5 Mac 2024, 09:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Semasa menonton filem di pawagam, kita boleh mengawal diri daripada bercakap-cakap atau berbual-bual rancak. Kita malah marah jika penonton lain berbuat bising. Walau bagaimanapun, Raja Yusoff Ariffin bertanya mengapa hal itu tidak berlaku semasa acara baca puisi?

Memang tidak boleh memaksa semua orang memberikan tumpuan ke pentas. Walau bagaimanapun, kekalutan dan hingar-bingar boleh dibendung atau dikurangkan oleh kesedaran sendiri.

Acara pendeklamasian puisi, atau istilah popularnya, baca puisi, adalah antara kaedah memasyarakatkan puisi dalam kalangan masyarakat di negara kita, selain dendangan lagu puisi.

Ada acara baca puisi yang khusus untuk pendeklamasian puisi dan nyanyian lagu puisi dengan pelbagai nama tetap seperti Baca Puisi PENA yang membawa tema berlainan setiap bulan.

Ada juga Sepetang Santai Seni Kuala Lumpur anjuran Persatuan Penyair Malaysia, Suara Kuala Lumpur (anjuran Nusa Centre dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dan Baca Puisi Pemuisi (Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia/PEMUISI) yang bukan acara bulanan.

Beberapa tahun dahulu, ada Baca Puisi Madrasah Seni (BPMS), anjuran Seniman Paksi Rakyat (PAKSI), Baca Puisi Bumbung (PAKSI dan Institut Darul Ehsan), Bicara Puisi Bukit Nanas (BPBN), dan Jejak Warisan (Tajulmedia Melayu) secara bulanan. Penulis pernah terlibat sebagai antara tenaga penganjur BPMS, BPBN dan Jejak Warisan.

Kesemua acara yang disebutkan ini sudah menjadi sejarah, dan besar kemungkinan tidak akan muncul semula. Namun begitu, kalau ada kudrat dan kemahuan, BPBN atau Jejak Warisan boleh dimunculkan semula.

Sebagaimana yang dimaklumi dan dapat dilihat sejak sekian lama, baca puisi turut menjadi penyeri atau selingan dalam acara-acara besar lain. Penulis sendiri kerap muncul mendeklamasikan puisi dalam acara-acara sedemikian sebagai memenuhi undangan rakan-rakan yang menjadi penganjurnya.

Sambutan hadirin untuk baca puisi bulanan tidak sama. Ramai atau sebaliknya, atas sebab-sebab yang tersendiri. Biasanya sambutan hangat jika ada artis terkenal dijemput, sama ada membaca puisi atau menyanyi. Hal ini turut bergantung pada siapa deklamator atau penyair yang diundang.

Berbanding baca puisi lain, tiada siapa boleh menyangkal bahawa Baca Puisi PENA yang telah dianjurkan sejak era 1990-an lagi merupakan acara baca puisi paling terkenal, dan menerima kehadiran yang paling ramai setakat ini – sentiasa ramai pada saban bulan.

Walaupun pernah mengalami suasana suram beberapa ketika kerana kurang sambutan, tetapi Baca Puisi PENA bangkit semula lantaran beberapa usaha penambaikan oleh PENA atau nama penuhnya Persatuan Penulis Nasional Malaysia sebagai penganjur.

Justeru, Baca Puisi PENA kekal bertahan, dan dengan sambutan yang masih hangat, tidak mustahil baca puisi mereka akan terus dianjurkan sampai bila-bila, selagi PENA wujud dan bergiat cergas.

Sungguhpun begitu, lebih menarik, bermakna dan bermanfaat sekiranya kelakuan semua hadirin acara baca puisi di mana-mana juga sama seperti kelakuan para penonton filem di pawagam.

Memang tidak boleh memaksa semua orang memberikan tumpuan ke pentas. Walau bagaimanapun, kekalutan dan hingar-bingar boleh dibendung atau dikurangkan oleh kesedaran sendiri.

Masakan tidak menyedari bahawa amat manis dan wajar jika tiada kedengaran suara-suara perbualan dan gelak tawa hadirin yang melampau sepanjang acara, terutama semasa deklamator/penyair/penyanyi “bersungguh-sungguh” beraksi di pentas.

