Diterbitkan pada 20 Ogos 2025, 17:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Puan Nuri binti Harun dari Jabatan Peguam Negara (AGC) Cawangan Negeri Sabah diumumkan sebagai johan Pertandingan Penulisan Sajak Patriotik anjuran AGC dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan Jabatan Peguam Negara pada 18 Ogos 2025.

Beliau membawa pulang wang tunai sebanyak RM500.00 dan sijil penghargaan sumbangan DBP yang disampaikan oleh Peguam Cara Negara, YBhg. Dato’ Suzana binti Alias di Ibu Pejabat AGC, Putrajaya.

Naib johan disandang oleh Puan Ayu binti Ismail dari Bahagian Penyelidikan, AGC. Beliau menerima wang tunai berjumlah RM300.00 dan sijil penghargaan manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Encik Ahmad Al-Muhaymin bin Abdul Wahab dari Bahagian Pengurusan, AGC dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM200.00 dan sijil penghargaan.

Sebagai rekod, Pertandingan Penulisan Sajak Patriotik bertemakan “Malaysia MADANI, Rakyat Disantuni” menerima sebanyak 51 karya penyertaan daripada warga AGC seluruh Malaysia sepanjang pelaksanaannya dari 14 Julai hingga 21 Julai 2025.

Sementara itu, Peguam Negara Malaysia, YBhg. Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar dalam ucapan perasmian majlis tersebut menggesa seluruh warga AGC untuk menghayati dan menghargai erti kemerdekaan sehingga rakyat dapat hidup dengan aman dan selesa di tanah air tercinta.

Yang turut hadir memeriahkan majlis ini termasuklah Pengarah Bahagian Pengurusan, AGC, YBrs. Encik Azizi bin Wahab, Ketua-ketua Bahagian AGC dan Perancang Bahasa, Puan Rabi’ahtuladawiyah binti Md. Saleh selaku wakil DBP.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi