Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 29 Jun 2025, 12:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek mencuri tumpuan khalayak apabila turut serta mendeklamasikan puisi dalam program Gema Puisi Nan Abadi bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun  Ke-69 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang berlangsung di Dewan Sipadan, Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), semalam.

Kehadiran beliau sebagai deklamator jemputan dengan puisinya berjudul “Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar” karya Usman Awang dalam program tersebut disambut meriah oleh para hadirin.

“Puisi ini merupakan puisi kegemaran saya. Saya memilih untuk mendeklamasikannya di mana-mana sahaja kerana konteksnya dan Sasterawan Negara (SN) Usman Awang telah mengungkapkan observasi sosial yang sangat kritis dan tajam tatkala menyentuh tentang kepimpinan dan suara rakyat,” ujarnya.

Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek menyampaikan puisi berjudul “Surat dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar” dalam program Gema Puisi Nan Abadi  di SICC, semalam.

Selain itu, program itu turut menampilkan penyair antarabangsa dari negara rantau Asia Tenggara seperti Zeffri Arif (Brunei), Haji Nawawi Haji Ahmad (Brunei), Fatin Hamama R Syam (Indonesia) dan Gol A Gong (Indonesia), sekali gus memperkukuh jaringan kebudayaan ASEAN melalui wadah puisi sebagai bahasa bersama.

Pentas deklamasi turut disemarakkan lagi dengan barisan sasterawan negara, antaranya termasuklah SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, SN Dato’ Dr. Zurinah Hassan, selain penyair tanah air, Datuk Haji Raisin Saidin, Abd Karim Gullam, Juri Durabi serta Amiruddin Ali Hanapiah.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan mendeklamasikan puisi berjudul “Mereka Bahasawanku Sebuah Puisi”.

Program Gema Puisi Nan Abadi yang menghimpunkan para penyair dari pelbagai negara rantau Asia Tenggara itu menjadi wadah penghayatan seni dan pentas penyatuan suara serantau menerusi karya puisi yang sarat dengan mesej kemanusiaan, kebudayaan dan jati diri.

Penganjuran program berkenaan merupakan sebahagian daripada acara utama dalam rangka Sambutan Ulang Tahun Ke-69 DBP yang bertujuan memperkukuh kerjasama budaya serantau, selain mengangkat puisi sebagai medium perpaduan dan diplomasi budaya antara negara-negara ASEAN.

Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek bergambar bersama-sama pelajar yang hadir dalam program Gema Puisi Nan Abadi di SICC, malam tadi.

Turut hadir memeriahkan program tersebut ialah Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Datuk Dr. Mohd. Arifin Datuk Haji Mohd. Arif; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari; Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa), YBhg. Datuk Jasni Matlani; Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hassan; para sasterawan, karyawan DBP serta para pelajar.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi