8 September 2023, 16:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bachok – “Seseorang pemuisi perlu berinovasi dalam mencipta karya-karya yang memajukan pemikiran masyarakat”.

Demikian kata-kata yang dilontarkan oleh YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, iaitu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika merasmikan Konvesyen Pemuisi Sedunia (KONPES) ke-2 anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI), Kumpulan UMW serta Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) di sini, semalam.

YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, iaitu Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika merasmikan Konvesyen Pemuisi Sedunia (KONPES) 2023 di Bachok.

Sebagai rekod, KONPES kali ini, melibatkan lebih 250 peserta dari enam buah negara, iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Korea dan China dengan tema yang dipilih pada tahun ini ialah ‘Kemanusiaan Sejagat’.

Beliau memetik kata-kata William Wordsworth, seorang pujangga Inggeris bahawa pengucapan tentang perasaan yang mendalam secara berentak, spontan akan melahirkan suasana tenang.

Oleh itu, dengan menggunakan bahasa yang indah menyebabkan seseorang yang membaca akan menghayati dengan sepenuh jiwa dan melahirkan sifat manusiawi. Begitu juga dengan ungkapan Sasterawan Negara (SN) Muhammad Haji Salleh, bahawa puisi berperanan membijaksanakan para khalayaknya.

Oleh itu, sewaktu beliau menggalas jawatan menteri di Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), beliau telah melancarkan Hari Puisi Malaysia yang diadakan tanggal 13 Jun setiap tahun mulai 2021 dan pada 15 September akan diadakan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM).

Lantaran, apabila dilantik sekali lagi sebagai menteri biarpun berbeza kementerian, beliau tetap memberikan sokongan sepenuhnya dalam aktiviti sebegini yang memberikan banyak faedah dan sekaligus mampu melahirkan masyarakat Malaysia berteraskan konsep MADANI.

Menariknya, penglibatan sektor korporat, seperti Kumpulan UMW, dalam memajukan seni boleh membantu aktiviti berjalan lebih lancar. Pujian seharusnya diberikan kepada Tan Sri Dato’ Sri (Dr) Hamad Kama Piah Che’ Othman yang merupakan penggerak utama dalam aktiviti sebegini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.