Oleh Karmila Azmi
24 Disember 2024, 07:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Nilai hadiah Anugerah Sastera Negara (ASN) dan hadiah sastera peringkat negeri seharusnya ditingkatkan, selari dengan keperluan ekonomi semasa.

Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, DBP sebagai punca kuasa pada pembangunan sastera di Malaysia mungkin boleh meningkatkan hadiah yang diterima oleh penerima ASN yang membawa gelaran Sasterawan Negara itu ditambah menjadi RM100,000.

Malah katanya, hadiah sasterawan negeri yang ketika ini kebanyakannya memberikan RM20,000, ditambah kepada RM50,000.

“DBP ialah punca kuasa kepada pembangunan sastera di Malaysia dan ia bertanggungjawab memupuk bakat sastera di kalangan penulis dan karyawan dan ia dijalankan antaranya menerusi Anugerah Sastera Negara yang ketika ini menawarkan RM60,000.

“Walau bagaimanapun, jumlah itu haruslah dipertingkatkan, hal ini selari dengan perkembangan ekonomi semasa.

“Apatah lagi ada pelbagai kategori dalam hadiah sastera yang masih mengekalkan jumlah yang sama, walaupun bertahun-tahun diadakan.

“Kadangkala yang saya lihat, ‘pihak berkuasa’ itu tidak mahu meningkatkan jumlah hadiah walaupun kerajaan negeri bersedia,” katanya, ketika tampil dalam sesi forum mengupas tajuk “Peranan Punca Kuasa dalam Pembangunan Sastera” sempena Sidang Kemuncak Penulis Malaysia (SKPM) III di Royal Park Hotel di sini, minggu lalu, dalam sidang yang dikendalikan oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, Saifullizan Yahaya.

Datuk Dr. Jeniri Amir

Selain Jeniri, sesi itu juga menjemput Pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Prof. Hashim Ismail dan Sasterawan Negara, Datuk Rahman Shaari.

Sementara itu, Hashim ketika mengupas tajuk yang sama berkata, punca kuasa pembangunan sastera tidak boleh ditakrifkan pada dana semata-mata, sebaliknya punca kuasa boleh membabitkan personaliti atau “rangkaian” yang membolehkan sastera itu terus berkembang.

Katanya, tajuk mengenai punca kuasa dan pembangunan sastera jarang-jarang dikupas walaupun sebenarnya sangat signifikan.

“Kita selalu mudah menyebut punca kuasa ialah orang yang berkuasa mengenai hal-hal kewangan, tetapi ia bukan saja soal itu sebaliknya turut membabitkan hal-hal mengenai kepimpinan dan pengurusan.

“Malah, penulis juga ialah punca kuasa kerana kita mempunyai autoriti pada karya kita.

“Orang yang berkemahiran ialah punca kuasa,” katanya.

Prof. Hashim Ismail

SKPM III dan Perhimpunan Penulis Muda Nasional IV, anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama beberapa persatuan dan agensi kerajaan diadakan dari 18 hingga 20 Disember lalu.

Kredit Foto: PENA
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.