26 Disember 2023, 16:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Penulis dan penggiat seni tanah air Shirley Idris yakin puisi boleh dihayati oleh masyarakat menerusi pelbagai cara persembahan. Walau bagaimanapun, hal itu tidak bererti beliau terus menolak kaedah pendeklamasian.

Sebagaimana semua maklum, sudah sekian lama pendeklamasian puisi berlangsung di mana-mana dalam banyak acara sastera, malah pelbagai pertandingan. Namun demikian, lantaran telah sekian lama, kata beliau, hal itu menjadi semacam perkara biasa.

“Walaupun deklamasi puisi ialah cara menyampaikan puisi yang popular, tetapi cara ini kurang ‘hidup’ kerana ramai yang mendeklamasikan puisi dengan melihat teks. Sebagai analogi, cuba fikir, adakah menarik jika penyanyi menyanyi dengan melihat lirik pada kertas di tangannya?” kata Shirley semasa berceramah dalam Wacana Interaktif Pengayaan Puisi Artistik MADANI: Pasar Seni di Bawah Tiang Lampu 2 di Rumah PENA, 24 Disember lalu.

Shirley yang giat membuat persembahan puisi artistik dalam bentuk puisi tari di dalam dan luar negara diundang sebagai penceramah kedua wacana anjuran Katarsis Seni dengan sokongan Yayasan Hasanah, ArtsFAS, Kementerian Kewangan Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) itu.

Sebelum berceramah, Shirley menarik perhatian peserta dengan persembahan puisi tari berdasarkan sebuah sajak karya Datuk Dr. Lim Swee Tin.

Beliau telah menampilkannya bersama-sama Datuk Dr. Lim semasa Festival Nada Danau-Alam Sumber Karya di Hentian Amanjaya Royal Belum Pulau Banding, Taman Negeri Royal Belum, Perak, anjuran Meja Poedjangga dan Youth Beat, pada 3 dan 4 November lalu.

Walaupun perlu menghafal sajak-sajak terpilih yang berkaitan, tetapi kata Shirley, tentulah tidak menarik dan janggal jika menari sambil mengucapkan sajak dengan membaca teks di tangan.

Mengenai kaitan puisi tari dengan konsep MADANI yang diterapkan oleh kerajaan sejak setahun lalu, Shirley menjelaskan sudah tentulah persembahan puisi artistik tersebut menggunakan sajak yang menyarankan kebaikan untuk manfaat rakyat Malaysia.

Shirley mengakhiri sesi ceramahnya dengan mengadakan bengkel ekspres puisi tari untuk 60 orang peserta wacana yang sebahagian besarnya pelajar Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif, UPSI.

Para peserta yang dibahagikan kepada enam kumpulan itu kemudian membuat persembahan hasil daripada bengkel berkenaan.

Shirley Idris mengendalikan bengkel puisi tari untuk peserta Wacana Interaktif Pengayaan Puisi Artistik MADANI secara interaktif.

Wacana itu turut dijayakan oleh dua orang penceramah lain, iaitu penyanyi, pencipta lagu, penulis, dan pelakon terkenal, Sani Sudin (ceramah pertama) dan Johan Sayembara Deklamasi Puisi Kebangsaan, Wan Yusoff (ceramah ketiga). Wan Yusoff berbicara dan mengadakan bengkel mengenai pendeklamasian puisi.

Penggiat seni, Azree Ariffin bertindak sebagai moderator ceramah pertama dan kedua wacana itu.

Apabila ditanya mengenai pencarian penyair dan puisi yang bertepatan dengan MADANI, Sani yang juga Tokoh Puisi Kebangsaan 2023 bagi Kuala Lumpur menyatakan puisi memang terdapat dalam konsep berkenaan.

“Sesuai dengan MADANI yang menyarankan kebaikan dan kemurnian, penyair dan isi puisinya perlu sedemikian. Janggal dan mustahil peribadi penyair yang buruk akan menghasilkan sajak yang baik,” tegas beliau yang mula dikenali menerusi lagu puisi Masihkah Kau Ingat, dendangan kumpulan Kopratasa, 36 tahun lalu.

Turut hadir ialah Presiden Kelab Katarsis Seni, Dr. Norzuraina Mohd. Nor dan Prof. Madya Dr. Zahuri Khairani dari UPSI.

 

 

Kredit Foto: Ayuzies Zuraina/Katarsis Seni dan Raja Yusoff Ariffin

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.