Diterbitkan pada 14 Julai 2025, 08:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Banting – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Belia dan Kemajuan Sukan, Pemberdayaan Usahawan dan Ekonomi Kreatif serta Pengurusan Bencana, YB Tuan Mohd. Najwan Halimi berucap bahawa aktiviti seni budaya dan sastera bukan sahaja dapat menghidupkan semangat bersatu dalam komuniti, malah dapat mengawal tingkah laku sosial remaja yang semakin ketagih dalam media sosial.

Beliau menyatakan sedemikian dalam teks ucapan perasmian Hari Puisi Nasional (HPN) ke-23 di Dewan Kampung Tali Air, Morib, pada 12 Julai lalu, sebagai wakil Menteri Besar Selangor, YBhg. Dato’ Seri Haji Amirudin Shari.

“Kerajaan Negeri Selangor memang merancang pelbagai usaha untuk memartabatkan seni budaya dan sastera, tetapi yang menggerakkannya ialah aktivis seni budaya, guru sekolah dan juga masyarakat.

“Oleh itu, kami sangat menghargai tindakan-tindakan aktif memperkasakan seni, budaya dan sastera dalam masyarakat.

“Saya bangga dengan sikap dan komitmen Ahli Majlis Daerah Kuala Langat yang begitu proaktif menyusun program ini, yang merupakan satu bentuk sokongan padu kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk memberdayakan usaha pelestarian seni budaya,” ujar beliau.

Selain pengisian untuk golongan pemimpin kampung dan daerah, terdapat juga bengkel puisi dan sastera kanak-kanak yang diyakini mampu membina kecerdasan masyarakat Kuala Langat.

“Usaha sebegini dapat membantu Kuala Langat mengungguli program kesenian di Selangor.

“Untuk HPN ke-23 ini, GAPENA membawa ratusan tokoh seni, budaya dan penggiat sastera untuk mendampingi kita, mengilhamkan dan membuka ruang kepada kita untuk saling bersilaturahmi,” katanya lagi.

Sambil menyatakan sokongan berterusan, Tuan Mohd. Najwan turut berharap selepas HPN, tentunya beberapa kampung di serata Kuala Langat yang terus-menerus dapat menganjurkan program menghidupkan kesenian, kebudayaan dan kesusasteraan masyarakat.

“Melalui PADAT, pemerkasaan seni, budaya dan sastera akan dilakukan secara terancang, dengan sokongan akar umbi dan agensi terlibat.

“Kerajaan Selangor sentiasa terbuka membincangkan kaedah pelaksanaan bagi manfaat warga Selangor,” ujarnya lagi.

Beliau berharap, dengan seruan beliau ini akan membuka peluang luas untuk warga Selangor bergiat aktif dan menghasilkan karya seni yang bermanfaat demi pembinaan tamadun bangsa.

HPN ke-23 yang berlangsung pada 11 hingga 13 Julai 2025 di Hotel Villea Morib, menyaksikan penggabungan bersejarah antara HPN dengan Hari Puisi Kebangsaan buat pertama kalinya sejak resolusi dimuktamadkan pada HPN ke-21 di Pontian, Johor pada tahun 2021.

Penganjuran kali ini dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Selangor serta Dewan Bahasa dan Pustaka.

Turut hadir pada majlis perasmian termasuklah Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara (SN) Dato’ Anwar Ridhwan; SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail; Presiden GAPENA, YBrs. Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan; penerima Anugerah Penyair GAPENA 2025, Sdr. Abdul Ghafar Ibrahim; dan Ketua Kampung Tali Air.

Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi