Oleh Karmila Azmi
13 Mei 2023, 16:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Penulis Sabah, Hassan Saprin memenangi Tempat Pertama Sayembara Penulisan Skrip Drama Pentas sempena ulang tahun ke-50 Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA).

Hassan membawa pulang RM7000 dalam majlis yang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, YB Senator Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan di Rumah GAPENA di sini, hari ini.

Skrip dramanya berjudul “Pelayaran Seorang Sufi”.

Tempat kedua dimenangi oleh Azaha Othman menerusi “Padang Kachong Berdarah” yang menerima RM5000, manakala penerima SEA Write Award (Malaysia) 2020, Aminah Mokhtar menduduki tempat ketiga menerusi “Tiang Tiang” dan menerima RM3000.

Dua hadiah penghargaan dimenangi oleh Salina Ibrahim menerusi “Si Penjual Jiwa” dan Ruhaini Matdarin, “Kudin”.

Sementara itu, Presiden GAPENA, Datuk Haji Zainal Abidin Borhan dalam ucapannya berkata, sayembara itu adalah sebahagian siri pertandingan yang dianjurkan oleh organisasi itu demi menyokong penulis tempatan agar terus berkarya.

“Sebelum ini, kami sudah adakan sayembara novel, cerpen dan puisi.

“Kami merancang untuk melancarkan beberapa lagi sayembara, antaranya esei dan kritikan sastera,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.