Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSempena ulang tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-67, karyawan DBP Saifullizan Yahaya meninjau secara retrospektif perjuangan persatuan penulis dalam menubuhkan sebuah badan yang dikenali sebagai Balai Pustaka dan hari ini lebih gah sebagai Dewan Bahasa dan Pustaka. Seterusnya, akan melihat perkembangan sastera yang telah dilaksanakan oleh DBP sehingga ke hari ini.
DBP boleh diibaratkan seperti pohon yang disemai dan tumbuh gagah di bumi Malaysia pada hari ini. Sastera merupakan dahan utama yang mengindahkan pohon tersebut.
DBP merupakan suatu nama yang lahir daripada suatu gerakan bahasa dan sastera yang bercita-cita tinggi dengan tekad mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam sebuah negara merdeka. Kebangkitan semangat mendaulatkan bahasa Melayu telah bermula di Singapura. Pada waktu itu, Singapura menjadi pusat tumpuan perdagangan, pendidikan dan penerbitan.
Di sanalah, tempat berkumpulnya pemuda-pemuda yang datang daripada seluruh Tanah Melayu, khususnya untuk bekerja terutamanya dalam lapangan penerbitan. Akhbar seperti Utusan Melayu, Utusan Zaman, Melayu Raya, Mastika dan Hiburan serta lain-lain menjadi gerakan kesedaran kepada masyarakat dalam melahirkan sebuah negara yang merdeka.
Selain itu, guru-guru Melayu di Singapura yang mendapat pendidikan di Maktab Perguruan Tanjung Malim dan kemudian pulang mengajar di Singapura, sedar bahawa bahasa Melayu harus menjadi bahasa komunikasi dan bahasa yang akan menyampaikan ilmu kepada generasi merdeka. Oleh itu, para penulis muda mula mengatur gerakan dalam memastikan satu bahasa yang rasmi diangkat sebagai bahasa negara seterusnya menyatukan semua kaum dan etnik. Keris Mas dalam bukunya 30 Tahun sekitar Sastera mencatatkan peristiwa ini;
Datangnya tenaga-tenaga penulis muda yang baru ini ke Singapura menambahkan ramainya kalangan angkatan muda yang dalam jiwa masing-masing bernyala minat hendak memadukan usaha dan ikhtiar dalam lapangan penulisan. Kebanyakan pemuda-pemuda yang resah gelisah dengan cita-cita memperjuangkan bahasa dan kesusasteraan Melayu ini kelihatan tidak mengendahkan apa pun masalah hidup diri masing-masing.
Akhirnya dalam pertemuan dan perbincangan penulis-penulis muda tersebut, tercetuslah gagasan untuk menyatukan cita-cita perjuangan mereka itu di bawa satu angkatan yang diberi nama Angkatan Sasterawan 50 atau ASAS 50 yang secara rasmi ditubuhkan pada 6 Ogos 1950. Perjuangan ASAS 50 adalah untuk menjadi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bagi sebuah negara yang merdeka dan memajukan kesusasteraan dalam bahasa Melayu.
Namun tidak dilupakan dalam era yang sama, di Singapura telah wujud Lembaga Bahasa Melayu yang yang terdiri daripada penulis yang telah mapan. Tahun 50-an dikenali sebagai zaman pergolakan setelah tamatnya Perang Dunia Kedua, menyebabkan British mula membebaskan tanah jajahannya.
Hal ini menyebabkan dalam kalangan wartawan dan guru-guru yang menganggotai ASAS 50 dan Lembaga Bahasa Melayu di Singapura sering mengadakan pertemuan untuk membincangkan kedudukan bahasa Melayu.
Cita-cita untuk menjadi bahasa Melayu dan memajukan sastera Melayu dalam sebuah negara yang merdeka mendapat sambutan yang menggalakkan dari persatuan-persatuan penulis di Persekutuan Tanah Melayu yang ketika itu telah banyak wujud seperti Ikatan Penulis Melayu Melaka, Angkatan Sasterawan Negeri Sembilan, Angkatan Sasterawan Utara Malaya di Pulau Pinang, dan Dewan Persuratan Melayu Pahang.
