23 Jun 2023, 10:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nor Muhamad Mat Zain, karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ingin mengajak warga kerja terutama orang muda di DBP kembali bertaring menulis atau menguruskan program sastera seperti era Sasterawan Negara (SN) Keris Mas, SN Usman Awang, SN Baha Zain dan para legenda yang pernah meniti di bibir masyarakat.

Kuat lilit kerana simpulnya

(Abdullah Hussain)

Dewan Bahasa dan Pustaka sudah 67 tahun usianya. Institusi ini terus teguh berjuang, dan terpahat nama-nama tokoh yang mencurah keringat dan suara, idea serta pemikiran yang bijaksana. Bermula tanggal 22 Jun 1956 sebagai Balai Pustaka, dan  seterusnya berubah namanya ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Di sini lahirnya pemikir tanah air,  tokoh terkemuka dalam memperjuangkan bahasa dan sastera sebagai alat penyatuan untuk mencapai kebersamaan semua bangsa.

Menelusuri sejarah DBP merupakan sebuah catatan yang panjang. Baik perjuangannya dalam atau dari luar sana. Masing-masing berperanan dengan kesungguhan dan faham akan tentang matlamat organisasi dalam membina, memperkaya dan mengembang bakat sastera dalam bahasa kebangsaan segenap bidang.

Sesuai dengan tema sambutan 67 tahun, iaitu “Nama dari Suatu Sejarah”, ungkapan yang dipetik melalui lagu Dewan Bahasa, nukilan SN Usman Awang.

Pada saat ini, Pelan Strategik DBP 2021-2025 juga dirangka sebagai nadi penggerak bagi merancakkan lagi usaha DBP dalam mencapai visi, misi dan objektif penubuhan institusi keramat ini. Pelan Strategik yang dibina juga telah mengambil kira tentang keupayaan karyawan dan pembinaan kepakaran dalaman, perubahan zaman atau minat generasi, perkembangan dan kemajuan bidang sains teknologi, serta program yang memberi impak kepada masyarakat.

Dalam kita memperkatakan tentang matlamat dan perjuangannya, bagaimanakah pula dengan kelahiran serta kewujudan pelapis dan tokoh pejuang bahasa dan sastera dalam kalangan karyawan muda di DBP? Wujud atau tidak? Atau masih kabur dan tenggelam dalam lipatan sejarah, atau masih lagi dibayangi kisah silam untuk dikenang-kenang tanpa sebarang perubahan yang membolehkan zaman kini juga mampu dianggap sebagai zaman keemasan.

Dulu… dulu… hebat. Dulu kuat…

Mengapa tidak kita bicarakan; “Hari ini, telah muncul bayangan tokoh terdahulu, Keris Mas, Usman Awang, Baha Zain, Anwar Ridhwan, Sutung Umar RS, Johan Jaaffar, Zaen Kasturi, Mohamad Daud Mohamad dan ramai lagi.

Soalnya, ada ataupun tidak? Hal inilah yang mencabar kumpulan karyawan muda, bukan sahaja mengenangkan sejarah keemasan silam sebagai teladan dan panduan, tetapi bersama-sama bangkit meneruskan cita-cita murni ini.

Ketika penulis menjejakkan kaki di institusi keramat ini, terlintas dalam benak fikir adalah wajah-wajah sasterawan, pengarang, penulis yang berstail dan beridentiti; penggiat seni teater (kepengarahan, penulis skrip, pelakon); penyelidik yang pakar bidang bahasa, sastera dan budaya; serta wibawa seorang ‘Si Mata Helang’ atau editor dalam bidang editorial dan penerbitan. Paling membanggakan apabila sosok yang dibayangkan itu terdiri dalam kalangan karyawan DBP.

Masih wujudkah hingga kini, penulis dalam kalangan karyawan DBP ?

Jawapannya, wujud dan mereka memiliki identiti yang tersendiri. Malah, muncul juga bakat-bakat baharu (khususnya dalam bidang penulisan dan kepengarangan) serta individu yang mewakili bidang kepakaran masing-masing sepanjang tempoh 2021-2023. Apabila memperkatakan tentang editor, terpaculnya nama-nama editor yang disukai oleh pengarang dan penulis, sama ada kesantunannya dalam melayani pengarang atau ketelitian dalam menguruskan manuskrip. Begitu juga dengan keberadaan pakar rujuk, khususnya penyelidik di DBP yang senantiasa menjadi rujukan oleh para peneliti bahasa dan sastera seperti pelajar dan sarjana.

