Oleh Suyuthi Yusuf
31 Mei 2024, 18:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Para pemenang kategori Anugerah Bitara Sastera, Hadiah Sastera Darul Makmur kali ke-2 merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang merangkap EXCO Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang (lima dari kiri).

Kuantan – Kerajaan negeri Pahang memberikan pengiktirafan kepada Rahman Haji Yusof dengan menobatkannya sebagai Sasterawan Negeri Pahang 2024.

Pengiktirafan tersebut merupakan satu daripada lima Anugerah Bitara Sastera dalam Hadiah Sastera Darul Makmur kali ke-2 yang berlangsung di Hotel Darul Makmur, Kuantan, pada pagi tadi.

Atas penganugerahan tersebut, beliau mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM30,000 dan sijil penghargaan.

Hasnah Yusoff pula merangkul anugerah Tokoh Dewan Persuratan Melayu Pahang dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM7000. Dr. Aminudin Mansor atau lebih dikenali sebagai Ami Masra pula mendapat anugerah Karyawan Sepanjang Hayat dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM7000.

Hasnah Yusoff, Tokoh Dewan Persuratan Melayu Pahang.
Dr. Aminudin Mansor, Karyawan Sepanjang Hayat (paling kiri).

Manakala anugerah Srikandi Teja pula menjadi milik Amaruszati Noor Rahim dan anugerah Penulis Muda Berbakat diberikan kepada Abdullah Hussaini. Masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM2000.

Amaruszati Noor Rahim, Srikandi Teja.
Abdullah Hussaini, Penulis Muda Berbakat.

YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang merangkap EXCO Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang yang menyampaikan semua anugerah tersebut kepada para pemenang menyatakan bahawa kerajaan negeri Pahang akan terus menyokong sasterawan Pahang dalam membina masyarakat yang berbudaya ilmu dan berpemikiran tinggi.

Negeri Pahang telah melahirkan ramai penulis yang berbakat besar. Antaranya termasuklah Sasterawan Negara Keris Mas dan Pak Sako. Sasterawan-sasterawan ini membentuk identiti bangsa melalui karya-karya mereka dan tidak lupa dalam merakam zaman, manusia dan kemanusiaan.

Selain Anugerah Bitara Sastera, anugerah karya sastera juga diberikan kepada para penulis Pahang. Yang berikut merupakan senarai pemenang bagi setiap kategori:

Novel Umum: 

  • Rahman Haji Yusof (Gadis Tasik)
  • Mohd Fudzail Mohd Nor (Zea Mays)
  • Haji Mohd Mansur Abdullah (Terumbu Kasih)

Novel Popular:

  • Haitun Kamarazaman (Salju Rindu di Kota Edinburgh)
  • Nor Zailina Nordin (Anak Lorong)
  • Nazratul Waheeda Nadzri (Intai-intai Jodoh)

Kumpulan Cerpen:

  • Dr. Norazimah Zakaria (Kurung)
  • Rahman Haji Yusof (Jagung Manis Kayu Gaharu)
  • Khafizan Bahar (Kerbau Pak Utih)

Kumpulan Puisi: 

  • Siti Nur Zainal (Bak Bakawali Mineral, Daun Lebar dan Koklia)
  • Wan Thuwaibah Ghazali (Warkah Seorang Srikandi)

Kumpulan Drama:

  • Roslan Madun (Lagu untuk Kami)
  • Che Norsiah Che Omar (Duka Walinung Sari)

Cerpen Eceran:

  • Arif Mustafa Hamzah (“Anak yang Ditakdirkan”)
  • Siti Nurzulaikha Adam (“Topeng”)
  • Abdullah Hussaini (“Rumah di Sempadan Hutan”)
  • Rodziah Mat Akil (“Rinjin”)

Puisi Eceran:

  • Zalina Samsudin (“Pinggan Jangan Retak)
  • Khafizan Bahar (“Selipar-selipar di Surau)
  • Mohd Fudzail Nohd Nor (“Saringan)
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.