Oleh Rasoul Manan
16 September 2023, 22:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ipoh – “Riwayat Niskala” karya Raihani Mohd. Saaid telah membawa tuah kepada Mohamad Shafiq Dulamid apabila dinobatkan sebagai pemenang Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Peringkat Kebangsaan ke-37 di Dewan Bankuet, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, petang tadi.

Beliau yang merupakan seorang guru di Sabah berasa gembira dengan kejayaan ini apatah lagi kemenangan tersebut meletakkan diri beliau sebaris dengan idolanya, Dulamid Rudin yang pernah menjadi johan SPDK. Ujar beliau;

Ayah merupakan idola dan kejayaan beliau membakar semangat saya untuk terjun ke dalam bidang ini.

Mohamad Shafiq Dulamid, Johan SDPK ke-37 bersama-sama trofi dan hadiah iringan yang dimenanginya.

Oleh itu, beliau berusaha dengan sehabis baik ketika mendeklamasikan sajak dengan menunjukkan kemampuannya dalam menghayati setiap bait sajak bagi memukau para juri serta penonton.

Begitu juga dengan Khalid Husseine Tuah, kemunculan semula beliau menerusi sayembera tersebut setelah berehat selama setahun telah membuahkan hasil apabila beliau diumumkan sebagai naib johan dalam SPDK ke-37 pada kali ini.

Khalid Husseine Tuah tersenyum riang dengan trofi dan hadiah iringan yang dirangkulnya..

Peserta yang mewakili Sarawak itu merupakan Ketua Jabatan Kejuruteraan Petrokimia di Politeknik Kuching dan berharap agar banyak lagi peserta yang bukan dalam bidang sastera meminati kesusasteraan dan seterusnya turut menyertai SDPK.

Sani La Bise pula menyatakan bahawa penyertaan beliau dalam sayembara tersebut setelah mencuba sebanyak tujuh kali telah membawa hasil biarpun mendapat tempat ketiga. Ujarnya:

Pendedahan tentang sastera sejak usia remaja telah menyemai minat saya terhadap puisi.

Walaupun memperoleh tempat ketiga, beliau berasa bersyukur dan berpuas hati apatah lagi sajak “Demi Kecintaan” karya Dayana Chacho yang dideklamasikan itu sangat mencabar untuk dipersembahkan.

Penyertaan kali ketujuh membawa tuah kepada Sani La Bise apabila mendapat tempat ketiga dalam SDPK ke-37.

SDPK merupakan program tahunan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan. Sayembara ini telah diadakan sejak tahun 1987 dan telah diangkat menjadi acara rasmi perayaan bulan kemerdekaan Malaysia.

Panel hakim bagi sayembara pada kali ini ialah Tuan Haji Hamzah Hamdani (Ketua Hakim), Datuk Dr. Lim Swee Tin, Encik Marzuki Ali, Encik Saifullizan Yahaya, dan ACP Rose Baini Kasim.

Yang Berhormat (YB) Tuan Khairudin Abu Hanipah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan mewakili Yang Amat Berhormat (YAB) Menteri Besar Perak telah menyampaikan hadiah dan ucapan penutupan majlis.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari dan Timbalan Presiden GAPENA, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.