Diterbitkan pada 22 Julai 2025, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman memberikan reaksi tentang program baca puisi pada Hari Puisi Nasional ke-23 baru-baru ini.

Berapa lama sangat kita mengagumi puisi?

………………..Dalang ii

……….panggung menyamar jadi dunia
……….dan dia dalang di antaranya.
……….gerak mengalir di kulit
……….suara berdengung di rongga ukir.
……….semua watak peminjam,
……….semua dalang pengumpul dunia.
……….pelawak hanya lucu kerana ejekannya,
……….gunting kias hanya memotong dengan gigi bandingannya
……….lagu merdu hanya kerana dia pernah bercinta.

Puluhan tahun karya Muhammad Haji Salleh ini menakjubkan kita, seperti juga puisi “Sidang Roh” karya Kassim Ahmad yang dikatakan menggegarkan kepala imam-imam dan orang-orang agama. Saya belum wujud ketika puisi Kassim itu dihasilkan pada awal tahun 60-an. “Sungai Mekong” oleh Latiff Mohidin dan “Ke Makam Bonda” karya Usman Awang juga dikatakan mempesonakan khalayak sastera selama puluhan tahun.

Kadang-kadang terfikir juga, benarkah sajak-sajak tersebut dikatakan memukau khalayak bertahun-tahun lamanya? Berapa orang saja yang tahu tentang puisi-puisi itu sebenarnya? Atau puisi-puisi itu hanya berlegar dalam kalangan beberapa kerat peminat sastera sahaja? Berapa lama sangat kita mengagumi puisi? Kekaguman dan penghargaan kita pada puisi itu nampaknya semakin luntur akhir-akhir ini. Ketika dunia duit dan harta pangkat makin menghambat, tatkala keadaan ekonomi tidak menentu dan pada banyak ketika agak menekan rakyat, puisi nampaknya tidaklah dipedulikan sangat.

Puisi akan dihargai kalau mendatangkan duit. Jika tidak, tiadalah apa-apa nilai yang akan diletakkan padanya. Malah, puisi akan dipinggirkan secara jelas dan terang-terang. Akan dilenyek-lenyekkan nilainya di hadapan penulis dan penyair sendiri, juga oleh penyair penulis itu sendiri.

Dari awal lagi, acara puisi yang akan diadakan semasa Hari Puisi Nasional (HPN) tidak dirancang dengan baik dan teratur. Tiada perancangan rapi dilakukan untuk majlis puisi yang dibuat itu, kerana alasannya tiada masa yang cukup dan hanya diputuskan pada saat akhir semuanya. Pada mulanya, penyair dihubungi hanya seawal tiga hari sebelum program dan diberitahu supaya mendeklamasi puisi semasa berlangsungnya HPN di Morib nanti. Senarai nama deklamator yang akan membuat persembahan itu dikeluarkan oleh pihak urus setia tanpa apa-apa perbincangan awal. Hanya disenaraikan sendiri oleh urus setia. Dalam masa yang sangat singkat itu jugalah poster dibuat. Ada yang sempat masuk gambarnya. Ada juga yang tidak sempat mengirim foto kerana deklamator dihubungi secara mengejut dan pada saat-saat akhir.

Setakat itulah saja nampaknya nilai puisi di tangan penulis dan penyair kita sendiri. Sudahlah setiap penyair yang diminta tampil mendeklamasikan sajak tidak dibayar sagu hati walau sedikit, acara persembahannya pula sangat bercelaru. Tiba pada malam acara Malam Puisi Pantai Morib pada malam 11 Julai 2025 (Jumaat) bertempat di Medan Selera Pantai Morib, ditambah lagi senarai deklamator yang akan muncul di pentas, daripada 30 lebih kepada 45 orang. Kemudian, diberitahu pula bahawa semua penyair yang ada akan diberikan peluang untuk mendeklamasikan sajak.

