Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dua penulis kelahiran utara, Osman Ayob dan Siti Zaleha M. Hashim, masing-masing dinobatkan sebagai penerima SEA Write Award atau Anugerah Penulis Asia Tenggara dari Malaysia, 2022 dan 2023.
Dalam sidang media yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari sebentar tadi, Osman yang berasal dari Yan, Kedah, dinamakan sebagai penerima SEA Write Award (Malaysia) 2022.
Osman yang berusia 73 tahun mula menulis sejak tahun 1975 menerusi cerpen pertama yang tersiar dalam akhbar Berita Harian pada Mac 1975.
Beliau menulis pelbagai genre, antaranya termasuklah cerpen, novel, selain novel kanak-kanak, esei dan cerita rakyat. Pada tahun lalu, Osman dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Kedah.
Kumpulan cerpennya, Bayangan Silam (DBP, 2009) pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia, selain beberapa anugerah lain untuk karya eceran dan novelnya, seperti Hadiah Utama Sayembara Cerpen Esso-GAPENA, Hadiah Utusan Cerpen Public Bank, Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP, dan Hadiah Novel Yayasan Sabah-GAPENA IV.
Novel remajanya, Meniti Impian (DBP, 2014) pernah diangkat sebagai novel Komponen Sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tingkatan 2.
Sementara itu, Siti Zaleha, 71 tahun, yang berasal dari Taiping, Perak, diumumkan sebagai penerima SEA Write Award (Malaysia) 2023. Siti Zaleha yang juga pesara DBP baru saja dinobatkan sebagai Sasterawan Perak hujung tahun lalu.
Lebih dikenali sebagai penyair, karya Siti Zaleha sudah mewarnai landskap sastera tanah air sejak era 1970-an. Beliau terkenal menerusi puisi “Sesetia Malam pada Siang” (1982) yang pernah dilagukan oleh Kopratasa dan dipilih sebagai puisi kajian dalam buku teks 1990-an. Puisinya “Sesekali” juga pernah diadaptasi sebagai telefilem terbitan RTM.
Selain penulisan sajak yang mengangkatnya dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia, beliau juga menghasilkan cerpen, syair, pantun, rencana, drama radio, skrip rancangan televisyen, serta terjemahan cerpen dan novel.
Beliau menghasilkan kumpulan puisi Camar di Cangkir Bumi (DBP, 1999); Kristal di Laut Bulan (DBP, 2006, pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia); Kapal Kertas dan Lautan Api (ITBM, 2012); dan Masuk ke Dalam Awan (DBP, 2019).
SEA Write ialah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan yang diwujudkan sejak tahun 1979 oleh Kerajaan Thailand untuk tokoh penulis dari negara rantau ASEAN, iaitu Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam.
DBP selaku Sekretariat Tetap Anugerah Penulis Asia Tenggara Malaysia bertanggungjawab menguruskan pencalonan bagi negara Malaysia.