Oleh Rasoul Manan
8 Julai 2023, 12:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malam Baca Puisi PENA edisi Julai kembali menemui para pencinta sastera dengan menampilkan YBrs. Dr. Muhamad Razak Idris, merangkap Setiausaha Politik Menteri Agama di rumah PENA, semalam.

Dalam ucapan, beliau menjelaskan bahawa hubungan sastera dan peradaban terlalu akrab apatah lagi kerajaan sekarang menekan konsep MADANI kepada masyarakat.

Sastera penting dalam mendidik hati nurani, membentuk dan membina sahsiah manusia.

Dr. Muhammad Razak Idris sedang memberi ucapan dan seterusnya mendeklamasikan sebuah sajak di Malam Baca Puisi PENA, semalam.

Oleh itu, instrumen sastera perlu ditekankan secara menyeluruh seiring kepesatan ekonomi dan arus modenisasi supaya lahirnya masyarakat yang berkualiti.

Selain itu, beliau berharap pihaknya dapat bersinergi dengan PENA dalam menjayakan sayembara, kolokium atau apa sahaja aktiviti yang mampu dilaksanakan dalam merealisasikan konsep MADANI kepada masyarakat.

Sebagai penutup, beliau membacakan sebuah puisi karya SN Usman Awang; “Gadis dan Ayat Suci”.

Selanjutnya, majlis dimeriahkan lagi dengan bacaan puisi oleh Presiden PENA, Dr. Saleeh Rahamad, Fairul Pujangga, dan Datin Barupawati.

Dr. Saleeh Rahamad penuh dengan semangat ketika mendeklamasikan sebuah sajak di Rumah PENA, semalam.

Aktivis teater, Awang Abdullah turut menyerikan majlis dengan bacaan sajak. Beliau bergandingan dengan Mimi GM.

Maslina Yusoff, karyawan DBP mendendangkan sebuah lagu puisi, diikuti Sani Sudin, seorang pelakon dan penyanyi kumpulan terkenal, Kopratasa.

Malam Baca Puisi PENA pada edisi ini turut dihadiri oleh para pelajar dari sekolah negeri Perak, iaitu SMK Tasek Damai, Ipoh dan SMK Chenderiang, serta SMK Seri Puteri.

Sani Sudin dengan aksi bersahaja mendendangkan sebuah lagu puisi untuk para hadirin di Rumah PENA.
Maslina Yusoff dengan penuh penghayatan ketika menyanyikan sebuah lagu puisi.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.