23 Jun 2023, 19:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sebanyak 18 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada pelbagai bidang telah memeriahkan program “Suara dari Balai Budaya” bersempena dengan sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-67 tahun di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, semalam.

YBrs. Dr. Azizul Ismail, iaitu Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum DBP yang mewakili Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera semasa menyampaikan ucapan alu-aluan menyatakan bahawa:

Bahasa Melayu ialah bahasa perpaduan bagi bangsa Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan.

YBrs. Dr. Azizul Ismail, iaitu Ketua Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum  semasa menyampaikan ucapan alu-aluan bersempena dengan program “Suara dari Balai Budaya”, semalam.

Oleh itu, menerusi program yang diadakan ini sudah tentu kita dapat menunjukkan semangat dan usaha bagi mendaulatkan bahasa kebangsaan.

Beliau turut memetik kata-kata YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia:

“Tiada halangan kepada sesiapa untuk memperkasakan bahasa, sastera dan budaya.”

Oleh itu, DBP akan sentiasa membuka ruang kepada mana-mana persatuan dan individu untuk menggembleng usaha dalam memartabatkan perkara tersebut.

Program ini diserikan dengan kehadiran, YBrs. TPr. Dr. Alias Rameli, Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa merangkap Penaung Persatuan Pegawai Perancang Bandar dan Desa. Beliau turut membaca sebuah puisi, “Perjuangan Bangsa” nukilan Sabar Buhari.

YBrs. TPr. Dr. Alias Rameli, Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa semasa mendeklamasikan puisi pada malam “Suara dari Balai Budaya”.

YBhg. Datuk Zainal Abidin Borhan, Presiden GAPENA; YBhg. Prof. Dato’ Dr. Noraini Idris, Pengerusi Persatuan STEM Kebangsaan; YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Fauzan Noordin, Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) turut serta mendeklamasikan puisi dalam majlis tersebut.

Selain itu, YBhg. Dato’ Radzuan Ibrahim, Presiden PEMUISI serta YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Presiden PENA, turut mendedikasikan beberapa puisi seperti “Perpaduan Malaysia” dan “Zaman Ini Tiada Lagi Nyalaan Api” dengan gaya tersendiri.

YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad mendeklamasikan sajak “Zaman Ini Tiada Lagi Nyalaan Api” nukilan beliau sendiri.

 

YBhg. Dato’ Radzuan Ibrahim dengan gaya tersendiri, mendeklamasikan sajak bersempena dengan program “Suara dari Balai Budaya”.

Antara NGO lain yang terlibat dalam program ini ialah Persatuan Teater Malaysia, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Pekomik Malaysia (PEKOMIK), Persatuan Rumpun Mekar Budaya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MEKAR BUDAYA), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Pertubuhan Seni Gayong Serantau Malaysia (PSGSM), Pertubuhan Gagasan Minda Merdeka (GMM), Persatuan Karyawan Kaligrafi dan Jawi Malaysia (KALIMA), Pertubuhan Pembangunan Orang Buta Malaysia (PPOBM), Kelab Pidato Antarabangsa (KEPENTAS), Persatuan Badan Budaya DBP, Persatuan Pegawai Perancang Bandar dan Desa (PERSADA), Persatuan STEM Kebangsaan, Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Wadah Pencerdasan Umat Malayisa (WADAH) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA).

Dirgahayu DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.