9 September 2023, 07:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Tayangan khas Filem Malbatt: Misi Bakara anjuran Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Beli-belah IOI, malam tadi.

Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Tuan Haji Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed berkata filem ini diadaptasi dengan mengambil maklumat daripada buku terbitan DBP, iaitu Somalia: Harimau Belang Besi. Ujar beliau;

Impian saya untuk melihat kisah sebenar setelah dimanipulasi oleh pihak tertentu menjadi kenyataan.

Sebelum ini, pernah diterbitkan sebuah filem perang namun sejarah sebenar telah disorok. Oleh itu, dengan adanya filem ini, membuatkan kita berasa bangga mengetahui sejarah sebenar.

YBrs. Tuan Haji Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP bersama-sama penulis buku dan barisan pelakon dalam sesi tayangan khas di GSC Pusat Beli-belah IOI, semalam.

Begitu juga dengan penulis buku, iaitu Mejar Jeneral (B) Dato’ Halim Khalid. Beliau tampil untuk membetulkan fakta sejarah yang banyak diputarbelit oleh pihak tertentu dengan menulis buku Somalia: Harimau Belang Besi

Mejar Jeneral (B) Dato’ Halim Khalid menjelaskan isi-isi yang terdapat dalam buku tulisan beliau semasa tayangan khas, semalam.

Buku ini memaparkan kisah benar yang dilaluinya bersama-sama pasukan, Batalion Malaysia Pertama (MALBATT 1) dalam misi menyelamatkan 70 orang anggota US Rangers yang terperangkap selepas dikepung oleh militia di Pasar Bakara, Mogadishu.

Manakala Andrian Teh selaku pengarah filem meluahkan rasa gembira dan bangga dapat menghasilkan cerita ini dan berharap dapat memberi pengajaran buat penonton. Sejak ditayangkan, filem ini telah mencatat kutipan sebanyak RM 26 juta dan masih ditayang di pagawam termasuk di negara jiran, Brunei Darussalam.

Sebahagian pelakon yang hadir ketika tayangan khas, semalam di GSC Pusat Beli-belah IOI.

Majlis ini turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Penerbitan, iaitu Puan Fauzilahyatun Mustafa; Ketua Editor Majalah, Dr. Rosmani Omar; Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Encik Abdul Ghani Abu serta karyawan DBP.

Beli buku Somalia: Harimau Belang Besi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.