Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAbdul Razak Mohd Kassim meneliti kembali nama-nama sasterawan yang berjaya merangkul Anugerah Sastera Negara dan mengapa karya dan isi pemikiran mereka merupakan lambang akal budi terunggul kesusasteraan Melayu moden.
Soalnya sekarang, bukan mengenai jantina, sebaliknya faktor seperti stamina penulisan, proses kepengarangan, idea serta ilham penulis, dan masa yang banyak menentukan keberhasilan seorang penulis sebagai penerima Anugerah Sastera Negara.
Anugerah Sastera Negara (ASN) merupakan sebuah anugerah berprestij tertinggi negara yang disediakan untuk sasterawan tanah air. Penilaian terhadap seseorang sasterawan berpaksikan pada kriteria dalam penghasilan karya kreatif, tanpa mengira genre penulisan. ASN dianugerahkan oleh kerajaan Malaysia kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan menurut pendapat panel telah memberikan sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan kesusasteraan tanah air menerusi hasil pengkaryaan yang bermutu tinggi. Pengiktirafan terhadap penerima anugerah ini diberikan ganjaran dalam bentuk:
Demikian imbuhan yang disediakan untuk penerima anugerah tersebut.
ASN telah diperkenalkan pada tahun 1981. Bermula pada tahun 1981 sehingga tahun 2013, anugerah berprestij ini telah didominasi oleh penulis lelaki. Seramai 12 orang penulis lelaki telah mengungguli anugerah tersebut.
1981 | Kamaludin Muhammad (Keris Mas) |
1982 | Prof. Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad |
1983 | Dato’ Usman Awang |
1986 | Datuk Seri A. Samad Said |
1988 | Muhammad Dahlan Abdul Biang Andi (Arena Wati) |
1991 | Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh |
1993 | Dato’ Noordin Hassan |
1996 | Datuk Abdullah Hussain |
2001 | Dr. Syed Othman Syed Omar (S. Othman Kelantan) |
2009 | Dato’ Dr. Anwar Ridhwan |
2011 | Dato’ Dr. Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) |
2013 | Dato’ Baharuddin Zainal (Baha Zain) |
Pemilihan serta penobatan mereka sebagai Sasterawan Negara jelas tidak boleh dipertikaikan. Peranan serta sumbangan mereka terhadap kesusasteraan Melayu moden cukup signifikan. Penguasaan penulis-penulis lelaki pada ketika ini begitu menyerlah kerana peranan mereka dalam bidang penulisan begitu menonjol.
Tembok teguh binaan penulis lelaki yang menguasai pentas ASN akhirnya sampai kepada garisan penamat apabila diruntuhkan oleh sasterawan wanita. Pemilihan sasterawan wanita sebagai penerima ASN membuktikan bahawa mereka juga kuasa sastera yang tidak boleh dipinggirkan. Pemilihan dua tokoh berikut membuktikan wibawa sasterawan wanita di persada kesusasteraan Melayu moden.
2015 | Datuk Dr. Zurinah Hassan |
2019 | Datuk Dr. Siti Zainon Ismail |
Stigma yang dibina sekitar ASN sebelum tahun 2015 bahawa anugerah tersebut hanya milik penulis lelaki berkubur apabila panel penilai keluar daripada kepompong dan memilih seorang penulis wanita untuk menjadi Sasterawan Negara buat pertama kali. Pemilihan Datuk Dr. Zurinah Hassan berjaya membuka mata bukan sahaja panel penilai bahkan penulis wanita secara umumnya.
Landskap baharu dunia penulisan kreativiti tanah air berubah haluan pada tahun 2015 apabila Zurinah diiktiraf serta dimahkotakan sebagai penulis wanita pertama bergelar Sasterawan Negara. Empat tahun selepas itu, panel penilai kembali memilih seorang lagi penulis wanita untuk dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Pemilihan dua penulis wanita secara berturutan menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan penulis serta khalayak sastera secara umumnya. Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail telah merintis jalan untuk muncul lebih ramai penulis wanita untuk dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Pada saat khalayak sastera meramalkan dominasi wanita akan berterusan mengungguli ASN menggantikan penulis lelaki, panel penilai ASN mengambil keputusan untuk memilih penulis lelaki sebagai Sasterawan Negara ke-15.
2022 | Dato’ Abdul Rahman Shaari (Rahman Shaari) |
Pemilihan Dato’ Rahman Shaari sebagai Sasterawan Negara ke-15 bukan hanya mengembalikan penguasaan penulis lelaki sebagai Sasterawan Negara malah seolah-olah menoktahkan dominasi yang dimulakan oleh penulis wanita.
Gelanggang penerima ASN kembali terbuka kepada semua penulis tanpa mengira jantina. Pemilihan 13 orang penulis lelaki dan dua orang penulis wanita setakat ini jelas membuka ruang kepada semua penulis kesusasteraan Melayu di negara ini untuk terus menekuni hasil karya mereka. Soalnya sekarang, bukan mengenai jantina, sebaliknya faktor seperti stamina penulisan, proses kepengarangan, idea serta ilham penulis, dan masa yang banyak menentukan keberhasilan seorang penulis sebagai penerima ASN.
Stamina Penulisan
Penyair (penulis) dianggap sebagai manusia genius yang berupaya menangkap serta merakamkan kebenaran tentang manusia, yang tidak dapat dirasakan oleh kebanyakan orang melalui khayalan dan perasaannya.
Berlari di padang penulisan kreatif memerlukan stamina tahap tertinggi. Penulis dituntut untuk bertahan serta tabah mengharungi cabaran dalam dunia penulisan karya kreatif. Jika tidak, penulis akan hilang bagai buih-buih di laut kerana mereka menulis sekadar untuk lulus peperiksaan atau sekadar mengisi masa lapang sahaja (Talib Samat, 2006). Tidak ramai penulis yang berupaya mengharungi cabaran sebagai penulis. Pelbagai kekangan dan halangan yang sering menggugat stamina menulis. Menurut Mana Sikana (1996) dalam teori teksdealisme menyatakan bahawa terdapat empat peringkat penting yang perlu dilalui oleh seseorang penulis untuk mencapai tahap keunggulan dalam kepengarangannya. Empat peringkat itu ialah kehadiran, pelanggaran, pengukuhan, dan individualiti atau keunggulan. Asas pada kepengarangan menuju ke peringkat keunggulan ini ialah keberanian. Jelas bahawa laluan meniti empat peringkat ini memerlukan tahap stamina yang tinggi.
Nama-nama besar dalam dunia kesusasteraan Melayu moden ternyata memiliki stamina penulisan yang cukup mengagumkan. A. Samad Said, Keris Mas, Shahnon Ahmad, Usman Awang, Arena Wati, Muhammad Haji Salleh, Kemala, dan Anwar Ridhwan merupakan antara nama yang cukup gah mewarnai kanvas kesusasteraan Melayu sehingga memungkinkan mereka diangkat dan dinobatkan sebagai Sasterawan Negara. Stamina menulis mereka tidak boleh dipertikaikan. Mereka bukan hanya kental menekuni alam penulisan malah berupaya memberikan adikarya kepada dunia kesusasteraan Melayu moden.
Proses Kepengarangan
Supardi Muradi (Dewan Sastera Februari 1989) menjelaskan bahawa sesebuah ciptaan seni, sama ada sastera ataupun bukan sastera kepada pengkaji atau pembaca yang peka selalunya akan bertanya: bagaimanakah dan dari manakah seseorang penulis atau pencipta itu mendapat bahan atau sumber bagi karya seni mereka? Persoalan ilham, imaginasi, fantasi, perasaan, pengalaman, kepekaan terhadap realiti, atau sumber penulisan, masing-masing berperanan dalam proses kreatif seseorang pengarang.
Penulisan kreatif menurut Mahaya Mohd. Yassin (2009) pula merupakan pengolahan dan penghasilan karangan, ciptaan karya atau cerita seperti novel, cerpen, drama, dan puisi. Sebelum terhasilnya sesebuah penulisan kreatif, seseorang itu perlu berfikiran kreatif sama ada secara dirangsang, dibimbing atau yang semarak sendiri-sendiri. Malah, Ayan dan Jordan E. (2002) pula mendefinisikan penulisan kreatif sebagai kemampuan untuk mengendalikan fikiran-fikiran kreatif yang bergomol dalam fikiran seseorang, lalu menyusunnya ke dalam sebuah kalimat dengan struktur yang baik. Penulis kreatif menyimpan banyak imaginasi kerana tidak semua imaginasi ialah fikiran-fikiran yang kreatif. Kreativiti lahir dalam fikiran yang mampan dan matang.
Idea dan Ilham Menulis
Hasil karya sastera tidak pernah lahir daripada vakum dan pengarang pula bukannya makhluk asing yang muncul begitu sahaja. Setiap karya kreatif yang terhasil mempunyai ceritanya yang tersendiri. Penulis mempunyai pandangan alamnya dan hal ini dijelmakan dalam setiap penghasilan karya mereka. Setiap momen kehidupan dirakamkan oleh penulis dengan menggunakan imaginasi tahap tinggi. Khalayak pula kebanyakan masa terpegun dengan daya imaginasi penulis. Jelas, penulis, karya dan khalayak mempunyai hubungan yang sangat penting dalam pertumbuhan dan perkembangan sastera. Ketiga-tiga elemen ini bertaut satu dalam proses penghasilan karya.
