Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Rancangan Pena Editor terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menampilkan Puan Salina Ibrahim untuk berkongsi cerita tentang antologi cerpen; Sebuah Rumah dan Naratif Tanah Air, baru-baru ini.
Dalam perkongsian tersebut, beliau menyatakan antologi ini memperlihatkan buah fikiran pengarang yang dipilih mengenai tanah air dan kepekaan mereka terhadap isu yang berlaku di negara berlandaskan tema Malaysia MADANI.
Ujar beliau, setiap karya yang dikumpulkan mencerminkan kekuatan setiap penulis dalam melihat isu mutakhir yang berlaku dalam negara. Malah, barisan pengarang mewakili gender, negeri dan isu-isu seputar umur.
“Oleh itu, sebagai editor yang menyusun antologi cerpen ini, saya amat puas hati dan yakin setiap karya akan membekas ke dalam hati pembaca”.
Antara pengarang yang terlibat adalah Hafizah Ishazanid, Lokman Hakim, Ruhaini MatDarin, Shahkang, Tiras Raduan, Ummu Hani Abu Hassan dan beberapa orang lagi.
Sebelum itu, antologi ini menghimpunkan kisah-kisah manusia tentang keunikan citra Malaysia yang berlandaskan ilmu pengetahuan dan kearifan tempatan serta usaha ke arah kesejahteraan sosial, ekonomi dan kelestarian alam melalui budaya ilmu.
Boleh ikuti rancangan Pena Editor pada pautan yang disediakan: https://jendeladbp.my/radio/sebuah-rumah-dan-naratif-tanah-air/