Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMuadzam Shah – Sajak bertemakan “Aspirasi Pahang 1st” berjudul “Suara Nadi Pahang” membawa tuah kepada anak jati kelahiran Pahang, Kamarul Ariffin bin Abdul Malik atau nama penanya, Arul Malik. Melalui kemenangan tersebut, beliau berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 dan sijil pencapaian.
Majlis penyampaian hadiah Sayembara Penulisan Puisi Pahang 1st disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim, pada 4 Julai 2026 di Dataran Muadzam Shah, Pahang.
Kamarul Ariffin menyifatkan kemenangan beliau bukanlah sesuatu yang mudah kerana beliau berhadapan dengan cabaran besar untuk menghasilkan sajak yang puitis apabila dibaca.
“Saya cabar diri saya meneroka perkataan-perkataan baharu dan sesuai dalam Kamus Dewan untuk menghasilkan sajak yang bertepatan dengan tema.
“Sajak ini menggunakan simbolik Sungai Tembeling, Sungai Pahang dan gunung-ganang sebagai lambang sejarah serta asal usul jati diri anak watan Pahang. Selain menggambarkan Pahang bukan sekadar nama di atas peta, tetapi satu semangat kesatuan rakyat,” jelasnya.
Dalam majlis yang sama, Abdul Rahman bin Janai dengan sajaknya “Demimu Darul Makmur” memenangi tempat kedua dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM800.
Sementara itu, tempat ketiga dimenangi oleh Muhammad Basiron Aiman bin Ab Rahman yang meraih wang kemenangan berjumlah RM500 menerusi sajak berjudul ”Naskah yang Menari”.
Menurut Muhammad Basiron Aiman atau nama penanya Basir Muhammad, sajak yang diciptanya mengangkat Joget Pahang sebagai warisan yang sangat bernilai.
”Saya mahu tunjukkan bahawa seni bukan sekadar tarian, tetapi sebagai lambang dan identiti masyarakat,” ujarnya.
Empat penerima hadiah sagu hati, iaitu Norashikin binti Azmi dengan sajak “Selembar Hikayat Bernama Pahang”, Mazfadillah bin Mat Dewa dengan sajak “Suara dari Hulu Sungai”, Muhammad Daniel Irfan bin Ismail dengan sajak “Risalah Balairung Seri Inderapura”, dan Muhammad Asri bin Karim dengan sajak “Bergerak Sederap, Maju Bersama” masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM200 serta sijil pencapaian.