Diterbitkan pada 20 April 2026, 18:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku urus setia Anugerah Sastera Negara (ASN) komited memperkukuh kredibiliti proses pemilihan tokoh Sasterawan Negara ke-16.

Langkah ini diambil bagi memastikan pengiktirafan tertinggi negara itu kekal relevan untuk mengangkat martabat dunia kesusasteraan tanah air.

YBrs. Puan Roziah Md Yunus

Melalui perkongsian dalam program Berita Aktiviti DBP Di Sana-Sini, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP, YBrs. Puan Roziah Md Yunus berkongsi mengenai penubuhan ASN yang diperkenalkan sejak tahun 1979, yang merupakan penghormatan tertinggi kerajaan Malaysia kepada sastera negara.

“Sejak penubuhannya oleh Perdana Menteri, YAB Tun Hussein Onn, sebanyak 15 tokoh telah dinobatkan sebagai Sasterawan Negara (SN).

“Kini, tumpuan sepenuh akan diberikan bagi mengenal pasti tokoh yang layak dijulang sebagai SN ke-16,” jelas Roziah.

Roziah Md Yunus menjelaskan bahawa mandat DBP bukan sekadar bertindak sebagai urus setia pentadbiran, malah berperanan sebagai pemelihara dunia sastera.

“DBP berfungsi sebagai jambatan yang menghubungkan pemikiran tokoh sastera dengan masyarakat melalui empat fasa utama pelaksanaan, iaitu pemakluman pencalonan, penerimaan pencalonan, proses penilaian, dan majlis pengurniaan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Mengulas mengenai aspek ketelusan, Puan Roziah menegaskan bahawa bagi menjamin kualiti pemilihan yang berprestij tinggi, Jawatankuasa Penilaian telah dilantik secara rasmi oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang terdiri daripada gandingan sasterawan terkemuka, ahli akademik serta tokoh bahasa berpengalaman yang memikul amanah besar bagi menilai setiap calon secara adil dan saksama.

“Penilaian tersebut dilakukan secara holistik, merangkumi kekuatan laras bahasa, impak pemikiran tokoh dalam membina jati diri negara bangsa, serta sejauh mana sumbangan dan pengiktirafan yang telah diterima, baik pada peringkat kebangsaan mahupun pada peringkat antarabangsa,” jelasnya.

Roziah Yunus turut menghuraikan kepentingan transformasi dalam tatacara pemilihan SN tahun 2026 yang telah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 30 Januari 2026.

Beliau menekankan bahawa sastera tidak hanya bersifat statik, malah mampu berkembang mengikut masyarakat, teknologi dan cara berfikir, selain tatacara pelaksanaan.

Evolusi tatacara ini sebenarnya telah bermula sejak tahun 1988 bagi menjamin kualiti penganugerahan, bermula dengan mandat awal mesyuarat jemaah menteri meluluskan tatacara rasmi yang memperincikan proses pelaksanaan dan pemilihan tokoh.

Seterusnya, pindaan kedua tatacara (2004) dilakukan bagi memastikan proses penganugerahan kekal selari dengan dinamisme dunia kesusasteraan ketika itu, dan versi terbaharu (2026) merupakan pindaan terkini bagi memastikan keputusan barisan panel penilai yang konkrit dan jitu, sekali gus mengangkat tokoh yang  diperakui benar-benar memberikan pengiktirafan kepada negara bangsa.

“Pindahan berkala ini bukan sahaja bertujuan mengekalkan kredibiliti dan integriti ASN, malah bertindak sebagai mesej jelas kepada masyarakat bahawa pengiktirafan ini merupakan satu perkara yang amat serius.

“Melalui transformasi versi 2026 ini, DBP memastikan proses penganugerahan kekal relevan, adil dan benar-benar menghargai penggiat sastera yang menjadi simbol jati diri negara bangsa,” tambahnya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi