Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBanting – Sasterawan Negara YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail menasihatkan para pelajar yang pulang ke kampung untuk mempelawa penulis datang melawat.
“Ini merupakan satu jaringan persahabatan yang menarik. Walau bagaimanapun, jangan sempitkan pemahaman. Di ‘rumah’ bukan bererti di rumah yang sebenar, ‘rumah’ di sini mungkin di kedai makanan ringan atau di restoran.”
Di tempat yang dimaksudkan itu, tambah beliau, boleh diadakan perbincangan untuk menggalakkan percambahan idea untuk menulis puisi.
Siti Zainon menyarankan sedemikian semasa berucap dalam ucaptama “Puisi: Keindahan dan Kejujuran” sempena Hari Puisi Nasional (HPN) ke-23, di Dewan Cemara, Hotel Villea Morib, pagi tadi.
“Pertemuan penulis dengan pelajar ialah peluang keemasan yang boleh dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.
“Cungkil dan gunakan ilmu serta pengalaman penulis berkenaan untuk menghasilkan puisi,” ujar beliau.
Siti Zainon sengaja menyentuh latar desa kerana amat berkait dengan tema, malah menyarankan agar semua penulis dan penyair menghargai kampung sebagai tempat yang masih indah dan jujur untuk penghasilan puisi yang mulus kudus.
Kampung juga merupakan ruang berkomuniti dan semua orang kampung mengenali jiran sekampung.
Oleh itu, beliau menasihatkan agar calon penulis dan penyair membina persahabatan dengan penulis lain.
Rasa cemburu, katanya, memang ada sebelum berkarya.
“Tetapi selepas itu, jadilah diri sendiri. Cemburu atau iri hati perlu ada, tetapi harus yang membawa kepada (semangat) positif, menjadi penggalak untuk tumbuh sebagai penulis.”
Siti Zainon yang turut menasihatkan agar ibu bapa tidak menghalang anak mereka yang berminat menulis puisi.
HPN ke-23 yang berlangsung pada 11 hingga 13 Julai 2025 di Hotel Villea Morib, menyaksikan penggabungan bersejarah antara HPN dengan Hari Puisi Kebangsaan buat pertama kalinya sejak resolusi dimuktamadkan pada HPN ke-21 di Pontian, Johor pada tahun 2021.
Penganjuran kali ini bertemakan “Manusiawi dalam Puisi”, dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).