30 Mei 2023, 17:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Miri – Sambutan Ulang Tahun ke-18 Hari Bandar Raya Miri telah dimeriahkan dengan Malam Pengucapan Puisi Bandar Raya Miri 2023, bertempat di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, Miri pada 19 Mei lepas.

Program ini merupakan kerjasama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan Majlis Bandaraya Miri (MBM).

Malam tersebut diwarnai dengan pelbagai persembahan daripada penyair tempatan dan luar. Antaranya ialah deklamasi sajak oleh Johan Sayembara Deklamasi Sajak bagi Kategori Umum dan Kategori Sekolah Menengah, persembahan lagu puisi serta dendangan syair.

Persembahan oleh Kumpulan Putra Seni dari negara Brunei Darussalam.

Antara pihak yang membuat penampilan dan persembahan ialah Institut Pendidikan Guru Kampus Sarawak Miri, Sekolah Menengah Jalan Riam, Persatuan Penulis Utara Sarawak (PUTERA), Kumpulan Putra Seni dari negara Brunei Darussalam dan Pustaka Negeri Sarawak Miri, Sasterawan Negeri Sarawak, Encik Zainal Abidin Suhaili (Abizai), dan Sasterawan Negeri Sabah, Tuan Haji Sukor Usin (Hasyuda Abadi).

Pelancaran dan penyerahan buku yang berjudul Antologi Sajak Hari Bandar Raya Miri 2023, Miri Kota Inspirasi turut melengkapi acara pada malam tersebut.

Turut diadakan ialah penyampaian hadiah kepada para pemenang Sayembara Deklamasi Sajak yang telah berlangsung pada 17 hingga 18 Mei yang lalu. Penyampaian hadiah ini disempurnakan oleh Encik Ariffin Mohamad, Timbalan Datuk Bandar, MBM.

Bagi Kategori Umum, johan dimenangi oleh Siti Hasmah Lahapi yang membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500. Tempat kedua pula disandang oleh Quziana Zulaikha Mahnor dengan hadiah wang tunai RM400, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Jane John Dines dengan membawa wang tunai sebanyak RM300. Sagu hati dimenangi oleh Myceasarion Santa Franklin dan Endang Maya Sari Mahadi yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM150. Manakala suntingan video terbaik bagi peringkat saringan dimenangi oleh Roland Anak Mujah dengan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100.

Bagi Kategori Sekolah Menengah pula, johan dimenangi oleh Zuniza Elisa Zulkiflee (SMK Bekenu) dengan hadiah wang tunai RM400. Tempat kedua pula dimenangi oleh Stephanie anak Hendry (SMK Pujut) dengan hadiah wang tunai RM300, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Soh Wei Wen (SMK Lutong) dengan wang tunai sebanyak RM200. Sagu hati dimenangi oleh Selles Mietchu anak Robin (SMK Bekenu) dan Mia Amanda Ura’ Samuel (SMK Long Lama) yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM100. Manakala suntingan video terbaik bagi peringkat saringan dimenangi oleh Mohamad Izzat Juwaidi Junaidi dengan wang tunai RM100.

Pelancaran buku Antologi Sajak Hari Bandar Raya Miri 2023, Miri Kota Inspirasi. Dari kiri: Encik Ja’afar Haji Hamdan (Timbalan Pengarah, DBP Cawangan Sarawak) dan Encik Ariffin Mohamad (Timbalan Datuk Bandar, MBM).

Selain memenangi hadiah wang tunai, kesemua pemenang bagi kedua-dua kategori ini turut membawa pulang hamper, buku terbitan DBP dan watikah pengiktirafan.

Sebelum itu, Encik Ja’afar Haji Hamdan, Timbalan Pengarah, DBP Cawangan Sarawak, dalam ucapan alu-aluannya memaklumkan bahawa DBP sentiasa komited untuk menjalin hubungan kerjasama dengan pelbagai pihak.

Timbalan Datuk Bandar, MBM, Encik Ariffin Mohamad pula menyatakan bahawa program yang dianjurkan oleh DBP dengan kerjasama pelbagai pihak berupaya melahirkan bakat baharu dan penyebaran karya sastera sebagai elemen yang mampu memperkasakan industri pelancongan, kesenian dan kebudayaan di Sarawak.

Turut hadir pada Malam Pengucapan Puisi Bandar Raya Miri 2023 ialah Pemangku Setiausaha Bandar Raya, MBM, Encik Abdul Rahman Taupek, dan Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah, Ustaz Awang Abdul Muizz Awang Marusin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.