19 September 2023, 18:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Naim al-Kelantani melihat kembali persejarahan pementasan naskhah drama pentas terkenal karya SN A. Samad Said, Lantai T. Pinkie selain menemu bual pengarah dan penulis skrip, Dr. Rosminah Mohd Tahir.

Saya beranggapan bahawa naskhah ini mencukupi ramuannya dari segi penghasilan drama pentas daripada seorang Sasterawan Negara yang terkemuka.

Adikarya dalam bentuk drama pentas karya Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said, Lantai T. Pinkie akan menemui penonton pada Oktober ini setelah 17 tahun menyepi dari arena pementasan teater.

Naskhah Lantai T. Pinkie yang membawa Zera Haris sebagai watak Pinkie dan Nabila Huda sebagai Nyai Sunarti kali ini akan dipersembahkan dalam bentuk muzikal.

Sesi bacaan skrip oleh para pelakon teater muzikal Lantai T. Pinkie yang akan dipentaskan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP pada 6 hingga 8 Oktober 2023.

Penulis sempat menemu bual satu-satunya tokoh yang pernah mengarahkan Lantai T. Pinkie, Dr. Rosminah Mohd Tahir yang telah lima kali mementaskan naskhah ini secara besar-besaran.

Rosminah menceritakan kembali kronologi bagaimana ia boleh mencapai pementasan kali keenam ini.

Teater Lantai T. Pinkie mula-mula dipentaskan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC). Ketika itu, Tiara Jacquelina membawa peranan sebagai Pinkie, manakala Erma Fatima membawa watak sebagai Nyai. Pementasan ini berjaya dan kami dapat pentaskan dua kali dengan pelakon yang sama. Untuk kali ketiga, kami bawa pementasan itu ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Ketika itu, Juhara Ayob sebagai Pinkie dan Shariza Mahmud sebagai Nyai.

Rosminah yang pernah menjawat jawatan Dekan di Fakulti Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) menjelaskan bahawa pementasan secara muzikal pertama kalinya ialah di Istana Budaya. Ketika itu, Nasha Aziz membawa watak Pinkie manakala Azizah Mahzan membawa watak Nyai Sunarti.

Poster Teater Muzikal Lantai T. Pinkie yang dipentaskan pada tahun 2006, 17 tahun yang lepas.

“Kali terakhir pementasan ini dilakukan ialah pada tahun 2006 di Taman Budaya, Ipoh, Perak. Ketika itu, Vanidah Imran menjadi Pinkie dan Khatijah Tan membawa watak Nyai. Kali ini adalah kali keenam dan saya ingin perkenalkan Zera Hariz. Dia ini bekas pelajar Fakulti Teater dari ASWARA. Saya memilihnya kerana ia sesuai dengan usia dan zaman ini selain dapat menyanyi dan menari,” jelasnya.

Dalam pada itu, pemilihan Nabila Huda yang akan membawa watak Nyai adalah disebabkan Nabila mempunyai karakter yang baik dan ada semangai yang kental.

Dia sangat bersemangat dan garang sifatnya. Yang paling penting ialah pengucapannya lepas laku (outspoken). Watak Nyai memerlukan pelakon yang sedikit kasar, manakala Pinkie merupakan orang yang lembut.

Rosminah yang sedari dulu lagi dikaitkan dengan teater Lantai T. Pinkie turut menjawab persoalan mengapa mementaskan lagi karya ini walaupun karya ini telah berusia sangat lama.

“Saya banyak sahaja mementaskan karya lain sebelum ini. Tetapi saya beranggapan bahawa naskhah ini mencukupi ramuannya dari segi penghasilan drama pentas daripada seorang Sasterawan Negara yang terkemuka. Ada sahaja naskhah lain dari Sasterawan Negara yang lain, tetapi ia bukanlah tidak bagus, tetapi tidak menarik hati saya. Lantai T. Pinkie ini juga ada sifat popular dan nilai komersial selain kualiti naskhah itu sendiri,” ujarnya.

Vanidah Imran membawa watak Pinkie pada tahun 2006. Kini, watak tersebut dipegang oleh Zera Haris.

