Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangIpoh – Penerima SEA Write Award (Malaysia) tahun 2023, YBrs. Puan Siti Zaleha M. Hashim disifatkan sebagai seorang penyair yang kaya dengan kepelbagaian tema dalam mewarnai landskap sastera tanah air sejak tahun 1970-an.
Sasterawan Negara, YBhg. Datuk Dr. Zurinah Hassan menyifatkan hal demikian setelah mengkaji dan mentelaah banyak karya yang dihasilkan oleh penyair kelahiran Taiping berusia 72 tahun itu.
Kata Zurinah, selain kepelbagaian tema dan kelembutan gaya bahasa yang digunakan, sekali gus turut menjadikan Siti Zaleha sebagai seorang penyair yang berdiri dengan kekuatan tersendiri dalam proses kreativitinya.
“Pengkaryaannya (Siti Zaleha) meliputi banyak tema. Walaupun dia bercakap satu perkara kecil tetapi sebaliknya mempunyai makna untuk disampaikan kepada pembaca atau masyarakat menerusi karyanya.
“Kekuatan Siti Zaleha juga adalah kerana kelembutan ungkapan, kata-kata, atau gaya bahasa yang digunakan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi program Bicara Tokoh: Siti Zaleha M. Hashim yang diadakan di Dewan Seri Tanjung, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Ipoh, semalam.
Program tersebut dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Haji Khairul Anuar Ismail dengan menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu Zurinah Hassan, penyair; YBrs. Nik Mohd. Iznan Tuan Yaakub atau lebih dikenali dengan Nimoiz T.Y. dan Siti Zaleha sendiri.
Menurut Zurinah, proses kreativiti Siti Zaleha juga boleh dikatakan menepati prinsip sastera Melayu untuk menyampaikan sesuatu yang baik serta bermanfaat kepada segenap lapisan masyarakat.
Selain puisi, Siti Zaleha yang juga Sasterawan Negeri Perak itu menulis dalam pelbagai genre termasuk cerpen, drama radio dan televisyen, lirik lagu, dan skrip rancangan televisyen.
Puisi-puisi ciptaan Siti Zaleha menjadi tumpuan kajian oleh sarjana kesusasteraan dan penyelidik untuk dibincangkan dalam forum serta seminar kesusasteraan tempatan dan antarabangsa.
Malah, turut dijadikan lirik lagu oleh penggubah lagu tanah air dan menjadi pilihan untuk dinyanyikan dalam pertandingan Sayembara Mencipta Lagu Puisi anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Radio Televisyen Malaysia (RTM) selama sepuluh tahun berturut-turut.
Sementara itu, bagi Nik Mohd. Iznan pula, Siti Zaleha merupakan seorang penyair unik serta berani bermain dengan gaya bahasa yang kadang-kadang agak luar biasa, malah hal demikian secara tidak langsung telah menjadikan puisinya segar dan berbeza.
“Bahasa karya Siti Zaleha indah dan puitis, tetapi tidak kosong. Di sebalik keindahan itu tersembunyi suara perjuangan, terutamanya tentang wanita, kehidupan, dan ketidakadilan.
“Beliau menulis tentang insan biasa, golongan kecil, ibu tunggal. Suara mereka diberi wajah dan makna dalam karya yang jujur sekali gus menyentuh rasa,” katanya.
Tambahnya, pengkaryaan Siti Zaleha berlandaskan nilai Islam yang luhur dengan kaedah penyampaian yang lembut, menyentuh perasaan serta penuh penghayatan yang sangat sesuai untuk bacaan umum.
Dalam pada itu, Siti Zaleha berkongsi minatnya untuk sentiasa memperkasakan karyanya dalam semua aspek termasuk tema, penggunaan bahasa serta pengalaman agar lebih berkesan dan bermanfaat apabila karya sampai kepada masyarakat.
“Sebab itu, saya suka mencari sesuatu kelainan dalam berkarya. Inilah satu cabaran bagi saya, dan saya sentiasa cenderung ke arah ini. Sama ada berjaya atau tidak, itu soal lain,” jelasnya.
