Oleh Firdaus Mul
28 Ogos 2023, 16:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Nama SN Usman Awang bukanlah nama yang asing dalam kesusasteraan negara. Puisi, drama, cerpen dan novel beliau masih menjadi tumpuan para pengkaji dan masih mendapat tempat dalam masyarakat. Perkara ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Dr. Wan Hasmah Wan Teh yang juga merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM dalam rancangan Cakna Bahasa anjuran Bernama Radio baru-baru ini.

Daripada perspektif statusnya, kedudukan Usman Awang adalah sangat istimewa. Beliau bergiat dalam waktu yang panjang, meninggalkan hasil penulisan serta pengaruhnya yang lebih kurang 50 tahun melintasi tiga period dalam sejarah kesusasteraan moden. Dalam jangka masa yang panjang itu, Usman Awang menulis dalam berbagai bentuk. Antaranya ialah puisi, drama, cerpen, dan novel. Kehadiran Usman Awang dalam puisilah yang sangat kita rasai.

Beliau juga menyatakan bahawa Usman Awang berjaya memperlihatkan arah pemikiran dan kreativitinya dalam puisi dari sudut persoalan zaman yang melandanya dan kesan daripada pengalaman peribadinya. Contohnya, semasa zaman pentadbiran Jepun, beliau merasakan kepahitan menjadi buruh paksa di Singapura.

Beliau merupakan antara penulis yang banyak menulis tentang nasionalisme, semangat perjuangan bangsa, dan masyarakat di Tanah Melayu.

Selain itu, beliau turut berkongsi beberapa dapatan yang diperolehi hasil daripada mengkaji puisi-puisi Usman Awang. Jelasnya,

Walaupun temanya nasionalisme ataupun patriotisme, Usman Awang tampil dalam puisi-puisinya dengan bahasa yang lembut.

Sementara itu, beliau juga turut menyatakan bahawa pembaca perlu mengetahui tentang sejarah di balik penciptaan puisi-puisi berkenaan. 

Misalnya, puisi Usman Awang bertajuk “Damai” yang ditulis 10 tahun selepas tahun 1948. Menerusi puisi tersebut, Usman Awang mengimbas kembali kenangan yang pernah dilaluinya pada tahun 1948, yakni ketika Tanah Melayu diisytiharkan darurat.

Kita tidak ada pengalaman ini tetapi ketika membaca puisinya itu, kita dapat mengetahui apa yang dirasai oleh masyarakat pada waktu itu. Ketika saya membaca puisi “Damai”, saya dapati ada suatu aura bagaimana masyarakat berjuang mendapatkan kebebasan.

Bagi beliau, puisi-puisi Usman Awang masih lagi relevan sehingga hari ini, namun yang membezakannya ialah konteksnya. Kalau dahulu puisi-puisi Usman Awang ini ditulis lebih kepada bagaimana usaha untuk mencapai kemerdekaan, untuk masa kini pula lebih tertumpu kepada mengenang dan menghayati apa yang telah dilakukan oleh orang terdahulu. Jelasnya lanjut,

Kemerdekaan sudah menjadi milik kita, tetapi sekarang yang lebih penting adalah bagaimana kita hendak merealisasikannya dalam kehidupan dan menjaga kemerdekaan yang kita miliki.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.