Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRamzah Dambul menyatakan cara nuansa dan nafas sains boleh terserap dalam penulisan kreatif.
Disiplin sains melatih pemikiran dengan aliran logik yang lebih kemas dan daya empirikal yang lebih jelas. Nuansa inilah yang diramu dan diadun ke dalam sajian sastera, dengan nada yang halus tersirat.
Menerusi tulisan-tulisan saya yang lepas dalam kolum ini, tersurat satu premis yang jelas. Sains dan sastera ialah dua tradisi persuratan yang mampu bersinergi intim dan saling melengkapkan. Namun begitu, masih ada persoalan yang kerap dibangkitkan: “Secara lebih khusus, bagaimana sebenarnya sains bersimbiosis dengan sastera?”
Saya kadang-kadang agak sentap dan tersentak apabila ada orang mengujarkan: subjek-subjek sains dan teknologi sepatutnya ditulis oleh para saintis yang berkecimpung dalam karya fiksyen. Alasan yang selalu diberi; kerana mereka lebih menguasai isu-isu tersebut. Saya fikir perspektif ini dangkal dan simplistik. Begitu sahajakah cara orang sains menyumbang pada usaha memperkaya korpus susastera? Seolah-olah hanya dengan cara menulis tentang corona virus, inovasi digital, bioteknologi, tenaga nuklear, atau tema-tema seumpama.
Dalam kulinari, kita bermula dengan bahan-bahan mentah, kemudian disusuli oleh proses memasak. Hasilnya nanti ialah hidangan, yang sedia untuk disaji dan disantap. Jika bidang penulisan fiksyen ditamsilkan sebagai resipi, itulah juga tiga elemen utamanya: mempunyai ramuan (ilmu dan informasi) dan teknik masak (gaya olahan), sebelum hidangan dapat disiapkan (karya akhir).
Dalam konteks persuratan kreatif, apakah peranan sains dalam analogi kulinari? Sains tidak sekadar menjadi salah satu bahan yang meramu resepi susastera tersebut. Bahkan, sains juga seharusnya diangkat sebagai satu teknik memasak. Ya, elemen sains boleh teradun intim, sama ada ketika penyediaan bahan asas mahupun proses memasak, yang fungsinya signifikan dalam menentukan citra rasa sesuatu sajian.
Justeru, kemunculan karyawan sastera dengan latar disiplin sains — boleh memberi nilai tambah tersendiri pada karya-karya fiksyen. Hal ini bukan sahaja dari segi pengisian, tetapi juga bagi aspek pendekatan dan teknik. Nuansa sains yang objektif dan sistematik, boleh disadur secara tegar dalam proses kreatif, yang bersabit teknik penyusunan dan pengolahan idea.
Fahd Razy merupakan antara pengarang Malaysia paling berbakat, bukan sahaja berdasarkan produktiviti karya, malah merit penulisan yang diukur menerusi gugusan hadiah dan anugerah yang diraih. Beliau juga amat serba boleh kerana mampu menulis karya berkualiti yang merentas genre prosa dan puisi. Fahd Razy berlatarbelakangkan bidang sains, dengan kerjaya profesional selaku seorang doktor perubatan.
Aktivis sastera ini giat mendukung kegiatan-kegiatan pembangunan bakat sastera, terutama dalam kalangan penulis muda. Fahd Razy memperkenalkan konsep “sains menulis puisi” sebagai satu komplementari kepada “seni menulis puisi”. Bagaimana dua pendekatan ini berbeza, tetapi saling mengisi jurang yang lompong antara kedua-duanya?
Sebagai satu seni, teknik penulisan puisi selalu didekati dengan kaedah yang sifatnya subjektif dan impresionistik. Ia banyak berasaskan kepada gerak naluri dan penghayatan. Ya, perkara ini amat bermanfaat dalam usaha membina kreativiti dan meluaskan imaginasi. Namun begitu, pendekatan berasaskan seni kadang-kadang menjadikan panduan menulis bersifat agak abstrak dan samar. Hal ini sekali gus menyuguhi para penulis baharu dengan saranan yang kurang praktikal, iaitu teknik yang sukar “diulang semula” (baca: reproducible) dalam pelbagai keadaan yang lain.
