Oleh Karmila Azmi
17 April 2024, 16:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

London – Tiga pengarang India menguasai senarai pendek Hadiah Cerpen Komanwel 2024 untuk wilayah Asia.

Menerusi pengumuman yang dibuat oleh Yayasan Komanwel, tiga pengarang itu ialah Ajay Patri menerusi cerpen “Mother May I”, Bharath Kumar melalui “Thambi, Thambi” dan Sanjana Thakur menerusi cerpen “Aishwarya Rai”.

Dalam senarai pendek kali ini, Thakur, 26 merupakan pengarang yang termuda. Panel hakim yang diketuai oleh novelis Uganda-British, Jennifer Nansubuga Makumbi berpandangan, cerpen yang dihasilkan oleh Sanjana Thakur merupakan naskhah yang menawarkan pandangan luar biasa tentang keibuan.

Bharath Kumar, pengarang India.
Sanjana Thakur  menerusi cerpen “Aishwarya Rai” bakal bersaing dalam Hadiah Cerpen Komanwel 2024.

Turut tersenarai ialah pengarang Singapura, iaitu Audrey Tan menerusi cerpen “The Women Upstairs”.

Pengarang Singapura, Audrey Tan.

Selain wilayah Asia, Hadiah Cerpen Komanwel 2024 turut mengumumkan senarai pendek bagi Afrika, Kanada/Eropah, Pasifik serta Caribbean.

Hadiah Cerpen Komanwel dianugerahkan pada setiap tahun untuk karya terbaik fiksyen pendek yang tidak pernah diterbitkan dari mana-mana 56 negara anggota Komanwel.

Tahun ini, sekretariat menerima 414 penyertaan yang dihantar dalam bahasa selain bahasa Inggeris, yakni dalam bahasa Bangla, Mandarin, Kreol, Perancis, Yunani, Melayu, Malta, Portugis, Samoa, Swahili, Tamil, dan Turki.

Pengarang dari tiga negara kecil Komanwel—Mauritius, Rwanda dan St. Kitts dan Nevis turut berada dalam senarai pendek buat pertama kali.

Yayasan Komanwel menerusi kenyataan akhbarnya berkata, mereka menerima sebanyak 7,359 penyertaan untuk tahun ini daripada 53 negara Komanwel, peningkatan sepuluh peratus berbanding tahun lalu.

Kredit Foto: Yayasan Komanwel

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.