Oleh Jack Malik
Diterbitkan pada 29 September 2025, 09:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur Sacred Grounds merupakan sebuah persembahan puisi spoken word berilhamkan biji kopi.

Pelibatan tiga hala antara penganjur, pemuisi dengan pemilik kafe membawa pengalaman berbeza dalam menghayati kopi dan puisi.

Seramai lapan orang pemuisi dipilih untuk mewakili empat jenis biji kopi berbeza yang mempunyai nota rasa (tasting notes) istimewa bagi setiap variasi.

Sacred Grounds merupakan buah fikiran YBrs. Sdri. Chloe Ling, pengasas Stories in Motion, serta usaha sama YBrs. Sdri. Samantha Koh, pengasas The Yellow Comma.

Persembahan pertama Sacred Grounds berlangsung pada 26 April yang lalu di The Crackpots Coffee Roaster, Subang Jaya, manakala persembahan kedua berlangsung pada 27 September di Ghostbird Coffee Company, Seputeh.

Barisan pemuisi yang terpilih berasal daripada pelbagai latar belakang. Bagi Sacred Grounds Vol. 1, pemuisi yang terlibat termasuklah Farah Aiman, Ko Ko, Derek Kho, Amelia Natasha, xinwei, Allison Jong, Aniqist, dan Chloe Ling.

Pameran puisi yang diilhamkan daripada biji kopi pilihan masing-masing.

Biji kopi yang disediakan oleh The Crackpots Coffee Roaster menampilkan empat pilihan luar biasa: Honduras San Vicente Pino de Oro Natural Geisha (nota rasa anggur, bunga-bunga gelap dan coklat); Colombia Hulla Las Querbratidas Yeast Anaerobic Washed (nota rasa laici, pic putih dan minyak wangi); Costa Rica Las Lajas Cumbres del Poas “Alma Negra” Black Soul (nota rasa nanas kering, beri biru dan kacang hazel); dan Ethiopia Sidama Arbegona Rumudamo Washed (nota rasa jasmin, aprikot dan tangerin).

Bagi acara Vol. 2 pula, penonton menyaksikan barisan pemuisi termasuk Jack Malik, Samantha (Sarfields), Lofrine Layam, The Southeast Asian Poet, Bethany Luhong Balan, Jonathan Sim, Yashvin Kumar, dan Chloe Ling.

Pada acara kedua, biji kopi disediakan oleh pemanggang tempatan, Ghostbird Coffee Company, mengangkat produk tempatan iaitu empat variasi berlainan: Sabah Ranau Washed (nota rasa buah biji keras, tebu dan biji koko); Sabah Ranau Anaerobic Natural (nanas, tebu dan bunga); Johor Liberica Sun-Dried Natural (teh, nangka dan longan kering); dan Johor Liberica Anaerobic Natural (beri, kismis dan gula hangus).

Keempat-empat biji kopi ini berasal dari ladang tempatan di Ranau dan Simpang Renggam.

Sesi cicip rasa di Good Coffee Festival MY 2025. (Sumber: Chloe Ling)

Setiap acara Sacred Grounds akan menyediakan pengalaman cicip rasa (cupping) sebelum dan semasa persembahan puisi sedang berlangsung.

Penonton bukan sahaja dapat menyelami nota rasa bagi setiap seduhan, bahkan mendengar dan mendalami setiap bait kata terlontar yang terilham daripada biji kopi yang para pemuisi wakilkan.

Proses seduhan kopi dilakukan menggunakan teknik tapisan (filter coffee) yang menawarkan nota rasa yang jelas. Selain itu, pihak penganjur turut menjadikan ruang kafe rakan kongsi mereka sebagai tapak pameran puisi pada hari persembahan.

Sacred Grounds turut menyediakan jualan zine yang menampilkan “puisi kopi” barisan pemuisi mereka.

Acara ini akan terus diadakan dua kali setahun dan bakal kembali pada tahun hadapan. Sementara itu, penganjur juga dalam perancangan untuk memperkenalkan bengkel penulisan puisi dan sesi bacaan puisi pada masa akan datang.

Untuk mengikuti perkembangan lanjut dan acara akan datang, ikuti Sacred Grounds di Instagram.

Kredit Foto: Jack Malik dan Chloe Ling
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi