukuan di Facebook. Yang perlu diberi perhatian adalah untuk memperkasakan jambatan tersebut demi perancangan tahun-tahun hadapan.

Persoalan yang dilontarkan oleh Sdr. Salman sememangnya merupakan kerisauannya terhadap proses peralihan dari satu generasi ke satu generasi dalam memenuhi perkembangan dan kemajuan sastera. Pada pandangan saya, sebagai peminat, perkara ini merupakan lumrah, bukan sahaja dalam bidang penulisan, malahan dalam apa-apa jua bidang apabila memperkatakan hal mencari pelapis. Ketidakhadiran penulis muda ternama bukanlah penanda akhir pada kelangsungan sastera. Semua ini merupakan proses, dan proses ini normal. Saya percaya persoalan ini juga turut membelenggu di negara lain, terutamanya di negara-negara membangun.

Persoalan ini lebih pada kerisauan yang diminta daripada perbahasan. Hal ini tidak berbeza jika ditimbulkan pula persoalan seterusnya, iaitu apakah bentuk sastera mendatang? Mutakhir, telah wujud kebimbangan bahawa teknologi AI yang akan mengambil alih peranan para penulis. Persoalan ini juga turut dibincangkan dalam pertemuan penyair terbabit. Untuk hari ini, penulis muda masih ada dengan cita-cita mereka dan dunia sastera kita tetap berkembang, tetapi masih tidak diketahui bagaimana pula bentuknya pada kemudian hari, kerana kita semua merupakan pengikut semata-mata, bukannya peneroka dan perintis awal.

Kredit Foto: Misbahul Aulia/Unsplash

_________________________

Izzat Isa merupakan graduan sarjana dalam bidang Kesusasteraan Bandingan dari Universiti Sains Malaysia. Menulis secara sambilan dan pernah menghasilkan buku kajian berkaitan teater tradisional berjudul Jikey: Teater Warisan Langkawi. Beliau merupakan ahli Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dan Persatuan Karyawan Pulau Pinang. Kini bertugas sebagai pengurus di muzium seni ilusi terbesar di Malaysia yang terletak di Pulau Langkawi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.