17 tahun dari kali terakhir dipentaskan bukanlah satu jangka masa yang pendek. Rosminah masih tidak lelah dan letih untuk mementaskan teater ini kerana menurut pandangan peribadinya, sekurang-kurangnya setiap lima hingga 10 tahun, Lantai T. Pinkie mesti dipentaskan walaupun oleh sesiapa sekalipun.

Menyebut berkenaan muzikal, Rosminah juga berkata bahawa pemilihan pementasan ini dilakukan secara muzikal adalah untuk memendekkan cerita. Jelasnya, jika dijadikan naratif mengikut teks asal, ia akan memakan masa selama empat jam, manakala pementasan secara muzikal ini dapat dilakukan sekitar dua jam sahaja.

Buku drama Lantai T. Pinkie.

Skrip pementasan kali ini adalah skrip yang sama dengan pementasan pada tahun 2006 di Istana Budaya, tetapi menurutnya, ada beberapa perubahan kecil untuk disesuaikan dengan keadaan pentas dan tidak mengubah keseluruhan pementasan tersebut.

Rosminah juga berkongsi persoalan penting dalam mementaskan Lantai T. Pinkie, iaitu mengapa beliau sahaja yang mementaskan drama ini.

Saya pun tidak tahu sebenarnya kenapa penerbit pilih saya. Penerbit ialah Siti Rohaya Atan dari CRTA Production. Selain daripada saya sendiri memang nak pentaskan, CTRA pun macam dah selesa dan sinonim dengan saya. Ada orang kata, ‘Kalau ada Rohaya, adalah Rosminah’. Kita dah serasa dan serasi bersama.

Penulis juga sempat menemubual anak kepada SN A. Samad Said iaitu Helmy Samad. Beliau memberitahu bahawa buku terbitan baHAru untuk skrip drama teater Lantai T. Pinkie akan sempat menemui pembaca ketika pementasan itu berlangsung.

Dalam satu hantarannya di Facebook peribadinya pada 12 September 2023, Helmy berkata pada awalnya memang merancang teater ini dipentaskan di Istana Budaya (IB). Ujarnya lagi,

“Bapak (SN A. Samad Said) bertanya adakah IB tolak pementasan karya Bapak dengan konsert? Saya tak pasti ceritanya, tetapi jika benar, ia sesuatu yang menyedihkan—namun tidak memeranjatkan,” katanya.

Drama Muzikal Lantai T. Pinkie mengisahkan Muhairi Tirus, bekas pemain arkodian di Bunga Joget Moden hidup damai di Telok Melano, Sarawak. Dia didatangi mahasiswa bernama Loiran yang mahu mengkaji tentang Hikayat Gul Bakawali. Permintaan itu menyebabkan Muhairi kembali mengenang kehidupannya sebagai pemuzik di Bunga Joget Moden pada tahun 1950-an.

Pada ketika itu, pelbagai peristiwa yang berlaku di lantai joget itu seperti tentang kehidupan pemuzik seperti S. Diman, penari seperti Siti Udaya dan Musalmah, tentang pelaut tua, Jongkidin Jaroi dengan cinta tersembunyinya bersama mualaf, Putih Su, dan juga tentang keresahan serta kesengsaraan bekas perempuan simpanan Belanda, Nyai Sunarti yang merindui tuannya setelah ditinggalkan bertahun-tahun.

Selain itu, drama ini juga turut mengisahkan tentang T. Pinkie, penari remaja yang cantik yang menjadi rebutan pengunjung di situ, terutamanya Gunjuloh hingga berlakunya pergaduhan. Dalam masa yang sama, Muhairi juga menyimpan perasaan terhadap anak penyelam mutiara itu.

Pementasan teater muzikal Lantai T. Pinkie bakal menemui penonton pada 6 hingga 8 Oktober di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Tiket masuk bermula RM35 hingga RM159 dan boleh dibeli di sini.

_________________________

Naim al-Kalantani merupakan graduan ijazah sarjana muda di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam bidang penulisan kreatif di bawah Fakulti Penulisan Kreatif dan Filem. Kini, dia menyambung pengajian di peringkat sarjana seni kreatif di tempat yang sama.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.