Oleh Rasoul Manan
1 Jun 2024, 08:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuantan – Ami Masra atau nama sebenarnya Aminudin Mansor telah dipilih sebagai penerima anugerah Karyawan Sepanjang Hayat anjuran Dewan Persuratan Melayu Pahang (DPMP).

Pengiktirafan tersebut merupakan satu daripada lima Anugerah Bitara Sastera dalam Hadiah Sastera Darul Makmur kali ke-2 yang diadakan di Hotel Darul Makmur, semalam.

Ketika ditemu ramah oleh wartawan JendelaDBP, beliau menyatakan perasaan amat gembira dan bersyukur dengan penganugerahan ini.

“Pengiktirafan ini saya dedikasi sepenuhnya kepada guru, iaitu Sasterawan Negara (SN) Keris Mas dan SN Usman Awang yang banyak memberikan tunjur ajar, sejak mula berkarya hinggalah ke hari ini.”

“Tanpa sentuhan mereka, saya tidak akan berdiri di sini mengecapi kejayaan sebegini.”

Beliau juga berharap agar generasi muda terus ke hadapan menyambung obor sastera dalam berorganisasi dan kini beliau sedang menyiapkan gurindam untuk diterbitkan kelak.

Terdahulu, Ami Masra dilahirkan di Kerdau, Temerloh, mendapat pendidikan di Sekolah Kebangsaan Paya Taram, Sekolah Menengah Kebangsaan Temerloh, Sekolah Menengah Abu Bakar dan selanjutnya ke Maktab Perguruan Mohd. Khalid Johor Bahru.

Dalam ranah sastera, beliau pernah memenangi Hadiah Sastera Utusan Public Bank Kategori Puisi (1987 dan 1989) dan Hadiah Puisi Kebangsaan ESSO/GAPENA (1991) melalui puisinya, “Setitik Darah di Semantan”.

Selain itu, beliau juga telah menerbitkan beberapa karya, antaranya termasuklah Sajak-sajak A. Latiff Mohidin (DBP, 2011), Akal Budi Melayu dalam Pantun dan Sajak (UKM, 2012) dan terbaharu, Kumpulan Gurindam Rindu Cetusan Kalbu (DBP, 2021).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.