Hasrat tersebut telah digerakkan dengan diadakan satu “Konferensi Sasterawan Setanahair” yang ingin mengusulkan kepada pihak kerajaan waktu itu untuk mendaulatkan bahasa dan sastera Melayu setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
Pada 12 April 1952, persidangan itu diadakan dengan dihadiri lebih 20 persatuan pertubuhan. Hasil daripada persidangan ini dipersetujui menubuhkan badan gabungan yang akan menggerakkan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang Kedua, iaitu satu kongres yang akan bertindak dari semasa ke semasa untuk mencapai tujuan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang Kedua pada tahun 1954, telah diusulkan untuk menubuhkan sebuah badan seperti di Indonesia yang akan menjaga hal ehwal bahasa dan persuratan.
Hasilnya pada 22 Jun 1956 pihak kerajaan persekutuan yang masih di bawah tadbir urus pihak British bersetuju menubuhkan Balai Pustaka yang berstatus jabatan dan diletakkan di bawah Kementerian Pelajar. Ketika Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu yang Ketiga yang diadakan pada 16 hingga 21 September 1956, hasilnya kerajaan bersetuju dan mendapat penyistiharan bahawa nama Balai Pustaka ditukar secara rasmi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka dengan dua tujuan asas, iaitu:
Sejak itu, DBP melalui Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, 1959 (disemak 1978 dan diperluaskan 1995) telah diluluskan oleh Parlimen memainkan peranan dalam hal ehwal kesusasteraan melalui matlamat kedua DBP, iaitu “melahirkan bakat sastera khususnya dalam bahasa kebangsaan”.
Atas kesedaran itu, DBP telah menerbitkan penerbitan sulungnya, iaitu Aku di Sebuah Pulau (1957) yang merupakan kumpulan cerpen hasil daripada Peraduan Mengarang Cerita-cerita Pendek anjuran Pejabat Karang-Mengarang. Kemudian hasil usaha terjemahan Za’ba, novel tulisan Mark Twain, Anak Raja dengan Anak Papa (1958) pula diterbitkan.
Usaha-usaha awal ini memperlihatkan peranan DBP untuk menyediakan bahan bacaan yang baik dan bermutu kepada bakat-bakat sastera sebagai bandingan untuk menghasilkan karya sastera yang setanding dengan karya sasterawan dunia seperti Mark Twain. Usaha itu tidak terhenti begitu sahaja, DBP terus mempergiatkan terjemahan karya-karya sastera dunia, tugasan ini ibarat serampang dua mata, iaitu memperkayakan lagi korpus sastera dalam bahasa kebangsaan dan juga untuk merangsang penulis-penulis sastera ketika itu.
DBP terus mempergiatkan terjemahan karya sastera dunia melalui bahagian Terjemahan sehingga ditubuhkan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) dan sekarang dikenali sebagai Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM). Dalam masa yang sama, DBP telah turun padang melakukan kajian lapangan dalam merakam cerita-cerita rakyat atau lebih dikenali sebagai cerita lipur lara.
Malah, DBP telah pun mengumpulkan manuskrip-manuskrip Melayu untuk dijalankan kerja-kerja alih aksara dan kemudian diterbitkan sebagai bahan bacaan yang bermutu serta untuk dijadikan kajian oleh para penyelidik khususnya di universiti. Antara contoh karya awal yang diterbitkan hasil alih aksara dari jawi ke rumi ini ialah Hikayat Baktiar (1963), Hikayat Hang Tuah (1964), Hikayat Pandawa Lima (1964), Taj Salatin (1966), Sulalatus Salatin (1979), Syair Siti Zubaidah Perang China (1983), Hikayat Siak (1992), Misa Melayu (1992), Hikayat Khoja Maimun (2000), Undang-undang Laut (2005), Hikayat Pandawa Jaya (2017), Hikayat Ular Nangkawang (2019), Hikayat Ayob dan Syair Nabi Ayob (2022) dan terkini Hikayat Tuan Puteri Saadong (2023).
Selain itu, DBP turut menghasilkan kajian untuk merakamkan sastera Melayu moden seperti yang telah diterbitkan bermula dengan Kesusasteraan Melayu Moden Jilid Satu dan Jilid Dua, Kesusasteraan Melayu Moden (1920-1940), Penelitian Sejarah Kesusasteraan Melayu Moden 1940-1969, Kesusasteraan Melayu Moden 1970-1979, Kesusasteraan Melayu Moden 1980-1980, dan terkini Kesusasteraan Melayu Moden 1990-1999, selain menerbitkan kajian perkembangan berdasarkan genre iaitu dari genre puisi sehingga ke kritikan.
