17 September 2023, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Marudu – Sastera memiliki peranan yang penting dalam mengukuhkan rasa cinta rakyat Malaysia terhadap tanah airnya. Pemimpin Pembangunan Masyarakat Matunggong, Encik Epson Kawahui, berkata bahawa sastera juga memiliki peranan yang tidak kurang pentingnya dalam usaha membentuk dan mengekalkan perpaduan dan keterangkuman dalam kalangan masyarakat majmuk.

Beliau juga gembira melihat puisi diangkat sebagai elemen yang menghidupkan dan memeriahkan sambutan Hari Malaysia pada peringkat akar umbi. Selain itu, beliau turut optimis bahawa apresiasi puisi yang dilaksanakan di bawah “Puisi Adalah …” dapat diangkat ke peringkat yang lebih tinggi pada masa hadapan.

Sehubungan dengan itu, beliau mengesyorkan agar apresiasi puisi bersempena dengan Hari Malaysia dilaksanakan pada peringkat kawasan Matunggong dengan melibatkan lebih banyak kampung. Perkara ini penting menurut beliau bagi membolehkan lebih banyak penduduk kawasan Matunggong menghargai keunikan dan kepelbagaian bahasa, sastera dan budaya tempatan.

Beliau berkata demikian ketika mewakili Pembantu Menteri Kewangan Negeri Sabah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Matunggong, YBhg. Datuk Julita Mojungki, merasmikan program “Puisi Adalah …: Apresiasi Hari Malaysia bersama Komuniti” di Anjung Fikrah, Kampung Seri Aman, Kota Marudu pada tengah hari semalam.

Yang turut hadir dalam majlis itu ialah Encik Awang Abdul Muizz Awang Marusin (Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah – IPS), Encik Amat Ali Omar (Pengerusi, Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Empat Sahabat, Kota Marudu) dan para tetamu undangan.

Program yang dianjurkan bersama oleh KRT Empat Sahabat, Kota Marudu dan IPS ini bermatlamat untuk menghidupkan perayaan Hari Malaysia dengan kegiatan sastera dan kemasyarakatan, di samping mempromosikan inisiatif “Puisi Adalah …” yang diilhamkan oleh Sasterawan Negeri Sabah, Hasyuda Abadi, di luar kawasan ibu pejabat IPS di Sepanggar, Kota Kinabalu.

Program selama setengah hari tersebut diisi dengan aktiviti derma darah dan pemeriksaan kesihatan oleh Hospital Kota Marudu, pameran pendidikan kemahiran dan robotik oleh Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu, pameran buku oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, jualan produk pengusaha tempatan, persembahan kebudayaan serta cabutan tiket bertuah.

Program tersebut turut mendapat dukungan Pejabat Perpaduan Daerah Kota Marudu dan Pitas, iaitu Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Matunggong, Unit Peladang Seri Aman, Pertubuhan Peladang Kawasan Kota Marudu, Pejabat Rela Daerah Kota Marudu, dan Pejabat Daerah Pertahanan Awam Kota Marudu.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat Matunggong, Encik Epson Kawahui menyampaikan hadiah kepada seorang pemenang Sayembara “Puisi Adalah …” edisi Ogos 2023 kelolaan IPS, Ony Latifah Osman.
Pengarah Institut Latihan Perindustrian Kota Kinabalu, Encik Sudirman Hammade (dua dari kanan) dan Timbalan Pengarah, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah, Puan Jennitah Noordin (tengah) mengunjungi reruai yang menjual produk seni tempatan dan antarabangsa milik Presiden Kelab Penulis Kadazan Dusun Murut Sabah, Dr. Raymond Majumah.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.