Oleh Marsli N.O
16 Oktober 2023, 15:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Marsli N.O melakukan retrospektif diri tentang pilihan dan kemahuan sebagai “orang sastera”, khususnya yang berlegar dengan untung nasib majalah sastera nasional.

Akan tetapi, di tengah nama demi nama sasterawan dan persatuan penulis yang muncul dan berkembang saban tahun, dokongan pemerintah yang tidak berbelah bagi dengan pelbagai anugerah dan kegiatan sastera, majalah Dewan Sastera tetap tidak sunyi menghadapi dugaan.

Dewan Sastera merupakan sebuah majalah sastera berbahasa Melayu di Malaysia. Diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) secara bulanan sejak isu Januari 1971. Sasaran pembacanya adalah dalam kalangan penyelidik, pensyarah universiti dan maktab, mahasiswa, bakal guru, pelajar menengah tinggi, dan peminat sastera.

Januari 1971, saya berusia 14 tahun. Hidup terkontang-kanting sebagai seorang anak remaja yang sudah kehilangan bapa dan tidak meneruskan persekolahan  menengahnya di sebuah estet. Untuk menampung hidup sendiri, saya bekerja sebagai buruh ladang.

Dengan gaji kecil, bila sesekali turun berlibur ke bandar Kuantan setiap selepas hari gaji, walau harga majalah ini di bawah RM1, saya tidak membeli majalah ini saban bulan atau keluaran. Hasrat untuk membeli itu ada, namun selain soal wang yang terbatas, tarikan untuk membeli tiket wayang selalu mengalahkan perasaan remaja saya yang belum begitu matang ketika itu.

Dewan Sastera Oktober 1978.

Meskipun demikian, majalah Dewan Sastera tidak pernah terlepas daripada perhatian saya. Tahun 1977, setelah lapan tahun berlalu, cita-cita mahu menjadi seorang sasterawan mendorong saya menulis tanpa jemu dan mula membeli majalah ini. Mulai bulan Mac 1979, saya memberanikan diri mengirimkan karya-karya lama bertulisan tangan yang ditulis sejak tahun 1977, atau yang ditolong taip oleh seorang kawan ke majalah ini. Menurut hemat saya waktu itu, jika saya benar-benar mahu menguji kebolehan, hanya majalah Dewan Sastera satu-satunya majalah yang serius dengan sastera.

Akhirnya, pada keluaran Mei 1979, sebuah sajak pendek saya telah disiarkan dan sejak itu saya memastikan agar membeli majalah ini pada setiap keluaran. Itu kisah awal bagaimana saya mengenal dan mencintai majalah Dewan Sastera. Sejajar dengan peningkatan usia dan kejayaan kerjaya, soal harga majalah Dewan Sastera yang mencecah RM6 tidak lagi dirasakan suatu yang membebankan poket saya.

Akan tetapi, di tengah nama demi nama sasterawan dan persatuan penulis yang muncul dan berkembang saban tahun, dokongan pemerintah yang tidak berbelah bagi dengan pelbagai anugerah dan kegiatan sastera, majalah Dewan Sastera tetap tidak sunyi menghadapi dugaan.

Meski mutu penerbitan dan kandungannya sentiasa dianggap terbaik dan cemerlang, peningkatan jumlah sasterawan dan persatuan, namun hal-hal ini tidak sama-sama menjanjikan peningkatan dalam pembelian majalah Dewan Sastera. Sehingga pada suatu waktu, majalah Dewan Sastera yang sebelumnya dapat dilihat terpajang dan dibeli dari gerai menjual majalah dan akhbar di tepi jalan, tidak lagi kelihatan dijual. Alasan diberikan oleh penjual atau pemilik gerai, majalah ini tidak laku dijual dan pengedar enggan menerimanya jika ingin dikembalikan.