Begitu juga, DBP telah menerbitkan dua buah buku rujukan, iaitu Glosari Istilah Kesusasteraan dan Kamus Kesusasteraan sebagai panduan kepada para penulis dan pembaca yang ingin mengetahui istilah-istilah khusus dalam bidang kesusasteraan.
Namun apa yang penting sebagai badan sastera di Malaysia yang berwibawa, Majalah Dewan Sastera yang diterbitkan mulai Januari 1971 telah menjadi asas kepada peranan DBP dalam ranah perkembangan sastera. Sebagai membuka ruang yang lebih luas kepada bakat baharu, mulai 2001, DBP menerbitkan majalah Tunas Cipta, sebuah medium khususnya untuk penulis-penulis muda berjinak-jinak dalam medan penulisan kreatif.
Sebagai badan yang berperanan dalam mengangkat dan memajukan sastera seperti yang dicita-citakan oleh pejuang bahasa dan sastera telah mewujudkan Anugerah Sastera Negara (ASN) sebagai satu pengiktirafan kepada penulis-penulis Malaysia yang mana karya mereka telah dinilai. Penerima ASN ini yang membawa gelaran Sasterawan Negara. Sejak tahun 1981 dengan penerima pertama oleh Kamaludidn bin Muhamad atau Keris Mas hingga yang terkini, iaitu Rahman Shaari yang menerimanya pada tahun 2022.
Selain itu, DBP turut menjadi urus setia untuk kerajaan Malaysia untuk mencalonkan nama kepada kerajaan Thailand untuk diangkat sebagai Penerima Anugerah S.E.A. di peringkat Asia Tenggara.
Salah satu program pengiktirafan yang turut dilaksanakan oleh DBP ialah melalui Hadiah Sastera Perdana Malaysia yang telah diadakan sejak tahun 1971 dengan dikenali sebagai Hadiah Karya Sastera dan Hadiah Sastera Malaysia. DBP juga telah menganjurkan pelbagai sayembara penulisan baik atas kerjasama mahu terus daripada DBP seperti Hadiah Sastera Berunsur Islam, Hadiah Sastera Siswa – Bank Rakyat, Hadiah Sastera DBP – Maybank, Hadiah Sastera Jubli Emas DBP, dan lain-lain.
Dalam memupuk bakat-bakat muda dan cilik, DBP juga telah menganjurkan program Minggu Penulis Remaja (MPR) sejak tahun 1985 dan MPR telah menjadi salah satu jenama yang melahirkan bakat-bakat penulis mapan pada hari ini.
Untuk mengangkat sastera Melayu atau sastera kebangsaan ke peringkat antarabangsa, DBP melalui Kerjasama serantau di bawa Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang negara anggotanya terdiri daripada Brunei Darussalam, Indonesia, Singapura dan Malaysia telah mengadakan pelbagai program pembinaan, pemgembangan dan pengiktirafan terhadap karya dalam bahasa Melayu yang telah dihasilkan oleh pengarang di negara masing-masing.
Begitulah serba ringkas, peranan yang telah dimainkan oleh DBP sebagai badan yang telah diberikan amanah untuk memajukan kesusasteraan kebangsaan seperti yang diperjuangan oleh para penulis muda seawal tahun 50-an sehingga tertubuhnya DBP yang pada hari ini telah genap usia yang ke-67 tahun.
Namun begitu, seperti sepohon pokok yang tumbuh atas dasar perjuangan gerakan persatuan penulis, DBP harus terus menerus menjadi dahan utama sastera Melayu agar nilai-nilai kebangsaan yang diperjuangan oleh pejuang terdahulu mekar subur dan kekal sebagai lambang jati diri bangsa Malaysia.
Dirgahayu DBP!
Dirgahayu Sastera Kebangsaan!
_________________________
Saifullizan Yahaya merupakan karyawan DBP. Beliau kini menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera. Baru-baru ini, karya beliau telah memenangi Hadiah Sastera Darul Ridzuan ke-7 (HDSR) bagi kategori Karya Perseorangan dalam Bentuk Buku melalui Kumpulan Cerpen Memberikan Telinga.