Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBentong – Pada hujung minggu yang lalu, bertempat di Sentosa Janda Baik telah diadakan Pesta Puisi Sentosa. Pesta ini bertujuan menyemarakkan kembali pusat peranginan eksklusif ini dengan bait-bait puisi serta mempertemukan karyawan pelbagai latar belakang. Sentosa Janda Baik telah mencapai usia 50 tahun dan sudah tentu lokasi peranginan ini benar-benar memiliki nostalgia kepada pemiliknya.
Sebagai mukadimah, YBhg. Tan Sri Kamarul Ariffin tidak dapat menyembunyikan rasa rindunya kepada teman-teman seperjuangan yang telah pergi, antaranya Allahyarham Sasterawan Negara (SN) Usman Awang. Menurutnya lagi, Usman Awang amat menghargai usaha yang dilakukan oleh beliau khususnya sebagai medan menemukan karyawan dan berpuisi di sini. Oleh itu, semangatnya untuk mengadakan acara sebegini berkobar-kobar.
Kehadiran SN Siti Zainon Ismail, membangkitkan kembali nolstagia ketika memperjuangkan dan memartabatkan seni benar-benar membawa para tetamu larut dengan kenangan yang dikongsikan. Beliau menutup perkongsiannya dengan mendeklamasikan sebuah puisi yang menarik minat para hadirin.
Turut hadir memeriahkan acara ialah Prof. Dato’ Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP juga menarik perhatian tetamu dengan puisi yang disampaikannya berjudul “Sosok Unggul Mancabidang” (Sajak penghargaan kepada Tan Sri Kamarul Arifin).
Pada petang itu juga, Puan Haslina merupakan anak kepada Allahyarham SN Usman Awang yang turut meraikan dengan mendeklamasi puisi ayahnya yang bertajuk “Kekasih” dan puisi nukilannya sendiri iaitu “Hingga Hujung Nyawa” daripada Antologi Sesetia Mahsuri. Beberapa orang tokoh turut hadir menyerikan acara ini , iaitu Tan Sri Johan Jaaffar, Dr. Lim Swee Tin, Raja Azhar Idris (seniman), Syed Hussein Al-Attas (Pak Habib), kenalan rapat dan ahli keluarga terdekat.