Sering kali kedengaran kenyataan bahawa karya sastera seperti novel, cerpen dan sajak hanyalah mainan bahasa ilusi penulis yang lahir daripada daya imaginasinya. Hasil karya ini hanya melekakan serta melalaikan khalayak pembacanya. Persepsi sedemikian akhirnya menyebabkan masyarakat pembaca mula menjarakkan diri daripada hasil karya kreatif. Tanggapan sedemikian perlu dibetulkan. Setiap hasil karya sastera sentiasa berpijak di bumi nyata. Penulis sebagai salah seorang anggota masyarakat menjadi pemerhati aktif yang sentiasa memerhatikan keadaan sekelilingnya. Setiap pemerhatian itu kemudian diadunkannya dengan daya imaginasi yang cukup hebat, lalu dijelmakannya dalam bentuk sebuah karya kreatif.
Penyair (penulis) dianggap sebagai manusia genius yang berupaya menangkap serta merakamkan kebenaran tentang manusia, yang tidak dapat dirasakan oleh kebanyakan orang melalui khayalan dan perasaannya (M.K. Danziger dan W. S. Johnson, 1991). Novel Salina tulisan A. Samad Said misalnya, lahir daripada pengalaman zaman Perang Dunia Kedua. Begitu juga dengan novel Seluang Menodak Baung tulisan Shahnon Ahmad yang berlatarbelakangkan masyarakat petani di Banggul Derdap, Kedah. Novel Rimba Harapan tulisan Keris Mas pula menyingkap suka duka kehidupan penduduk kampung dari Ketari, Bentong, yang membuka tanah baharu di Janda Baik, Pahang pada era 1920-an dan 1930-an.
Masa
Proses pengkaryaan seseorang penulis sering diuji dengan masa. Kematangan serta keupayaan berkarya seseorang penulis hanya terserlah melalui proses masa. Seorang penulis memahat nama di persada penulisan tidak dalam sekelip mata, malah sebaliknya mengambil masa yang cukup lama. Meskipun Prof. Muhammad Haji Salleh menerima ASN pada tahun 1991 ketika berusia 49 tahun, tetapi dunia kepengarangannya sudah pun utuh tatkala itu.
Usman Awang pula berkecimpung dalam dunia penulisan sekitar era 1940-an dengan menghasilkan pelbagai karya meliputi pelbagai genre, termasuk puisi, cerpen dan drama. Hal yang sama berlaku kepada A. Samad Said. Dunia kepengarangannya bermula sekitar tahun 1950-an. Namun begitu, A. Samad Said sendiri mengakui bahawa “kalaulah saya diterima sebagai penulis – saya lahir daripada Batu Belah Batu Bertangkup. Saya masih tetap mendengar cerita ini walaupun orang yang menceritakannya ketika memandikan saya, menyuapkan makan saya, dan menidurkan saya sudah tidak ada lagi.”
Justeru, penghasilan novel Salina yang dianggap oleh A. Teeuw sebagai bertaraf antarabangsa dihasilkan tatkala usianya baru 23 tahun. Zurinah Hassan pula mula aktif menulis sekitar tahun 1960-an. Bakat penulisannya mendapat pengiktirafan para pengkritik dan sarjana kesusasteraan terkemuka negara seperti Usman Awang, Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Kemala, dan Anwar Ridhwan. Usman Awang menganggap Zurinah Hassan sebagai penyair wanita berbakat besar selepas Anis Sabirin. Mana Sikana pula meletakkan Zurinah sebagai salah seorang daripada empat tokoh puisi Malaysia yang terbesar sumbangannya, selain Muhammad Haji Salleh, Kemala dan Baha Zain.
Kesusasteraan Melayu moden sepanjang jalur perkembangannya telah menghadiahkan ramai penulis merangkumi pelbagai genre. Kemunculan para penulis ini dengan tekad untuk menyampaikan amanat mereka kepada khalayak pembaca jelas merupakan satu usaha yang ikhlas. Mereka menggunakan penulisan sebagai medium untuk menyalurkan penyataan perasaan serta pemikiran mereka. Sumbangan para penulis dalam penghasilan karya sastera ini telah mendapat penghargaan daripada banyak pihak, sama ada kerajaan ataupun swasta. ASN merupakan anugerah paling tinggi tarafnya dan sentiasa menjadi idaman ramai penulis. Anugerah ini menjadi kemuncak pada kejayaan penulis dalam penghasilan karya.
Persoalannya sekarang, siapakah selepas Dato’ Rahman Shaari yang bakal dinobatkan sebagai penerima ASN ke-16? Apakah dominasi penulis lelaki akan berterusan menghiasi pentas penerima ASN atau penulis wanita kembali menggugat dominasi penulis lelaki? Penulis tanpa mengira jantina perlu diiktiraf berdasarkan merit penghasilan karya. Ramai yang sememangnya berpotensi harus diiktiraf sumbangan mereka terhadap kesusasteraan Melayu moden. Justeru, sama-samalah kita tunggu pengumuman bakal penerima ASN seterusnya.
_________________________
Abdul Razak Mohd Kassim mengajar di Pusat Bahasa dan Pengajian Liberal, Sekolah Pengajian Liberal dan Sains, Fakulti Sosial Sains dan Pengurusan Liburan, Universiti Taylor, Subang Jaya, Selangor.