Oleh Asrar Ab Latif
29 September 2023, 17:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Majlis Hari Sastera Ke-19 anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung selama dua hari, dari 29 hingga 30 September membuka tirainya pada hari ini di Hotel Promenade.

Dalam sesi penyampaian ucap utama, YBhg. Datuk Profesor Dr. Ts. Ramzah Dambul menjelaskan bahawa sastera sudah bermula lebih lama daripada sains dan teknologi, bermula daripada kewujudan tamadun dahulu seperti tamadun Yunani, Mesopotamia, Islam dan China.

YBhg. Datuk Profesor Dr. Ts. Ramzah Dambul semasa menyampaikan ucap utama.

Kesemua tamadun tersebut dicirikan dengan satu persamaan, iaitu ciri ketamadunan bangsa, bukannya teknologi. Kini, menyedihkan apabila sastera dilihat jauh ketinggalan berbanding dengan bidang sains dan teknologi.

Beliau menggagaskan Sastera Maju Jaya yang berkonsepkan ‘sastera untuk masyarakat’ serta menjadikan sastera sebagai gratifikasi, terapi dan industri. Selain itu, beliau juga mengemukakan tiga perkara penting berkaitan dengan gagasan tersebut, iaitu Sastera Sosiopolitik melalui diplomasi dan polisi, Sastera Sosiobudaya melalui pendidikan, kesihatan mental dan perpaduan etnik, dan Sastera Sosioekonomi melalui industri kreatif dan pelancongan.

YBhg. Profesor Dr. Hashim Ismail, pensyarah di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dalam pembentangannya bertajuk “Sastera Kebangsaan: Isu dan Masa Depan” pula mengatakan bahawa:

Perkembangan sastera pada peringkat antarabangsa juga akan cepat mendapat perhatian para sasterawan kerana lintas maklumat yang segera dalam era digital dan teknologi komunikasi.

Encik Saifullizan Yahaya, Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP sedang memperkatakan tentang peranan DBP dalam pembinaan sastera kebangsaan.

Dalam sesi tersebut juga, Encik Saifullizan Yahaya yang merupakan Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera, DBP melihat peranan DBP dalam membina dan memperkembangkan kesusasteraan kebangsaan di Malaysia. Beliau menjelaskan bahawa kesusasteraan kebangsaan ialah apa-apa juga karya dan hasil sastera yang dicipta dalam bahasa kebangsaan oleh warganegara Malaysia yang dapat menyumbang ke arah pembinaan negara bangsa. Jelas beliau lagi,

Peranan DBP dalam rancangan lima tahunnya adalah berdasarkan Pelan Strategik DBP 2021-2025, khususnya peranan DBP dalam pembinaan dan perkembangan kesusasteraan kebangsaan di negara ini.

Harapan beliau agar gerakan persatuan penulis dapat bersama-sama dengan DBP untuk menyemarakkan lagi pemartabatan kesusasteraan kebangsaan di peringkat antarabangsa sekali gus dapat memberi nilai kepada bahasa dan sastera Melayu.

Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah melihat peranan DBP Cawangan Sabah dalam memperkayakan dan melestarikan sastera di Sabah.

Perkara ini turut disokong oleh Puan Aminah Awang Basar, Pengarah DBP Cawangan Sabah dalam pembentangannya bertajuk “Sastera Lestari, Sabah Madani: Membina dan Mengembangkan Sastera di Sabah melalui Penerbitan Majalah”. Ujarnya dalam pembentangan tersebut, “Selama 45 tahun bermula pada tahun 1978 hingga kini, DBP Cawangan Sabah telah melaksanakan tanggungjawabnya dalam memastikan sastera di Sabah terus berkembang dan lestari, khususnya melalui penerbitan majalah. Bermula dengan majalah Dewan Perintis Edisi Sabah, Wadah, sehinggalah kepada pembangunan portal majalah maya Wadah DBP, DBP Cawangan Sabah ternyata konsisten dalam membantu melahirkan bakat baharu dalam kalangan penulis muda, menerbitkan karya sastera bermutu, dan membina kelompok sasterawan mapan serta prolifik di negeri ini.”

Encik Abang Haliman Abang Julai selaku Pengarah DBP Cawangan Sarawak melihat warna-warni kepelbagaian etnik di Sarawak menambahkan lagi nilai dalam sastera kebangsaan.

Menyorot sudut pandang Encik Abang Haliman Abang Julai, Pengarah DBP Cawangan Sarawak dalam kertas kerjanya bertajuk “Naratif Sastera Kebangsaan di Sarawak Sebuah Penelitian Refleksi Situasi”, beliau menjelaskan bahawa,

Kepelbagaian etnik di Sarawak telah memberikan warna keunikan yang tiada di tempat lain. Kelainan budaya, bahasa dan agama menjadi kekuatan ke arah saling memahami dan toleransi. Dalam pada itu, DBP Cawangan Sarawak turut giat mengadakan kegiatan pengiktirafan untuk penulis di Sarawak. Antaranya ialah Anugerah Sastera Negeri Sarawak sejak tahun 1994, SEA Write Award dan Tokoh Puisi Kebangsaan (GAPENA).

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.