Fahd Razy, yang datang daripada disiplin akademik bernafas sains empirikal, memperkenalkan kaedah yang lebih objektif. Pendekatan “sains menulis puisi” berfokus pada pola-pola yang terdapat dalam sajak serta bagaimana ia mempengaruhi kekuatan dan kelemahan sesebuah karya. Pola tersebut dibina dengan data perbandingan hasil penelitian puisi-puisi yang terbukti secara konsensus sebagai berkualiti tinggi. Formula ini kemudian disusun sebagai panduan penulisan yang bersifat teknikal, disokong oleh manual silibus yang lebih mudah dihadam dan diikuti.
Ya, memang benar. Kaedah yang lebih sistematik dengan tatacara tersusun rapi begini, barangkali terlalu rigid dan kurang memberikan penekanan pada konsep pencernaan ilham kreatif. Namun demikian, Fahd Razi sendiri mengakui secara eksplisit bahawa pendekatan menulis puisi daripada mazhab sains dan seni ini sebenarnya perlu dipupuk bersama. Agar kedua-dua kemahiran fundamental dalam penulisan puisi dapat dipenuhi secara tuntas, iaitu teknik yang persis dan idea yang tajam.
Seperti Fahd Razy, saya juga cenderung untuk menggunakan kekuatan latar belakang sains sebagai satu kaedah dan gaya dalam penulisan. Ya, tidak semestinya menggunakan ilmu dan informasi sains secara langsung sebagai tema-tema penulisan sastera. Disiplin sains melatih pemikiran dengan aliran logik yang lebih kemas dan daya empirikal yang lebih jelas. Nuansa inilah yang diramu dan diadun ke dalam sajian sastera, dengan nada yang halus tersirat.
Dalam satu dialog terbuka tentang dikotomi sastera dan sains, saya pernah ditubi dengan soalan yang sedikit provokatif. Lebih kurang berbunyi begini: “Sebagai seorang saintis dan ahli klimatologi, kenapa anda tidak menulis subjek-subjek ini dalam karya sastera?”
Dalam bahasa mudah, seolah-olah saya dicebik — apa guna saintis menceburi sastera jika tidak membawa kelainan berbentuk silang disiplin. Apa yang tidak disedari oleh ramai orang, nuansa sains sebenarnya tersimpul dengan erat dalam kebanyakan karya saya. Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh pernah membangkitkan perkara ini, tentang kecenderungan saya bermain dengan imej semiotik daripada unsur-unsur cuaca dan iklim. Sungguhpun subjek teras penulisan itu sendiri bukanlah tentang alam sekitar, tetapi lebih kepada hal ehwal keinsanan.
Dalam buku Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012), saya menggunakan metafora berasaskan sains atmosfera dalam hampir setiap muka surat. Perlambangan emosi dan naratif cerita digarap dengan petunjuk-petunjuk klimatologi, seperti air, angin, hujan, laut, ombak, pasir, dan seumpamnya. SN Profesor Emeritus Dr. Muhammad, salah seorang panel juri yang memilih Alien Menchari Chinta sebagai penerima anugerah utama Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012, pernah menyatakan “kedalaman tersendiri” elemen semiotik berbentuk imej-imej cuaca dan iklim yang saya nukilkan dalam puisi.
Sebenarnya, inilah satu tabiat penulisan yang tidak pernah dirancang atau disengajakan. Malah, saya sendiri tidak pun menyedari tentang kecenderungan yang ketara ini, sehinggalah saya duduk merefleksi sambil meneliti semula penulisan-penulisan yang lepas. Gaya itu datang seperti fitrah semula jadi kerana selaku seorang klimatologis, saya didedahkan dengan sifat-sifat fizikal sistem udara dan hidrologi secara rinci, selama bertahun-tahun. Saya bukan hanya memahami deskripsi puputan angin, pusaran air dan pupulan ombak, bahkan saya boleh membayangkan dalam minda gerakan-gerakan fizikal itu dengan begitu grafik.