Penulis masih ingat Allahyarham Tengku Dato’ Alauddin Tengku Majid atau nama pena beliau, E. Tan Alauddin, mantan “orang kuat” Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia, dan Allahyarham Wan Omar Wan Ahamed yang lebih dikenali sebagai Sutung Umar RS (mantan editor Dewan Sastera), pernah menegur penonton yang bercakap-cakap atau berbual-bual kosong ketika puisi disampaikan.

Kata mereka, kalau penonton tidak mahu mendengar, mengapa datang? Lebih malang, penggiat dan peminat sendiri tidak menghiraukan. Apakah yang dapat diharapkan daripada bukan penggiat/peminat?

Barangkali, ada yang mengatakan bahawa berlonggok di sana dan di sini, berbual-bual sambil makan minum dan menghisap rokok, serta bergambar dalam acara berkenaan itu hak masing-masing. Namun demikian, perlakuan itu tetap tidak wajar, dan jelas menggambarkan tiada penghargaan, malah yang beraksi di pentas berasa “disakiti” kerana tidak dihiraukan.

Penulis, malah kita semua yakin jika tiada minat, para hadirin berkenaan tidak akan hadir. Mengapa mereka perlu hadir kalau tidak berminat? Setelah hadir, kenapa berubah tujuan? Mengikut logik, hal ini sama seperti menonton filem di pawagam. Waraskah membayar tiket untuk menonton cerita dan/atau para pelakon yang tidak diminati?

Sekali fikir, seperti boleh diterima alasan bahawa dalam acara sedemikian baru boleh bertemu kawan-kawan, untuk berborak sambil menikmati juadah yang penganjur turut sediakan.

Walau bagaimanapun, penulis dapati mereka yang menggunakan alasan tersebut memang kerap bertemu dalam mana-mana acara – sudah takdir pula bahawa hadirin acara sastera juga budaya di negara kita berlegar-legar dalam kalangan orang yang sama.

Tidak lama dahulu, penulis pernah terfikir satu cara untuk menarik perhatian setiap hadirin terhadap pendeklamasian puisi di pentas. Caranya ialah memberikan salinan puisi yang disampaikan kepada setiap hadirin agar mereka sama-sama menghayati.

Namun begitu, cara sedemikian sukar dilaksanakan, antaranya kerana tidak pasti berapa jumlah hadirin dari awal sebelum acara bermula untuk disediakan salinan yang mencukupi.

Selain itu, jika hadirin asyik menatap salinan puisi tersebut, mereka tidak dapat melihat pula gaya pendeklamasian – hanya sekadar mendengar suara deklamator atau penyair.

Penulis juga belum dapat melihat hal ini diamalkan di mana-mana. Malah, hal ini tidak menjadi amalan yang barangkali disebabkan oleh dua faktor yang penulis sebutkan tadi.

Tahun 2024 sudah masuk bulan Mac. Baca Puisi PENA masih dianjurkan. PEMUISI juga terus menganjurkan acara puisinya. Semoga ada perubahan positif dalam apresiasi para audiensnya!

Kredit Foto: Raja Yusoff Ariffin

______________________________

Raja Yusoff Ariffin merupakan ahli Persatuan Penulis Kuala Lumpur (KALAM), mantan rakan Tajulmedia Melayu dan mantan ahli Seniman Paksi Rakyat (PAKSI). Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), dan kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016). Raja Yusoff pernah memenangi Tempat Ketiga dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena Sambutan 40 Tahun Perpustakaan Negara Malaysia, Hadiah Karya Bestari (1998), Tempat Ketiga dalam Peraduan Menulis Esei Sempena Sambutan 20 Tahun Harakah (2007), Sagu Hati dalam Pertandingan Menulis Sajak sempena 40 Tahun GAPENA (2012), Hadiah Karya Darul Ridzuan V kategori rencana sastera (2016), Hadiah Sastera Darul Ridzuan VI kategori rencana sastera (2018), dan Tempat Kedua bagi Pertandingan Mencipta Pantun “Beraya di Kampung Warisan Melayu” Satu Property (2020).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.