Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuantan – Buat julung kalinya, acara Puisi Petang memeriahkan ruang legar Kompleks Teruntum, Kuantan sempena program Nostalgia Kompleks Teruntum yang berlangsung pada 21 Disember 2024.
Acara anjuran Badan Pengurusan Bersama Kompleks Teruntum (BPBKT) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) itu dihadiri oleh Wan Hanif Wan Hamid dan Nourul Ibrahim sebagai pembaca puisi, manakala persembahan lagu puisi pula dipersembahkan oleh para pengunjung awam yang hadir.
Turut hadir membuat persembahan ialah Man Kayan dari Kelab Serindit Mati Tersepit dan penampilan istimewa Usop Kopratasa yang mendendangkan lagu Masihkah Kauingat dan Permata untuk Isteri.
Pelancaran buku kumpulan puisi Primadona Canggung tulisan Wan Zamzahidi Wan Zahid turut diadakan.
Kata pengantar buku yang diterbitkan secara mandiri tersebut ditulis oleh Allahyarham Pyanhabib Rahman, tiga bulan sebelum beliau kembali ke Rahmatullah.
Buku tersebut merupakan buku kesembilan tulisan Wan Zamzahidi dan mengandungi 75 buah sajak.
Nostalgia Kompleks Teruntum ialah usaha untuk mengembalikan dan mengimbau zaman kegemilangan Kompleks Teruntum.
Program ini diadakan sepanjang empat hari, bermula 19 Disember 2024 hingga 22 Disember 2024, dengan pelbagai aktiviti menarik seperti peragaan pakaian bertema, pameran kenderaan klasik, pertandingan karom, dan pertandingan fotografi.
Kompleks Teruntum yang dibina sekitar tahun 1979 dengan ketinggian 87 meter dan mempunyai 22 tingkat merupakan sebuah bangunan ikonik pertama dan tertinggi di negeri Pahang pada ketika itu.
Bangunan ini juga menempatkan sebuah kompleks beli-belah yang bersambung dengan menara pejabat agensi-agensi kerajaan. Kompleks Teruntum menjadi tumpuan penduduk untuk membeli-belah dan berhibur pada hujung minggu bersama-sama ahli keluarga pada sekitar tahun 1980-an hingga 1990-an.
Biarpun kini terdapat pelbagai kompleks beli-belah baharu yang dibina, Kompleks Teruntum masih gah dan menjadi “penyambut tetamu” kepada semua pengunjung yang melancong ke negeri ini, khususnya daerah Kuantan, atas kedudukannya yang strategik, berhampiran dengan Sungai Kuantan.
Majlis Perasmian Nostalgia Kompleks Teruntum telah disempurnakan oleh Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB Puan Leong Yu Man di ruang legar Kompleks Teruntum.