Diterbitkan pada 13 Februari 2025, 07:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Labirin dalam Helaian kali ini menampilkan penerima SEA Write Award (Malaysia) 2023, Siti Zaleha M. Hashim. Beliau juga Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Bil.02/2025. Cari dan telaah buku pilihannya dan selami pengalaman bacaannya.

Buku yang dibaca sekarang | Saya suka membaca dalam pelbagai bidang, bukan hanya kesusasteraan; puisi, cerpen, novel, dan esei. Saya juga meminati buku yang ada kaitannya dengan agama, galaksi, kebudayaan, dan kesenian, termasuk muzik dan filem.

Saya membaca lebih daripada sebuah buku, selalunya dua.

Jika buku itu himpunan esei, saya akan memilih topik yang menarik perhatian saya dahulu.

Tafsir Al-Azhar tulisan Prof. Dr. Hamka saya kaji setiap hari kerana banyak memberikan pencerahan kepada saya tentang sejarah atau peristiwa yang terjadi di sebalik ayat-ayat al-Quran ini.

Sekarang ini, saya juga membaca Layar Kata: Pertalian Sastera dan Filem. Buku ini memperkatakan hal novel dan karya sastera, baik moden mahupun tradisional yang diadaptasi menjadi filem. Lebih menarik lagi, terdapat topik tentang puisi saya, “Sesekali”, yang julung-julung kalinya di negara kita ini diadaptasi menjadi telefilem (filem televisyen) dan kemudian turut diadaptasi menjadi novel. Adaptasi ini dibincangkan secara terperinci oleh seorang pengkaji yang berwibawa, Saudara Za’im Yusoff dalam topik “Puitika Sesekali: Satu Transisi Tekstual Puisi kepada Telefilem, dan juga Novel”.

Buku yang digemari sepanjang zaman | Terdapat dua buah buku yang saya suka baca sepanjang masa: Muntakhab Ahadis, mengenai hadis-hadis pilihan yang diterjemahkan dengan bahasa yang mudah oleh Hadrat Maulana Muhammad Saad, dan Tafsir Al-Azhar, tafsir al-Quran sebanyak 30 juz oleh Prof. Dr. Hamka. Kedua-duanya selalu membuka mata hati untuk melihat keagungan Ilahi.

Watak dalam karya sastera yang digemari | Tidak ada sebarang watak tertentu.

Genre penulisan yang seronok dibaca | Saya masih suka menghayati kumpulan puisi dan pantun.

Buku yang diulang baca | ada dua kumpulan puisi: A. Samad Said: Sebuah Antologi Puisi yang Menghimpunkan Karya-karya Selama Lebih Setengah Abad (buku puisi himpunan Sasterawan Negara A. Samad Said ini dikumpulkan oleh penyair dan pengkritik puisi, Dharmawijaya) dan Hujan Bulan Juni karya Sapardi Djoko Damono.

Buku yang menjadikan saya penulis | Ketika remaja, saya suka membaca buku-buku pantun dan tertarik dengan bahasa puisi tradisional yang indah. Saya juga ketika itu suka membaca novel-novel karya Hamka, seperti Di Bawah Lindungan Kaabah, Tenggelamnya Kapal van der Wijck, juga novel Musafir karya Hasan Ali dan Desa Pingitan karya Ibrahim Omar. Semua yang saya baca mempengaruhi perasaan saya dan mendorong saya untuk mula menulis.

Buku bacaan kanak-kanak | Sewaktu kanak-kanak, ayah dan datuk saya selalu membelikan buku cerita kerana saya suka membaca. Antara yang saya ingat termasuklah Kisah Sang Kancil, Bawang Putih Bawang Merah, Batu Belah Batu Bertangkup, dan Nakhoda Tenggang.

Buku bukan fiksyen yang disukai | Kumpulan puisi Mohamad Saleeh Rahamad, Serindit Merah. Pemikirannya tajam dan bahasanya terpilih. Puisinya dalam buku ini dibahagikan kepada dua kategori, Harga Diri dan Yang Ada Hanya Angin.

Buku tentang penulis yang perlu dibaca oleh penulis | Saya mencadangkan buat semua orang yang hendak menulis membaca buku Catatan Perjalanan Seni Zurinah Hassan tulisan Sasterawan Negara Zurinah Hassan. Dalam buku ini, beliau berkongsi pengalaman dan kehidupan sebagai seorang penulis dan mengupas beberapa isu yang berlaku. Walaupun kini beliau sudah berjaya sebagai seorang penulis dan Sasterawan Negara, namun pengalaman hidupnya merakamkan, bukan mudah untuk menjadi seorang penulis pada awal tahun 60-an. Zurinah menghadapi banyak cabaran. Buku ini boleh menjadi inspirasi, lebih-lebih lagi kepada penulis generasi muda.

Buku yang biasa saja tapi tidak bagi orang lain | Buku yang bercorak keagamaan tetapi terlalu umum kandungannya serta buku motivasi yang mudah kupasannya.

Rancangan bacaan seterusnya | Setiap tahun, dunia kesusasteraan di dalam dan luar negara menyediakan pelbagai hadiah dan anugerah. Antaranya termasuk Hadiah Sastera Perdana Malaysia dan di luar negara, SEA Write Award, Hadiah Nobel Kesusasteraan, Hadiah Booker, dan Hadiah Pulitzer. Saya bercadang untuk membaca novel dan puisi Hadiah Pulitzer 2024, iaitu novel Night Watch karya Jayne Anne Phillips dan kumpulan puisi Tripas oleh Brandon Som.

Beli buku tulisan sendiri? | Sekali-sekala, lebih-lebih lagi untuk dihadiahkan kepada teman-teman.

Rak buku atau pustaka? | Saya masih lagi menggunakan rak buku.

Suasana ideal untuk membaca | Ketika suasana tenang, selalunya pada sebelah pagi.

_________________________

Kenali Siti Zaleha M. Hashim dengan lebih mendalam melalui Dewan Sastera Bil.02/2025. Beli majalah Dewan Sastera Bil.02/2025 versi PDF di sini atau versi bercetak di sini.

Kredit Foto: Yatt Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi