Diterbitkan pada 18 September 2025, 13:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Festival Mini Sastera OPERA telah sebulan berlalu. Namun begitu, Raja Yusoff Ariffin masih mengingati pernyataa dan/saranan Dr. Ariff Mohamad, salah seorang ahli panel sesi petang “Dari Kamar Pembaca: Aku Ingin Lapar Lagi”.

Kegiatan pengadaptasian novel kepada filem di negara ini memang wujud, meskipun kurang rancak …

Walaupun penganjur Festival Mini Satera OPERA memberi peluang kepada hadirin/audiens mencelah pada bila-bila masa semasa ahli panel setiap sesi bercakap, tetapi saya tidak sempat berbuat sedemikian kerana sibuk menyiapkan berita untuk sesi sebelumnya, sambil sesekali “memasang telinga”.

Semasa terserempak dengan Dr. Ariff Mohamad seusai solat maghrib di surau Menara DBP, saya hanya sempat mengatakan “Oh minat filem, ya. Tak tahu pula minat filem,” kepada pensyarah dari Universiti Pendidikan Sultan Idris itu.

Dr. Ariff tampil sebagai salah seorang ahli panel sesi petang, “Dari Kamar Pembaca: Aku Ingin Lapar Lagi” festival itu di Dewan Bankuet, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 23 Ogos lalu, bersama-sama Sdr. S.M. Zakir, Sdr. Saat Omar dan Sdr. Fadli Al-akiti yang juga moderator.

Dalam pembicaraannya, Ariff turut menyarankan bahawa amat wajar novel-novel besar Sasterawan Negara (SN) diangkat kepada filem. Saya memang ingin menyampuk dan menyambungnya, tetapi tidak sempat. Hadirin lain pula tiada seorang pun yang tampil memberi soalan atau pandangan.

Jadi, saya mengambil peluang untuk menyatakannya dalam artikel ini bahawa memang ada novel-novel karya SN yang telah difilemkan, iaitu Ranjau Sepanjang Jalan karya SN Shahnon Ahmad, Langit Petang (SN A. Samad Said), Juara (SN S. Othman Kelantan), dan Imam (SN Abdullah Hussain). Saya fikir Ariff pun maklum.

Novel Ranjau Sepanjang Jalan diterbitkan pada tahun 1966, sementara filem adaptasinya pada tahun 1983. Shahnon menerima Anugerah Sastera Negara (ASN) kedua pada tahun 1982.

Novel Langit Petang diterbitkan pada tahun 1980. Diadaptasikan kepada filem dua tahun kemudian. A. Samad atau lebih mesra dengan panggilan Pak Samad dianugerahi ASN keempat pada tahun 1985.

Jogho arahan U-Wei Hj. Saari diterbitkan pada tahun 1999 yang diadaptasi daripada novel Juara (1976) karya S. Othman, SN ke-9 (2003). Filem ini dibintangi oleh Khalid Salleh, Normah Damanhuri, Adlin Aman Ramlie, Ijoy Azhari, Sabri Yunus, Wan Hanafi Su, dan Aznah Hamid.

Imam pula diterbitkan pada tahun 1995. Diadaptasi kepada filem pada tahun 2023. Abdullah Hussain menerima gelaran SN kelapan pada tahun 1996.

Filem Langit Petang diarahkan oleh Shahrom Mohd. Dom yang menampilkan pelakon Dharma Harun Al Rashid, Azean Irdawaty, Mahmud Jun, Sidek Hussain, dan Omar Suwita.

Dalam Festival Filem Malaysia (FFM) ke-3 (1982), Azean memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik (watak Ruby/Zakiah), manakala Mahmud pula diangkat sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (sebagai Pak Arif) melalui filem ini.

Ranjau Sepanjang Jalan arahan Jamil Sulong pada tahun 1983 pula dibintangi oleh Ahmad Mahmud, Sarimah, Melissa Saila, M. Jamil, Puteri Salbiah, dan Marlia Musa.

Dalam FFM ke-4 (1983), Ranjau Sepanjang Jalan memenangi anugerah Filem Terbaik (Kamarul Ariffin/Sarimah), Lakon Layar Terbaik (Jamil Sulong), Jurukamera Terbaik (Johari Ibrahim), Penataan Seni Terbaik (Esa Ahmad dan Noraldin), dan Anugerah Khas Juri – Ooi Eow Jin (muzik tema yang berkesan).

Anugerah Cerita Luar Bandar Terbaik turut dimenangi oleh Ranjau Sepanjang Jalan dalam Festival Filem Asia Pasifik ke-28 di Taipei (1983).

Meskipun tidak mendapat sambutan hangat, Jogho meraih kejayaan agak besar dalam FFM ke-14 (1999), iaitu meraih Anugerah Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Lakon Layar Terbaik, dan Poster Terbaik.

Jogho turut meraih anugerah Pelakon Wanita Terbaik, Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Sabri), selain Filem Terbaik, Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik dalam Anugerah Skrin 1999. Khalid juga memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Asia Pasifik ke-43, Taipeh (1998).

Imam yang diarahkan oleh Mior Hashim Manap menampilkan para pelakon seperti M. Nasir sebagai Haji Mihad; Vanida Imran, Faizal Hussein, Rahim Razali, Rahim Jailani, Sani Sudin, dan Dewa Sapri.

Ketimbang Langit Petang dan Ranjau Sepanjang Jalan, Imam terbitan Alkahfi Pictures milik Mior Hashim sendiri dan isteri, gagal teruk di pasaran sebagaimana Jogho, selain mendapat kritikan pedas yang mengatakan kegagalannya bermula sedari 15 minit pertama durasi.

Antara novel lain yang pernah diadaptasi kepada filem sejak tahun 1950-an termasuklah Cinta Gadis Rimba karya Harun Aminulrashid (novel 1946, filem 1958); Rumah Itu Dunia Aku (Hamzah Hussein/novel 1951, filem 1963); Bukan Salah Ibu Mengandung (Harun Hassan/novel 1977, filem 1969); Mira Edora (Khadijah Hashim/novel 1984, filem 1990), Ombak Rindu (Fauziah Ashari/novel 2002, filem 2011); Lagenda Budak Setan (Ahadiat Akashah/novel 1985, filem 2010), dan Pilot Café (Ahadiat/novel 1999, filem 2015).

Dalam setahun dua kebelakangan ini, novel Memoir Seorang Guru karya Azizi Haji Abdullah pada tahun 2008, dan Mereka yang Tertewas (Hasanuddin Md. Isa/1989) telah diadaptasi kepada filem dengan judul serupa. Memoir Seorang Guru yang dibintangi oleh Rosyam Nor, Nabila Huda, Zul Huzaimy, Ellie Suriaty, Johan As’ari, Jesse Lim, dan Trisha Ooi, diarahkan oleh Kyoll Hamzah. Meskipun agak berat dan menampilkan beberapa orang pelakon kanak-kanak, filem terbitan pada tahun 2024 ini berjaya mengutip RM1 juta.

Merek yang Tertewas diarahkan oleh sutradara berpengalaman, Zulkifli M. Osman, dibintangi oleh Zaidi Omar, Mubarak Majid, Hilal Azman, Fad Anuar, dan Fiza Halim, juga diterbitkan pada tahun lalu. Malangnya, filem ini turut mendapat kritikan teruk dan sangat gagal di pasaran.

Sementara itu, walaupun Langit Petang dan Ranjau Sepanjang Jalan memperoleh kejayaan dalam FFM, tetapi tidak memuaskan hati karyawan dan penontonnya.

Ramai pembaca Langit Petang yang menonton filemnya mendakwa tidak menikmati keseronokan sebagaimana membaca novelnya. Pengkritik juga mendapati filem terbitan Syed Kechik Film Productions berdurasi 110 minit ini gagal memahami beberapa ciri utama yang mendasari novelnya.

Pak Samad juga dikatakan tidak berpuas hati dengan pengadaptasian penulis skripnya. Ekoran itu, para peminat filem “besar” terus kempunan kerana Pak Samad enggan membenarkan lagi novel-novel beliau seperti Salina (1961), Sungai Mengalir Lesu (1967), Daerah Zeni (1985), dan Hujan Pagi (1987) diadaptasi.

Pengadaptasian Ranjau Sepanjang Jalan pula dianggap terlalu “setia” pada novelnya, sehingga menjadi filem yang lebih bersifat dokumentari. Manakala dalam Jogho, S. Othman dikatakan tidak berpuas hati dengan penuturan dialek Kelantan oleh Khalid dan Normah yang bukan anak kelahiran Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Pengadaptasi novel harus menganggap bahawa karya asal sebagai bahan mentahnya, lalu mencipta struktur dan pengucapan yang tersendiri.

Jika Pak Samad sudah tidak berminat, kita masih ada novel-novel hebat daripada SN yang lain seperti Keris Mas (SN pertama/1981), iaitu Saudagar Besar dari Kuala Lumpur (1982), dan Rimba Harapan (1986), serta Arena Wati (SN kelima/1987), iaitu Lingkaran (1962), Sandera (1971), Rontok (1980), dan Panrita (1993).

Pelakon veteran Dato’ Ahmad Tamimi Siregar pernah menyatakan minatnya untuk menghasilkan filem Konserto Terakhir yang diadaptasi daripada novel berjudul serupa, karya Abdullah Hussain (1971).

Kesimpualnnya, kegiatan pengadaptasian novel kepada filem di negara ini memang wujud, meskipun kurang rancak. Oleh itu, kita perlu melihat beberapa faktor terlebih dahulu jika mahu merancakkannya.