Sekian tahun, pelbagai kaedah diusahakan oleh pihak DBP selaku penerbitnya. Namun begitu, tiada satu pun yang mampu menjadi pengubatnya. Hal ini ditambahparahkan lagi dengan jumlah pelajar sastera yang kian mengecil dan pelbagai dugaan lain pada peringkat bangku sekolah dan pusat pengajian.

Akhirnya, meski saban bulan majalah Dewan Sastera yang diterbitkan dikhabarkan tidak menjanjikan pulangan kewangan yang setimpal dan menguntungkan penerbitnya, atas nama tanggungjawab sosial, majalah ini diputuskan untuk tetap terus diterbitkan. Mulai bulan Januari 2020, majalah ini dan Dewan Bahasa diterbitkan secara digital dan dapat dibaca atau diakses secara percuma di portal rasmi Dewan Bahasa dan Pustaka masa itu.

Tentu sahaja langkah ini disambut gembira oleh banyak kalangan pembaca, tanpa mengira apakah mereka pembaca yang serius ataupun tidak majalah ini. Juga tanpa peduli, adakah mereka ini sasterawan benaran atau pseudosasterawan.

Tiada masalah apa pun sebenarnya. Benda boleh dapat secara percuma jadi kenapa hendak membeli pula? Begitulah asas dan resam berfikir kebanyakan kita. Tanpa peduli, adakah dirinya seorang pembaca majalah yang serius atau bukan atau adakah dia seorang yang benaran sasterawan atau cuma bermain wayang.

Inilah tragedi sebuah majalah Dewan Sastera (Dewan Bahasa) juga. Atas asas kebijaksanaan aras paling tinggi pihak pengurusan tertinggi DBP tentunya, dan rasa tanggungjawab sosial, dua majalah ini telah didigitalkan dan boleh dicapai secara percuma.

Sebagai pembaca dan pembeli majalah Dewan Sastera sejak tahun 1979 secara serius, saya tidak pernah ingin bertanya dan menyoal apa-apa rasional dan alasan tindakan berkenaan terhadap dua majalah ini.

Hanya secara peribadi, sebagai pembaca yang punya rasa maruah serta harga diri, saya kira demikian juga teman-teman lain, penat lelah para penulis, petugas dan semua pihak yang bertungkus lumus untuk memastikan majalah ini mampu berada di pasaran setiap bulan, perlulah dihormati dan dihargai dengan cara membelinya setiap bulan.

Terus terang juga, saya berasa malu untuk berlagak pura-pura. Bercakap berdegar-degar pelbagai isu mengenai sastera sama ada ketika di dalam bangunan DBP mahupun di pelbagai seminar dan pertemuan sastera di luar bangunannya, namun senaskhah majalah Dewan Sastera tidak mahu dibeli dan disokong demi kelanjutan hayatnya.

Malah, saya kira ini juga salah satu bukti contoh hipokrasi para sasterawan Melayu Malaysia yang paling nyata. Mereka bercakap mengenai sastera di sana sini, menulis karya yang dikatakan sastera dan mengaku dirinya sasterawan. Namun sebuah majalah sastera yang sepatutnya mereka sayangi dan sokong dibiarkan tenat dan dipermainkan maruahnya!

Saya memandai-mandaikan diri bertanya-tanya, mengira-ngira dan berhitung. Dengan sekian jumlah persatuan penulis yang bertebaran di seluruh negara dan para ahlinya yang mungkin ribuan, mustahil jika majalah Dewan Sastera yang diterbitkan sebanyak seribu naskhah tidak mampu dijual?

Atau para sasterawan Melayu Malaysia sebenarnya memang tidak suka membeli dan membaca majalah sastera berbahasa Melayu?

Jika benar demikian, alangkah hipokritnya diri saya yang mengaku dirinya seorang sasterawan Melayu di Malaysia!

Atau saya sebenarnya, kerana masih mengada-ada dan berlagak mahu membeli majalah yang  sepatutnya dapat diakses dan dibaca secara percuma, bukanlah seorang sasterawan dalam erti kata yang sebenarnya.

Kredit Foto: Brandon Lee/Unsplash

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected].

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.