Dapat penulis katakan, menjadi warga kerja DBP bermakna seseorang itu telah memiliki kemahiran yang tersendiri, keupayaan dan kebolehan yang pelbagai berdasarkan fungsi dan tujuan. Misal, SN Baha Zain dan Anwar Ridhwan, seorang cendekia dalam ilmu karang mengarang terutamanya bidang sastera.

Mereka sangat berjiwa besar dalam merencanakan program mahupun aktiviti bahasa dan sastera. Mereka juga mampu menjadi pengurus sastera yang efisien dari pelbagai sudut. Oleh itu, karyawan DBP harus ke arah itu, dan mengimbangi antara bakat serta kepakaran dengan hal ehwal pengurusan dan urus tadbir. Kayu ukur bagi meletakkan pengurus sastera yang berjaya bukan hanya dinilai pada kuantiti atau jumlah program dan aktiviti yang diadakan tetapi pada kualitinya dan kesan kepada masyarakat.

Agak mendukacitakan jika institusi yang melahirkan pemikir, pengarang dan penulis di luar sana tidak melahirkan pemikir dan penulis dalam kalangan karyawan itu sendiri. Hal inilah yang menjadi persoalan masyarakat di luar sana, selain diperakui bahawa karyawannya mempunyai kepakaran dalam bidang editorial, pengurus sastera, penyelidik dan pakar bidang, namun dipersoalkan adalah penulis dan pengarang dalam kalangan warga kerja. Hal ini kadang kala menjadi bualan dan pertanyaan dalam kalangan sarjana, penulis dan individu yang berada di bawah persatuan penulis.

Oleh itu, wajarlah kesedaran ini perlu muncul dalam kalangan karyawan terutama generasi muda di institusi keramat ini. Ruang dan peluang yang tersedia di DBP harus dimanfaatkan sebaik mungkin, kerana peluang yang muncul bukanlah percuma tetapi sebuah kurniaan. Sekalipun, terdapat individu yang mengatakan untuk menjadi seorang penulis, mereka perlunya bakat dan kemahiran. Namun, pada pandangan penulis, bakat tidak akan muncul jika tiada kesedaran, kesungguhan, minat dan usaha.

Keberadaan penulis dan pengarang dalam kalangan warga kerja merupakan satu daripada identiti DBP. Jika hilang identiti seumpama ini, maka terbenamlah nilai dan harga perjuangan terdahulu, serta pudarlah kepercayaan masyarakat terhadap institusi tersebut.

DBP suatu ketika dahulu sering menjadi tempat yang dikunjungi oleh penulis tanah air, bukan semata-mata kerana urusan yang berkaitan dengan urus tadbir seperti penerbitan karya dalam bentuk buku, atau secara eceran dalam majalah, tetapi kunjungan mereka ke DBP disebabkan kewujudan penulis dan sasterawan yang berwibawa.

Namun begitu, masa bersilih ganti. Kewujudan DBP sudah berusia 67 tahun, penulis-penulis yang suatu ketika dahulu merupakan warga kerja di DBP sudah pun bersara, dan tinggal generasi yang perlu kuat akarnya untuk mengembangkan bahasa dan sastera.

Sebahagiannya nama-nama yang disebut tadi, sudah berada di alam barzakh (al-Fatihah untuk mereka).

_________________________

Nor Muhamad Mat Zain atau Nur Muhamad Fansuri seorang pendaki gunung yang tegar dan amat intim dengan alam kehijauan flora. Buku beliau yang baru terbit ialah Kaki Gunung: Travelog ke Puncak Ardi. Hasil makalah beliau pernah disiarkan dalam akhbar Berita Harian, majalah Dewan Budaya dan Portal Gerbang Borneo. Beliau pernah menjadi editor di Bahagian Buku Sastera, Jabatan Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan kini merupakan seorang pegawai di Bahagian Penyelidikan Sastera, Jabatan Dasar dan Penyelidikan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.