Oleh Karmila Azmi
17 November 2023, 07:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malam Puisi Riong BH-DBP 2023 mendapat sambutan hangat apabila Balai Budaya Tun Syed Nasir penuh dengan kehadiran hampir 300 hadirin.

Majlis yang diadakan oleh Berita Harian (BH) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu dimulai dengan ucapan oleh Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari.

Turut hadir, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The New Straits Times (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan ketika membaca puisi nukilannya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The New Straits Times (NSTP), Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman ketika menyampaikan ucapannya.

Dr. Hazami dalam ucapannya berkata bahawa DBP tidak terkecuali mempergiat usaha memartabatkan bahasa dan sastera dengan kerjasama pelbagai pihak.

Katanya, hubungan DBP dan BH adalah erat, malah Malam Puisi Riong diketahui sebagai satu jenama acara deklamasi dan apresiasi  puisi yang menghimpunkan pelbagai pihak berlainan latar belakang.

“Program ini telah menjangkau lebih 40 tahun penganjurannya. Edisi kali ini bukanlah kerjasama kali pertama antara NSTP dengan DBP,” katanya.

Beliau berkata bahawa semangat serta usaha semua pihak untuk menyemarakkan kembali arena puisi tanah air yang bertunjangkan bahasa dan bersulamkan sastera ialah usaha yang pastinya dapat menyokong fungsi pengembangan DBP untuk memperteguh sikap dan juga kefahaman masyarakat terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan serta bahasa ilmu.

Dalam majlis itu, beliau turut mendeklamasikan puisi tulisannya sendiri yang bertajuk, “Gagah Melangkah”.

Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari ketika mendeklamasikan puisi nukilannya sendiri bertajuk ,“Gagah Melangkah”.
Pyanhabib ketika mendeklamasikan puisinya.
Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari ketika mendeklamasikan puisinya bertajuk,”Sengsara”.

Malam Puisi Riong 2023 turut diserikan dengan deklamasi puisi antara lain oleh pelakon Fathia Latif, Norzizi Zulkifli, selain penampilan Pyanhabib, Sabri Yunus, Angline Tan, dan mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris yang tampil dengan tarian zapin.

Kredit Foto: Khairul Azhar

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.