Kepersisan cerapan empirikal inilah, yang secara natural membentuk gaya kepengarangan saya sebagai seorang penyair. Untuk memberi ilustrasi bagaimana latar sains (baca: penggunaan imej-imej metafora cuaca dan iklim) membentuk pemikiran sastera saya, dikongsikan tiga puisi karya sendiri yang ditulis dalam jarak lebih sedekad. Puisi pertama termuat dalam buku Alien Menchari Chinta (ditulis pada tahun 2005), puisi kedua tersiar dalam majalah Wadah (Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2013 kategori eceran), dan puisi ketiga dinukil pada tahun ini untuk terbitan Dewan Sastera edisi Jun 2021.
Jangan sangka dan mengharap para saintis sekadar meramu subjek-subjek sains sebagai tema dalam penulisan sastera. Saintis juga boleh mengadun nuasa dan nafas sains sebagai satu pendekatan tersendiri sewaktu proses kreatif dalam menghasilkan karya-karya sastera. Penerapan dengan cara kedua ini jauh lebih bermakna dari segi nilai tambah silang disiplin.
Tentang Esok
Yang kulihat, hanya dia
yang basah rambutnya
sesudah puas menari
di atas air.
Yang kuingat, hanya rindu
yang bening warnanya
sesudah disuburkan
dengan mimpi.
Ini puisi tentang esok
tapi sebetulnya
bercerita tentang dia
pada hari-hari dulu.
Mengapa, ya
aku tiba-tiba rindu
pada rambutnya
yang basah itu?
1 Mei 2005
Norwich, Norfolk
Selepas Hujan
i: prolog
Saat hujan turun
kau berbisik padaku
mari kita basah berdua,
sesudah teduh
kenapa berpaling rasa?
ii: epilog
Di celah rambutmu
yang basah itu
ada tersisip cinta,
baunya lebih menusuk
daripada sekebun mawar.
Aku melihat dari jauh
cinta itu diterbangkan angin,
kerana rambutmu mula kering
bila kau melangkah pergi.
iii: monolog
Sebenarnya
jika kau menoleh
walau hanya separuh hati,
aku masih boleh pulangkan
cinta yang tercicir
cuma setapak di belakangmu.
Tapi aku percaya
kau tidak lagi peduli,
dalam dingin hujan tadi
mungkin kau diam-diam tahu
aku bukanlah lelaki itu.
Yang pernah datang
dalam mimpimu.
September 2012
Teluk Sepanggar
Gawat Musim Gelora
Memilih menjadi pejuang
bererti kau seorang nahkoda
yang mahu melawan samudera
ketika gawat musim gelora.
Pertama, kau kenal kapalmu
kayu apa membina lambung
serat apa menganyam layar.
Supaya kaudapat mengukur
debur ombak dan desir taufan
yang mampu ditanggung
geladak kapalmu.
Kedua, kau kenal lautmu
teluk mana ingin disusur
pelabuhan mana mahu dituju.
Supaya kaudapat menyukat
kilas angin dan keluk arus
yang mampu mengapung
haluan kapalmu.
Yang ketiga, paling genting
sesudah mengarifi kapal dan lautmu
jangan kau lupa membaca dirimu.
Kerana seorang nahkoda
tidak boleh menjinakkan gelora
sebelum menjinakkan diri sendiri.
Mei 2021
Kota Kinabalu
_________________________
Ramzah Dambul (Prof. Madya Datuk Ts. Dr.) ialah seorang sarjana bidang sains atmosfera; yang gemar berpuisi, melukis dan berfantasi. Dalam dunia utopia, dia seekor murai sastera yang selalu berkicau di perbatasan sains. Antara karya bukunya termasuklah kumpulan puisi Alien Menchari Chinta (ITBM, 2012; Pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2012/2013), Deja Vu Cinta Pencari Katarsis (ITBM, 2014), Dari Cinta kepada Cinta (ITBM, 2015), dan memoir perjalanan Bukan Travelog Haji di Bumi Anbia (Studio Anai Anai, 2017).