Jadi, sudah tidak bergunalah poster yang dibuat sebelum majlis jika semua penyair yang hadir hampir semuanya mahu diberikan peluang tampil ke pentas. Semuanya itu dibuat secara mengejut ketika acara persembahan puisi bermula. Penyair yang mahu dipanggil ke pentas ramai yang tidak diberitahu pun, jadi ada yang tidak dapat tampil kerana langsung tidak bersedia. Ada yang duduk menikmati makanan agak jauh dari pentas acara, tidak mendengar namanya dipanggil. Ada yang dengar nama dipanggil, tapi tidak dapat tampil kerana tidak bersedia. Juga, dijemput seorang penyair mendeklamasikan sajak pada setiap permulaan sesi forum semata-mata kerana mahu menampilkan semua penyair yang ada semasa HPN ke-23 tersebut. Lebih haru dan menyedihkan, malah ada juga penyair yang menunggu-nunggu namanya dipanggil tidak juga berjaya tampil ke pentas, hinggalah Hari Puisi Nasional ke-23 itu tamat pada 13 Julai 2025.

Niat baik penganjur untuk beri peluang kepada hampir semua penyair yang hadir ke HPN ke-23 tampil ke pentas mendeklamasikan sajak memang bagus dan wajar kita puji. Akan tetapi, apa-apa saja acara sepatutnya dirancang rapi lebih awal. Bukan dibuat secara mengejut dan tanpa makluman awal begitu. Apabila mengejut begitu, hanya akan merosakkan acara dan memburukkan nama penganjur sendiri sahaja sudahnya. Nampak sangat kelam-kabut dan begitu tergesa-gesanya.

Lebih elok jika dijemput hanya beberapa penyair tertentu sahaja untuk tampil dalam satu acara dan diberikan sedikit sagu hati persembahan sekitar RM100, itu lebih wajar daripada mahu menampilkan sekian ramai penyair dalam satu program sehingga menjadikan majlis itu haru biru dan bercelaru semuanya, dan langsung tidak dibayar pula.

Dalam program yang seterusnya, berilah peluang kepada penyair lain pula, yang namanya belum ada semasa program sebelumnya. Bergilir-gilir hinggalah semua dapat merasa, tetapi, dalam acara dan program yang berlainanlah. Bukannya diisi semua nama penyair dalam satu program hingga jadi punah ranah acara. Keadaan sebegitu bukan hanya menyusahkan penyair yang mahu ditampilkan, tapi mencelarukan pihak penganjur sendiri.

Bukanlah berkenaan bayaran itu yang saya ingin persoalkan dan jika tiada apa-apa bayaran diberikan kepada setiap penyair pun, sekurang-kurangnya adakanlah sesi persembahan puisi itu betul-betul, dengan lebih bersungguh dan acaranya jelas serta hebahannya luas dan menyeluruh; supaya penulis, peserta, khalayak sastera, dan masyarakat awam benar-benar tahu dan maklum tentang acara itu.

Ini tidak, acara persembahan puisi dalam perhimpunan sastera yang besar dan gah ini hanya dibuat sekadar untuk padat penuhkan masa yang ada sahaja. Bukannya dirancang sebagai satu pengisian yang bermakna. Bayangkan bagaimana perasaan para penulis kita apabila dijemput mendeklamasikan puisi selepas majlis berakhir, ketika Roslan Madun selesai menyanyikan lagu popularnya, Lemak Manis. Itulah acara yang paling pelik yang pernah saya jumpa. Antiklimaks. Ketika orang sudah letih dan hendak balik, pihak urus setia minta penyair yang belum berpeluang mendeklamasi puisi semasa HPN ke-23 itu untuk tunggu dalam dewan dan mengadakan persembahan. Dewan itu pula ialah dewan orang ramai, bukan dewan di tempat penginapan. Agak jauh sedikit dari tempat menginap dan perlu berkenderaan ke sana.

Agak-agak siapa yang akan tunggu? Memang tiadalah jawabnya. Semuanya balik dan tidak sanggup menunggu lagi. Masa yang tidak kena, iaitu ketika tubuh sudah letih dan perut sudah kenyang. Pukul 11.00 malam lebih, siapa lagi hendak berpuisi dan mendengar puisi? Itu ‘kan waktu tidur? Kita mengadakan Hari Puisi Nasional, tapi dalam masa sama kita tidak memberi nilai yang sepatutnya pada puisi, malah merendahkannya sampai ke tahap itu.

_________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015, menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020 dan kini merupakan Ketua Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat Persatuan Penulis Kelantan (PPK) 2023/2025.

Kredit Foto: Birmingham Museums Trust
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi