Oleh Aminhad
18 September 2023, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Dia Lelaki Berani Pemimpin Teruji
(dedikasi buat lelaki berani itu)

Dia lelaki berani pemimpin teruji
pendidik mapan anak bangsa hari muka
berani mendepani masa hadapan, penunjuk jalan kebenaran
pemangkin kecemerlangan yang berpanjangan
ibarat sungai waktu yang menyusuri sorot terbitnya matari
tanpa lelah, tanpa henti tak tahu dan kenal jerih payah diri.

Dari becak sawah lelaki berani itu kepingin ke Putrajaya melangkah
pelbagai kerenah susun atur pentadbiran semacam terpeta sudah
pelbagai kementerian dijalin rapi di dalam minda bercapah
niatnya buat menganugerahi kedamaian dan kemakmuran bersama
sesudah jalan dirintis dan kebenaran tak terhakis
sesudah pedoman digenggam dan keyakinan tak tertepis.

Benar, dia lelaki berani yang sanggup memapah ranjau masalah
dia lelaki berani yang betah mendepani gejolak gundah
seawal dia memang ramah bergelumang dengan tanah dan sawah
pohon-pohon harapan disemai, dipupuk, dan dibajai biar gagah
merancang, menyebar aspirasi, pun dia berani menggalas integriti
biar bagaimana berat dan saratnya bahtera itu menunggu tugas
dengan dedikasi dia gagahi, dengan berani tak kenal culas dia galas
begitu tergambar ramah di wajah, senyumnya pula terukir di hati
demikian ditekuni agar para pekerja menggilap optimum potensi diri
buat mereka disaran agar menghimpun perpaduan, harmoni organisasi
kerana pesannya: Kitalah bahan api, kita jugalah pemacu tenaga sakti!

Dia memang lelaki teruji yang sanggup menekuni sungai hayat bangsa
memantau sendiri, apakah keruh atau jernih air di muara
mencicip sendiri, apakah enak bancuhan latihan pekerja berwawasan
pualam idea, mutiara minda, juga kristal budi bicaranya
nantiasa mengeram dan berkilauan di persada ini nusa selama-lama.
Di manakah lelaki teruji itu kini?

Putrajaya–Cyberjaya
November–Disember 2022

Kredit Foto: mkjr_/Unsplash

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

Coretan Puisi

Mata dan Mati

5 April 2024, 09:11
Coretan Puisi

Pintu

5 April 2024, 08:39
Coretan Puisi

Hujan

25 Mac 2024, 14:32
error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.