Oleh sebab sukar memperoleh skrip filem asli bermutu tinggi, beberapa pihak menyarankan agar melakukan pengadaptasian novel kerana langkah itu dianggap baik dan memudahkan.

Namun demikian, belum pasti krisis ini dapat diatasi jika pengadaptasian hanya menghasilkan skrip yang lemah, meskipun daripada novel yang kuat.

Sebenarnya, anggapan bahawa menghasilkan skrip filem daripada novel lebih mudah kerana cerita, plot dan watak telah tersedia adalah salah. Pengadaptasian daripada novel lebih sukar.

Kekangan timbul kerana ada beberapa aspek dalam novel yang tidak dapat difilemkan, seperti adegan, apatah lagi jika dianggap sebagai “inti cerita”. Jika ditinggalkan, akan cacat dan tersasarlah. Mereka yang telah membaca novel, kemudian menonton filemnya, hampa atau kurang puas hati.

Novel menggunakan kekuatan kata-kata, sementara filem bersandarkan kekuatan visual. Novel bersifat konseptual dan diskutif, filem pula perseptual, dan presentional, yang menuntut pemahaman tersendiri. Pengadaptasi novel harus menganggap bahawa karya asal sebagai bahan mentahnya, lalu mencipta struktur dan pengucapan yang tersendiri.

Pengadaptasian novel kepada filem memang ada masalah tersendiri. Adaptasi menghasilkan sebuah genre estetika yang tersendiri. Penyesuaian diperlukan.

Salah satu perkara penting ialah pengekalan semangat novel asalnya, tahap adaptasi dan memastikan adakah perubahan mahupun pengurangan daripada novel merosakkan atau menambah baik filem.

Pengekalan inti dan semangat novel memberikan tafsiran serta bahasa yang tersendiri pada filem yang berasal daripadanya. Walaupun sukar, tetapi diharapkan dan dipentingkan. Dalam kata lain, pengadaptasian mengekalkan keasliannya.

Selain ketidakpuasan hati pengarang asal, dan salah tanggapan pembikin filem tempatan terhadap penulis novel, masalah pengadaptasian mungkin disebabkan oleh kurang penguasaan ilmu penulisan skrip, bukan format skrip.

Dari semasa ke semasa, bengkel penulisan skrip kerap dianjurkan. Namun demikian, ada yang mendakwa pengajarannya menggunakan format lama walaupun kini sudah banyak bentuk perisian.

Pembikin filem hari ini dikatakan kurang mengetahui cara membina struktur, konflik, dialog, dan sebagainya. Mungkin hal ini berpunca daripada karyawan filem yang kurang membaca novel besar tempatan dan antarabangsa. Kemahiran penggunaan bahasa filem yang sinematik amat penting, sebagaimana penguasaan gaya bahasa dalam novel untuk menyampaikan makna dan keindahan.

Dalam hal ini, untuk memperteguh saranan Ariff, wajarlah pengadaptasian novel besar, terutama karya SN menjadi filem kenegaraan, agar “mutu”nya dapat diterjemahkan menjadi filem bermutu dengan pelibatan karyawan dan penerbit yang bebas rasuah.

Dalam hal hubungan penulis novel-pembikin filem yang renggang, novelis dan penulis skrip/sutradara disarankan bertoleransi agar pengabaian semangat novel atau bahasa tersendiri dalam filem tidak berlaku. Apabila kedua-dua pihak berkompromi secara kreatif, akan terhasil sebuah skrip adaptasi yang “baharu” – menggabungkan kehendak kreatif kedua-dua genre.

Langkah tersebut diyakini dapat membantu penonton dan pembaca memahami filem sebagai sebuah hasil yang baharu, dan tidak terlalu terikat.

Selain itu, pembaca-penonton juga perlu matang agar memahami filem tersebut ialah adaptasi yang membawa dimensi baharu yang disesuaikan menjadi filem. Semangat novel dengan adaptasi filem tidak banyak berbeza.

Sutradara juga perlu membaiki pengadaptasian, sama ada kerana novel yang lemah sehingga menyukarkannya menjadi filem menarik, ataupun untuk mengelakkan isi atau plot yang menarik dalam novel tersisih tanpa disedari.

Hal ini dikatakan sedemikian kerana penulis skrip/sutradara perlu membaca/mengikuti/mendapatkan semua kritikan terhadap novel itu sebagai panduan agar segala kelemahannya dielakkan dalam pengadaptasian. Hal ini termasuklah dalam hal dialog atau perbualan yang membosankan, watak yang lemah atau watak yang disalah tafsir. Selalunya, unsur yang penting dalam sebuah novel ada dalam skrip adaptasi yang baik.

______________________________

Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016).

Kredit Foto: Kyle Loftus/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi