Oleh Rasoul Manan
22 Jun 2023, 20:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-67 hari ini amat istimewa apabila berjaya menghimpunkan tujuh Sasterawan Negara (SN) dalam forum “Minda Kreatif Sasterawan Negara” di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP petang tadi.

Forum  dimulakan dengan SN ke-4, iaitu Datuk Seri (Dr.) A. Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad. Karya beliau yang paling diingati ialah novel Salina. Dalam novel tersebut, banyak unsur Hindustan yang melatari jalan ceritanya. Contohnya, elemen lagu yang dinyanyikan oleh watak dalam novel tersebut. Dalam hal ini, beliau mengulas;

Saya sebenarnya seorang penyanyi dan penari di Singapura.

Oleh itu, beliau memasukkan perkara tersebut untuk menghidupkan watak Abdul Fakar. Namun begitu, disebabkan oleh kegagapannya, beliau memilih untuk menulis berbanding dengan melakukan kerja tersebut supaya dapat menumpahkan pemikiran dan berkongsi pandangan bersama-sama masyarakat.

SN A. Samad Said menceritakan pengalamannya ketika menghasilkan novel dalam forum petang tadi.

Seterusnya, penerima Anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1991, iaitu Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menceritakan pengalaman pengembaraannya. Beliau yang merupakan SN ke-6 ialah seorang pengembara-penyair dan telah melawat 72 buah negara. Apabila melawat tempat tertentu, beliau akan menghasilkan puisi dan sedikit catatan pengembaraan. Catatan tersebut akhirnya telah dikumpulkan dan diterbitkan oleh DBP dalam buku Kembara Mencari Sempadan: Catatan Seorang Penyair. Jelas beliau;

Kegelisahan menyebabkan saya berfikir dan perkara ini membantu saya menghasilkan sebuah karya dan catatan. Begitu juga dengan SN yang lain, kegelisahan itu melahirkan proses kreatif mereka yang tersendiri.

 

SN Muhammad Haji Salleh yang kaya dengan pengalaman sebagai pengembara berkongsi tentang kegelisahan yang membantu beliau menghasilkan puisi.

SN seterusnya dalam forum ini ialah Dato’ Dr. Anwar Ridhwan. Beliau yang terkenal dengan novel Hari-hari Terakhir Seorang Seniman merupakan mantan karyawan DBP. Beliau mula menyertai DBP sebaik-baik sahaja tamat belajar.

Karya beliau bukan sahaja novel, tetapi juga cerpen dan drama. Karya beliau yang terbaharu ialah kumpulan drama Rumah Septuagenarian. Karya ini mengajak pembaca melihat dan merenung keanehan kehidupan, yang bergaul dengan segala ragam dan rencam manusia yang menciptanya. Dalam zaman yang semakin maju dan kaya, ironinya kemiskinan semakin melata.

Mantan karyawan DBP, SN Anwar Ridhwan berkongsi karya terbaharunya yang mengajak pembaca berfikir secara mendalam.

Bagi SN Dato’ Dr. Baharuddin Zainal atau lebih dikenali sebagai Baha Zain, beliau mengimbau kenangannya ketika bersama-sama SN Dato’ Dr. Usman Awang dan SN Dr. Kamaludin Muhammad (Keris Mas) semasa bertugas dahulu. Beliau merupakan mantan Timbalan Ketua Pengarah sebelum bersara pilihan. Hubungan mereka bukan sekadar rakan sejawat, tetapi lebih daripada itu. Banyak nasihat dan pengalaman yang diperolehnya ketika bertugas dengan mereka. Hal ini menyebabkan dirinya kuat dan sabar untuk menghadapi kerenah pekerja pada ketika itu.

SN Baha Zain berkongsi pengalamannya ketika bertugas di DBP.

Pada tahun 2015 dan 2019, dua wanita telah diiktiraf sebagai Sasterawan Negara, iaitu Datuk Dr. Zurinah Hassan dan Datuk Dr. Siti Zainon Ismail. Bagi SN Zurinah Hassan, beliau merupakan penyair yang suka menulis puisi dan syair yang mengandungi unsur falsafah. Bagi SN Siti Zainon Ismail pula, beliau memiliki kemahiran dalam pelbagai disiplin seni, iaitu seni lukis, puisi, novel, cerpen, drama, dan esei.

SN Siti Zainon Ismail berbakat dalam pelbagai cabang seni.
SN Zurinah Hassan soerang penyair yang karyanya banyak digunakan sebagai lagu puisi.

SN Dato’ Rahman Shaari pula diangkat sebagai SN pada tahun 2022. Beliau merupakan SN paling terkini yang diiktiraf. Beliau digelar “al-hafiz” puisi kerana mampu menghafal sebanyak 343 puisi. Kelebihannya itu menyebabkan beliau mampu mendeklamasikan puisi tanpa melihat kertas yang ditulis.

SN Rahman Shaari ialah SN paling muda dalam kalangan tujuh panelis ketika berforum di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.

Sebelum majlis berakhir, penyanyi, Pasha Mentor menghiburkan hadirin yang hadir dengan lagu yang dipopularkan oleh Ebit G. Ade dan M. Nasir, iaitu “Berita Kepada Kawan” dan “Bonda”.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Penerbitan, Puan Fauzilahyatun Mustafa; Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, Tuan Haji Razali Che Mat; Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar dan karyawan DBP yang lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.