Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bahasa dan sastera, dua elemen penting yang merangkumi semua aspek kehidupan sebagai asas pembinaan budaya bangsa yang lebih bertamadun dalam segala tuntutan dan keperluan.
Justeru, penggunaan bahasa yang baik tidak wajar dianggap remeh, sebaliknya harus dipraktikkan oleh semua lapisan masyarakat, termasuk jabatan, institusi serta agensi, sama ada kerajaan atau swasta.
Pengurus Penjenamaan Radio Zayan, YBrs. Sdr. Wan Syahrul Amry Wan Mansor berkata, hal ini tidak terkecuali pada institusi penyiaran yang sepenuhnya terlibat dengan kerja-kerja berkaitan komunikasi.
“Apabila sebut berkomunikasi, maknanya dengan bahasa (kita menggunakan bahasa). Apatah lagi media penyiaran, ia satu medium penting yang berperanan dalam melaporkan atau menyampaikan maklumat kepada umum. Zayan sentiasa menitik berat akan perkara ini.
“Maka dua elemen (sastera dan bahasa) itu penting, perlu dihadam kerana ia berkait rapat ke arah keberkesanan penggunaan bahasa yang baik, tepat dan betul bagi memastikan maklumat itu difahami dengan jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa dihubungi selepas program Simfoni Rohani anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Radio Zayan yang diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP, Kuala Lumpur, 14 November lalu.
Malam yang penuh inspirasi itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarah DBP, YBrs, Dr. Hazami Jahari dan dimeriahkan dengan acara pengucapan puisi, nyanyian lagu kerohanian dan persembahan drama sebabak oleh penyampai radio berkenaan.
Zayan ialah stesen radio Malaysia berbahasa Melayu di bawah kendalian Astro Radio yang telah memulakan operasinya sejak tujuh tahun lalu dengan konsep Gaya Hidup Muslim Kontemporari.
Menurut Wan Syahrul Amry, program tersebut merupakan kali kedua diadakan yang bertujuan untuk membudayakan penggunaan bahasa yang baik selain mempromosikan pengisian bermanfaat bersama-sama lagu kerohanian atau nasyid yang sering dimainkan di Zayan.
“Ini (Simfoni Rohani) adalah program kali kedua Zayan bersama-sama DBP. Pada tahun lepas, program ini diadakan sempena dengan Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023,” jelasnya.
Tambahnya, Zayan sentiasa komited untuk bekerjasama dengan DBP sebagai sebuah badan penting dalam membina serta memartabatkan penggunaan bahasa yang baik serta betul bagi segala maksud.
Sementara itu, katanya, pihak Zayan sangat menghargai usaha DBP yang sentiasa memberi sokongan dan dukungan kepada Zayan dalam usaha sama membudayakan pengisian yang positif melalui platform media, terutamanya radio.
