Diterbitkan pada 25 September 2024, 13:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Ketika menghadiri Majlis Akhir Sayembara Jiwa Merdeka dan Sambutan Pelancaran Sudut Bacaan NU Sentral 2024 pada 7 September lalu, menjentik minda Raja Yusoff Ariffin untuk memperkatakan sesuatu lanjutan daripada program itu.

Bagi saya, usaha penganjur SJM 2024 ini mirip langkah penganjur pertandingan lagu yang terkenal di negara kita sejak tahun 1986, iaitu Anugerah Juara Lagu (AJL).

Pengalaman menyertai beberapa sayembara sebelum ini, banyak membantu Wan Muhammad Hanif Wan Abd. Hamid menghasilkan sajak yang memenangi Hadiah Pertama Sayembara Jiwa Merdeka, anjuran Pusat Membeli-belah NU Sentral, Kuala Lumpur dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kemenangan yang membolehkan Pegawai Tadbir, Bahagian Perindustrian, Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang itu membawa pulang wang tunai RM2,500 diumumkan semasa Majlis Akhir Sayembara Jiwa Merdeka dan Sambutan Pelancaran Sudut Bacaan NU Sentral 2024 pada 7 September lalu.

Walaupun menurut Wan Muhammad, sajaknya yang berjudul “Tekad Jiwa Merdeka” dihasilkan dalam masa singkat dan saat-saat terakhir, tetapi tetap berbekas kerana masih mampu menepati kriteria tema kemerdekaan sayembara berkenaan, iaitu “Jiwa Merdeka”.

Daripada lebih 483 penyertaan dari seluruh negara, enam buah sajak dipilih oleh YBrs. Dr. Mohamad Shahidan (Ketua Hakim), penulis lirik terkenal Hairul Anuar Harun, dan penyair/pengkritik Muhammad Za’im Mohamad Yusof sebagai panel hakim, ke peringkat akhir.

Lima buah sajak lain yang menjadi finalis ialah “Mengikis Nama Pengkhianat” karya Siti Zaiton Ahmad (meraih tempat kedua), “Di Balik Derita, Tersingkap Merdeka” Georgina Guinerve Anak Leslie (tempat ketiga), “Pelataran Nikmat Kemerdekaan” Adam Bakhtiar Buck Lee (sagu hati pertama), “Darah Merah di Tanah Hijau” Putera Muhaymin Hamizan (sagu hati kedua), dan “Rukun Merdeka” Muhammad Firdaus Abdul Rahim (sagu hati ketiga).

Tempat kedua meraih RM2,000 dan tempat ketiga pula menerima RM1,000. Sementara itu, tiga penerima sagu hati membawa pulang RM500.

Menariknya, Wan Muhammad, Siti Zaiton, Georgina Guinevere, Adam Bakhtiar, Putera Muhaymin, dan Muhammad Firdaus diundang untuk mendeklamasikan sajak masing-masing dalam majlis akhir sayembara berkenaan di Aras G, Ruang Legar Utama, NU Sentral.

Meskipun yang dinilai oleh panel hakim hanyalah sajak yang wajib karya asli dan belum pernah diterbitkan dalam mana-mana media, tetapi penampilan karyawan terbabit dapat menghidupkan karya di pentas, dan membawanya ke tengah-tengah masyarakat, apatah lagi di pusat membeli-belah yang menjadi tumpuan ramai.

Jika tidak pun seratus peratus bertepatan dengan tujuan Sayembara Jiwa Merdeka 2024 (SJM 2024) yang terbuka kepada semua warganegara Malaysia berusia 18 tahun ke atas ini, pelaksanaan program ini tetap berkaitan dan boleh memberikan kesan baik.

Bagi saya, usaha penganjur SJM 2024 ini mirip langkah penganjur pertandingan lagu yang terkenal di negara kita sejak tahun 1986, iaitu Anugerah Juara Lagu (AJL). Oleh sebab lagu yang dinilai, hasil karyanya boleh didengar dan diadili oleh panel hakim, tanpa dinyanyikan dalam sebuah majlis tertentu kerana pertandingannya bukan pertandingan penyanyi.

Walau bagaimanapun, untuk memeriahkan dan juga membawanya kepada peminat, maka diadakan peringkat akhir yang lebih popular dengan panggilan AJL itu.

Begitu juga dengan SJM 2024 ini. Cuma bezanya, AJL memberikan penghargaan kepada penyanyi dengan hadiah untuk kategori Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik dan Penyanyi Pilihan (penaja), tetapi SJM 2024 tidak (kerana itulah penulis tidak diwajibkan menghafal sajak masing-masing).

Wan Muhammad Hanif Wan Abd. Hamid mendeklamasikan sajak karyanya, “Tekad Jiwa Merdeka”.

Tidak dinafikan, berbanding Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK), anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) sejak tahun 1987, kualiti pendeklamasian para peserta sayembara ini lebih rendah. Antara sebabnya ialah mereka tidak menghafal sajak masing-masing, sebaliknya dibenarkan melihat teks karya berkenaan semasa mendeklamasikannya.

Namun begitu, persembahan mereka tetap istimewa kerana penulis asalnya yang menjadi peserta akhir, mendeklamasikan sajak karya sendiri, bukan karya orang lain sebagaimana peserta akhir SDPK.

Justeru, untuk SJM akan datang (harap dianjurkan lagi), mungkin lebih menarik jika para penulis yang tampil dalam majlis akhir diberikan hadiah Persembahan Deklamasi Terbaik dan Vokal Terbaik. Sehubungan itu, elok juga mereka diwajibkan menghafal sajak masing-masing.

Pertama-tama atau awal ke arah itu, tentulah kita mengharapkan yang Sayembara Jiwa Merdeka ini dapat dijadikan acara tahunan, sebagai penambah pada kemeriahan menyambut kemerdekaan negara dengan acara yang “berisi”.

Secara keseluruhannya, SJM 2024 bertujuan untuk memperkembangkan bakat sastera dalam bahasa kebangsaan, selain menyokong satu daripada nilai teras Malaysia MADANI, iaitu teras daya cipta yang merujuk pembaharuan dan pengupayaan modal insan bagi menjelmakan daya cipta manusia.

Perasmian penutupan SJM 2024 dan penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Johari Md. Hassan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP.

Turut hadir, Encik L. Izwan Abdullah, Pengurus Kanan Pemasaran NU Sentral; YBrs. Tuan Haji Mohd. Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP; Puan Roziah Md. Yunus, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, DBP; dan YBrs. Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah, DBP; Hairul Anuar serta disaksikan oleh lebih 100 orang pengunjung.

Haji Md. Johari turut menyempurnakan pelancaran Sudut Bacaan NU Sentral 2024 bersama-sama dengan Izwan.

YBrs. Tuan Haji Md. Johari Hasan (kanan) dan Wan Muhammad Hanif Wan Abd. Hamid selepas pelancaran Sudut Bacaan NU Sentral 2024 pada 7 September lalu.

Majlis Akhir SJM 2024 turut diserikan dengan dendangan dua buah lagu puisi, termasuk Doa Buat Gaza oleh Kimal daripada kumpulan di bawah naungan Luncai Emas Sdn. Bhd., iaitu Margasatwa.

______________________________

Raja Yusoff Ariffin merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), mantan rakan Tajulmedia Melayu dan mantan ahli Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Raja Yusoff pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Kredit Foto: Raja Yusoff Ariffin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi