Oleh Ramzah Dambul
12 Januari 2024, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ramzah Dambul bercerita tentang bagaimana buku unik tentang “healing” antara beliau dengan Saharil Hasril Sanin dihasilkan.

Saya dan Saharil mempunyai satu persamaan yang begitu intim. Kami berdua merupakan filsuf tegar tentang emosi, dan suka menulis perihal orang-orang patah hati.

Apakah yang akan berlaku apabila saintis dan jurutera bertemu di sebuah kafe, bersembang santai tentang polemik susastera dan seni, sambil mencicip kopi suam-suam kuku?

Akan terilham sebuah karya yang merentas genre; yang keluar daripada kepompong tradisi penulisan kreatif dan mencipta nuansa persuratan yang tersendiri. Inilah asal usul cetusan idea yang membawa kepada kelahiran Kentang Alien (2023) yang diterbitkan  oleh Studio Anai Anai.

Secara peribadi, saya menghargai buku ini sebagai naskhah yang unik dan istimewa. Proses pembukuannya memang agak ruwet, dan melangkau beberapa tahun. Akan tetapi, seluruh pengalaman itu sungguh mencelikkan; dan penamatnya memberikan gratifikasi emosi serta katarsis jiwa yang bukan alang-alang.

Apa sebenarnya seru yang memulakan percambahan idea Kentang Alien?

Dalam Alien Menchari Chinta (2012), saya menulis: “Luka bukan dicipta oleh hati yang ditinggalkan, tapi oleh rasa yang enggan melepaskan.” Dalam Dentang (2016), Saharil menulis: “Untuk luka menjadi sembuh, kau mesti berhenti menyentuhnya.”

Saya dan Saharil mempunyai satu persamaan yang begitu intim. Kami berdua merupakan filsuf tegar tentang emosi, dan suka menulis perihal orang-orang patah hati. Kami sering mengangkat luka sebagai metafora untuk menzahirkan imaginasi kreatif tentang pergelutan manusia, sama ada menerusi penulisan mahupun lukisan.

Pada tahun 2011, saya pernah mengulas buku Saharil berjudul Kentang. Buku ini merupakan magnum opus bagi genre coretan pendek, yang menggabungkan elemen fiksyen dan fakta. Koleksi catatan ini wajib dibaca oleh semua pemburu kehidupan dan perindu kenangan.

Tapi sebenarnya, saya cuma bertemu Saharil secara bersemuka buat pertama kali pada awal tahun 2012. Pada penghujung tahun yang sama, beliau menjadi pelukis ilustrasi jemputan untuk buku kumpulan puisi sulung saya, Alien Menchari Chinta.

Buku itu kemudian dinobat sebagai penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia bagi kategori utama. Inilah anugerah sastera pertama saya seumur hidup, dan saya tidak pernah menerima apa-apa bentuk pengiktirafan pun sebelumnya. Tetapi Saharil sudah lama dikenali dalam kalangan penggiat sastera Malaysia; menerusi pelbagai hadiah kemenangan dalam bidang persuratan.

Saya sudah lama mahu menghasilkan manuskrip bersama-sama Saharil Hasrin Sanin. Saya fikir seni pengkaryaan kami ada keserasian yang begitu erat, terutama dari segi semangat dan idealisme.

Dipendekkan cerita, pada tahun 2023, kami sepakat menukang sebuah buku secara bersama dengan judul Kentang Alien. Tajuk ini merupakan saduran naskhah suka ramai kami, Kentang (Saharil, 2011) dan Alien Menchari Chinta (Ramzah, 2012). Namun begitu, pengisiannya masih segar dan baharu, bukan cuplikan ulangan kedua-dua buku tersebut.

Saya sudah lama mahu menghasilkan manuskrip bersama-sama Saharil Hasrin Sanin. Saya fikir seni pengkaryaan kami ada keserasian yang begitu erat, terutama dari segi semangat dan idealisme. Kami cuma berbeza identiti, kerana pembawaan saya selalu membuai dan melankolik. Karya Saharil lebih provokatif dengan sisi-sisi humor yang gelap.

Kami berdua menulis sastera visual. Saya menggabungkan puisi dan dudel. Saharil menggandingkan prosa dan contengan. Mungkin ada yang menganggap kami ini anarkis persuratan, yang gemar melanggar status quo dan aturan. Tapi sebenarnya, kami tidak pernah meremehkan tradisi sastera aras tinggi.

Apabila “kentang” dan “alien” bertemu untuk maslahat manusiawi.

Kami bukan suka-suka keluar daripada acuan, sebab kami kurang reti bersaing atau tidak tahu menempatkan diri dalam arus perdana. Kami memang sengaja mahu bebas dan liar. Memilih untuk jinak, memang boleh mendapat banyak kelebihan. Nanti akan disogoh sangkar emas, dan dedak yang lunak. Tetapi kami bukanlah karyawan yang gemar dikurung, dimanjakan dan dimiliki.

Sebagai karyawan, falsafah kami seiring dan sehaluan. Seni dan sastera mesti membebaskan imaginasi dan emosi. Bukan untuk membebankan rasa dan minda. Kami berkarya untuk gratifikasi peribadi dan harga diri. Bukan untuk mengejar hadiah, pulangan materi atau populariti.

Apakah inti pati yang cuba saya dan Saharil komunikasikan dalam Kentang Alien, himpunan hikmah untuk healing? Naratif tunjang buku itu adalah persoalan hati dan bagaimana mengurus emosi. Setiap orang ada fitrah masing-masing. Kita semua bercinta, terluka dan sembuh dengan cara berbeza.

Sebab itu, untuk sembuh daripada dusta dan peristiwa yang melukakan — kita tidak semestinya perlu kaunseling berjela-jela. Ada waktunya, kita cuma perlu masa untuk bersendiri dengan sebuah buku untuk dibaca, sambil hilang seketika dalam dunia yang sunyi.

Kami cuba berkongsi hikmah, bukan memberi tarbiyah atau khutbah. Supaya semua pembaca boleh menemukan dirinya masing-masing, kemudian mencipta proses penyembuhan kendiri. Begitulah sedikit perkongsian saya tentang proses kreatif Kentang Alien.

Kredit Foto: Ramzah Dambul

Kentang Alien: Himpunan Hikmah untuk Healing boleh dibeli di sini.

_________________________

Ramzah Dambul (Prof. Madya Datuk Ts. Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013), Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017). 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.