26 Jun 2023, 18:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Hampir 100 orang penulis dan deklamator menyertai Bengkel Sehari Penghakiman Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK), anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, serta Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Hotel Regalpark pada 24 Jun lalu.

Menariknya, ramai dalam kalangan peserta bengkel tersebut merupakan juara dan peserta peringkat akhir SDPK yang lalu, sama ada mewakili persatuan penulis di bawah atau badan gabungan GAPENA, mahupun perseorangan.

Antara juara SDPK yang menyertai bengkel tersebut termasuklah Maarof Seman, SDPK tahun 1997 yang mewakili Persatuan Penulis Kelantan/PPK, Nor Afliza Arshad (1999/Lembaga Bahasa Melayu Melaka/LBM), Amaruszati Noor Rahim (2003/Dewan Persuratan Melayu Pahang/DPMP), Brigedier Jeneral Dato’ Dr. Mohd. Radzi Abd. Hamid (2009/perseorangan), Mohamad Tarmizi Kassim (2010/perseorangan), Datin Seri Haryani Haron (2013/perseorangan), Mohd. Aki Azmi (2020/Persatuan Penulis dan Peminat Sastera Perak/PENTAS), dan Muhammad Suffian Khirham (2022/perseorangan).

Para peserta Bengkel Penghakiman Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan.

Bermula dari jam 10 pagi sehingga 4.30 petang, para peserta bengkel dibimbing oleh Naib Presiden GAPENA, Tuan Haji Hamzah Hamdani dan penyair/deklamator yang juga penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara tahun 1999, Dr. Lim Swee Tin, dengan juara SDPK 2012, Azmi Ismail sebagai pemudah cara.

Dr. Lim Swee Tin.

Tuan Haji Hamzah Hamdani mengutarakan tentang soal teknikal merangkumi penjurian dan pemarkahan yang terperinci, termasuklah corak suara yang sewajarnya mempengaruhi markah. Dr. Lim pula pula membicarakan soal gaya, penekanan suara, serta petua dan pantang larang pendeklamasian.

Selain itu, para peserta bengkel juga turut diminta memberikan penilaian terhadap pendeklamasian beberapa orang peserta terpilih. Muhammad Suffian juga berkesempatan mendeklamasikan sebuah sajak sebelum bengkel berakhir.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Presiden GAPENA, iaitu Dato’ Zainal Abidin Borhan, Timbalan Presiden GAPENA, Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Setiausaha Agung GAPENA, Encik Zainal Mohd. Jais, Bendahari GAPENA, Prof. Dr. Hashim Ismail dan Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja DBP, Puan Roziah Md. Yunus yang mewakili Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP.

Menerusi ucapan penutupan bengkel, Dato’ Zainal berharap agar SDPK akan berterusan dan kekal dengan identitinya, sambil disegarkan dengan beberapa pembaharuan yang sesuai. Beliau juga menyatakan perasaan gembira apabila bengkel penghakiman dapat diadakan setelah sekian lama sejak yang pertama kalinya diadakan pada tahun 2000.

“Walaupun ada beberapa sayembara deklamasi puisi lain seperti Sayembara Deklamasi Puisi Artistik anjuran PEMUISI, tetapi SDPK perlu kekal dengan bentuk dan kekuatan tersendiri,” tegas beliau yang turut mengangkat persembahan juara SDPK 1996, Ahmad Shukri Abdullah yang dianggap membawa kesegaran dalam gaya pendeklamasian SDPK. Shukri turut hadir sebagai pemerhati.

Sarjan Adam Bakhtiar Buck Lee.

Penulis sempat bertanyakan pandangan beberapa orang peserta tentang bengkel berkenaan. Antaranya termasuklah Sarjan Adam Bakhtiar Buck Lee yang berpendapat tempoh masa bengkel ini terlalu singkat kerana hanya berlangsung sehari. Ujarnya,

Saya fikir mungkin harus ada bengkel lanjutan selepas ini untuk mencari penyelesaian dalam perbezaan pendapat yang timbul, di samping mencari mekanisme terbaik dari segi pembahagian markah penjurian.

Baginya, dari segi pemilihan hakim SDPK, hakim yang terbabit perlu seimbang dan mahir dari segi seni persembahan, dan bukan dalam kalangan aktivis kerana dikhuatiri akan mencacatkan pemilihan. Tambahnya,

Begitu pun, usaha GAPENA menganjurkan bengkel ini harus dipuji dan saya harap dapat berterusan supaya mencapai objektif sebenarnya, serta memelihara prestij SDPK. Percambahan minda juga perlu diselitkan dalam bengkel seumpama ini, dan jawapan yang jitu untuk memuaskan sebarang persoalan.

Zaifulnizam Wagiran.

Timbalan Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Zaifulnizam Wagiran pula memuji bengkel ini kerana ia merupakan satu takah kematangan dalam penganjuran untuk meningkatkan lagi kualiti penghakiman SDPK.

“Saya lihat bengkel ini mampu memberikan kefahaman yang lebih terperinci dan mewajarkan daya penilaian yang sejajar standardnya dalam semua SDPK peringkat negeri. Ia merupakan langkah terbaik bagi melestarikan SDPK, dan menambah prestij acara perdana yang telah memasuki penganjuran kali ke-37 ini,” tegas Zaiful yang giat menulis dan mendeklamasi sajak, serta menjadi juri sayembara deklamasi sajak lain.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.