1 Ogos 2023, 09:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Kangsar – Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) bersama-sama Majlis Kebudayaan Daerah Kuala Kangsar (MKDKK) dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Kuala Kangsar telah menganjurkan “Bengkel Budaya Warisan Puisi Tradisional: Syair, Pantun, Gurindam dan Sajak” pada 30 Julai 2023 di Resort Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar.

Bengkel ini diadakan bertujuan untuk memberikan ruang dan peluang kepada generasi muda khususnya bagi mendalami ilmu deklamasi sajak dan dendangan syair. Peserta yang menghadiri bengkel ini terdiri daripada pelajar SMK Simpang Beluru, SMK Temenggong Kati, SMK Raja Muda Musa dan SMK Clifford, Kuala Kangsar. Tidak ketinggalan ahli Persatuan Seni Permata Kinta Perak juga turut menghadiri bengkel ini.

Haji Borhan Md Zain dari Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) dan Azmi Ismail yang sinonim dengan gelaran “Sifu Azmi” diundang untuk membimbing bengkel deklamasi sajak. Banyak maklumat yang dikongsikan oleh mereka dalam bengkel ini antaranya termasuklah persiapan yang diperlukan oleh seseorang deklamator sebelum naik ke pentas dan ketika berada di atas pentas untuk membuat persembahan.

Sifu Azmi sedang menggayakan deklamasi sajak yang betul untuk para peserta bengkel.

Hafalan dan penghayatan puisi menjadi syarat utama bagi deklamator dalam persembahan mahupun sayembara. Ketika persembahan berlangsung, kawalan diri dan bersikap tenang di atas pentas merupakan kelebihan bagi seseorang deklamator.

Haji Borhan Md Zain sedang memberikan bimbingan dan panduan untuk para bakal deklamator.

Pembimbing juga memperincikan kriteria yang dinilai oleh barisan juri semasa sayembara deklamasi puisi, iaitu termasuklah kehebatan, kebijaksanaan dan keunikan deklamator. Seseorang deklamator yang hebat dan bijak mampu menggabungkan pelbagai mood dalam sesebuah puisi sesuai dengan mesej yang disampaikan.

Oleh itu, pemilihan jenis nada sajak amat penting sebelum acara bermula bahkan menjadi wajib bagi deklamator menentukan sajak yang dideklamasikan itu sama ada bernada patriotik, romantik, melankolik, sinis atau protes. Hasilnya, ketika mendeklamasikan sajak, nada suara akan berubah-ubah mengikut mood atau perasaan yang dibawa hinggalah dapat dipelbagaikan nadanya dan akhirnya menjadi suatu persembahan deklamasi yang memukau.

Bengkel dendangan syair pula telah dibimbing oleh YBhg. Datin Shahnoor Zahurin. Sesi ini telah diisi dengan pengenalan beberapa irama syair, antaranya termasuklah irama Selendang Delima, irama Tuk Kenali, irama Perantau, irama Narasi, irama Mayang, irama Batu Belah, irama Hiasan, irama Perindu, irama Dodoi dan irama Dandan Setia.

Dalam ucapan penutupan, Puan Suzana Mat Saleh, Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Kuala Kangsar (MPKK) menyatakan bahawa puisi tradisional yang berkembang dari dahulu hingga kini merupakan warisan masyarakat Melayu yang perlu dilestarikan agar tidak hilang ditelan zaman. Turut hadir dalam majlis penutupan ini antaranya termasuklah Puan Khairul Anum Mohd Ali, Timbalan Pengarah DBPWU, dan Puan Halimaton Saadiah Akhiruddin, wakil PPD Kuala Kangsar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.