Oleh Rasoul Manan
4 Jun 2024, 17:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Leftenan Kolonel Profesor Ir Ts Dr. Ahmad Ziad Sulaiman, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik & Antarabangsa) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bakal menerbitkan karya sulung beliau, iaitu kumpulan puisi Saudaraku.

Kumpulan puisi ini memuatkan 40 buah puisi berkenaan perasaan penulis terhadap keperitan, perjuangan dan semangat untuk menegakkan kebenaran demi membebaskan bumi Palestin daripada kezaliman dan kekejaman yang mencengkam penduduknya selama ini.

Prof Dr. Zaid menyatakan ilham dalam menghasilkan karya ini adalah rentetan daripada penderitaan yang dialami oleh warga Palestin.

“Perjuangan warga Palestin yang sentiasa bersemangat membuka mata dan hati saya untuk menuliskan puisi-puisi ini.”

Karya beliau akan diterbitkan oleh Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) Pahang dengan kerjasama Penerbit UMPSA sempena Sambutan Hari Puisi Malaysia pada 13 Jun, kelak.

Menurut Pengerusi PEMUISI Pahang, En. Muhammad Azli Shukri, inisiatif penerbitan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti sambutan Hari Puisi Malaysia (HPM) yang disambut pada 13 Jun setiap tahun.

“Hari Puisi Malaysia merupakan sebuah platform menonjolkan bakat golongan intelektual, ahli perniagaan, ahli korporat dan agamawan menyampaikan suara hati mereka dalam wadah puisi”

“Perkembangan ini sangat menarik sekaligus membuktikan puisi mampu menjadi alat penyatuan serta membentuk daya fikir kreatif dalam membangunkan sahsiah dan membina mesej global kesejahteraan hidup manusia.”

Terdahulu, Hari Puisi Malaysia merupakan inisiatif yang diambil oleh pihak kerajaan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, yang disambut setiap tahun selepas diisytiharkan pada Persidangan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) ke-30 di Paris pada tahun 1999.

Hari Puisi Sedunia ditetapkan pada 21 Mac setiap tahun oleh UNESCO, manakala Hari Puisi Malaysia pula ditetapkan pada 13 Jun setiap tahun.

Objektif sambutan  adalah untuk menyemarakkan elemen perpaduan, kasih sayang dan keharmonian melalui kesusasteraan, serta menjadi sebahagian daripada aspirasi kerajaan untuk meningkatkan penggunaan Bahasa Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.