Oleh Suyuthi Yusuf
14 Jun 2023, 15:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Serdang – Sasterawan Negara (SN) Siti Zainon Ismail menceritakan pengalamannya dalam menulis buku sastera kanak-kanak semasa sesi ucaptama sempena Seminar Sastera Kanak-kanak dan Remaja ke-12.

Seminar tersebut yang berlangsung selama sehari pada 13 Jun telah diadakan di Dewan Zaba, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM). Ujar SN tersebut apabila memperkatakan tentang penulisan buku sastera kanak-kanak beliau,

Saya mula menulis buku sastera kanak-kanak apabila sudah bersara walaupun bidang ini merupakan bidang yang amat akrab juga dengan jiwa saya.

Setakat ini, SN Siti Zainon atau lebih sering dikenali sebagai bonda telah menghasilkan siri buku sastera kanak-kanak yang diberi nama “Koleksi Cerita Siti”. Buku sastera kanak-kanak tersebut mendapat sentuhan ilustrasi daripada beliau sendiri.

Antara buku-buku dalam koleksi tersebut ialah Kampung Pulau Kelapa, Mimpi Si Ikan Kaloi, Kebun Rama-Rama, dan Rumah Semut Kuala Abai.

Koleksi Cerita Siti yang berkonsepkan bercerita dalam bentuk puisi ini boleh mempertajam imaginasi kanak-kanak selain memperdalam pengetahuan kanak-kanak berkaitan dengan keagamaan dan kebudayaan.

“Dahulu, pada mulanya saya malu hendak menulis cerita kanak-kanak kerana takut dianggap budak-budak. Apabila melakar dan mencoret dianggap kebudak-budakan, jadi saya tinggalkan sahaja. Apabila sudah bersara, barulah saya menulis cerita kanak-kanak kerana ada perkara berkaitan dengan kehidupan saya sendiri yang saya hendak sampaikan pada anak-anak”, jelas beliau berkenaan permulaan minat untuk menulis dalam genre tersebut.

Selanjutnya, beliau juga menceritakan bahawa terdapat kisah-kisah dalam buku tersebut datang daripada neneknya sendiri semasa beliau masih kecil.

“Nenek saya dahulu sanggup datang ke rumah saya sejauh 17 kilometer hanya untuk bercerita kepada cucunya. Dari nenek saya tersebut saya dapat cerita tentang Puteri Bongsu, Malin Kundang, dan Si Tanggang. Buku cerita Kampung Pulau Kelapa itu saya tulis kerana saya merindui kampung ayah saya di Tanjung Karang.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.