Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menerima kunjungan hormat dari delegasi China dan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia, pada petang tadi.
Delegasi ini diketuai oleh Chen Yan, iaitu Timbalan Presiden dan Setiausaha Sekretariat Persatuan Penulis China yang juga merupakan pemenang Hadiah Kesusasteraan Mao Dun pada tahun 2019.
Delegasi tersebut disambut mesra oleh Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Anwar Ridhwan serta SN Datuk Dr. A. Samad Said dan SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail bersama-sama pegawai kanan yang lain.
Kunjungan hormat atau Dialog Sutera antara dua negara ini bertujuan untuk membincangkan peluang kerjasama, bertukar pandangan serta merintis projek berkaitan dengan sastera kelak.
Semasa dialog berkenaan, SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan selaku pengerusi dialog berharap agar pertemuan sebegitu akan menghasilkan impak kepada dua negara berkaitan dengan hal sastera. Ujar beliau;
Pada tahun 1986, saya mengikuti Program Penulis Antarabangsa (International Writing Program) di Iowa, Amerika Syarikat dan bergaul mesra dengan beberapa penulis dari China. Oleh itu, apabila dialog sebegini diadakan, saya terpanggil dengan kenangan tersebut dan berharap agar hubungan kerjasama ini akan terus diadakan.
SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan turut mengharapkan penulis-penulis kreatif di Malaysia diberi peluang untuk mengembangkan sayap mereka ke China melalui karya pada masa akan datang, bahkan berharap agar kesusasteraan moden Malaysia akan berkembang di sana.
Wakil China, Chen Yan pula berkata bahawa pertemuan sebegini amat istimewa bagi pihak delegasi kerana mereka boleh berkongsi pandangan dan menggarap idea agar sastera Malaysia dan China dapat diperluas.
Tambah beliau lagi, perkara ini lebih bermakna kerana pada tahun hadapan hubungan diplomatik Malaysia dengan China akan menginjak ke usia 50 tahun.
Setelah itu, Zong Renfa selaku Dekan Pusat Penyelidikan Pengkaryaan Persatuan Penulis Wilayah Jilin, yang juga merupakan Ketua Editor untuk majalah Penulis menjelaskan bahawa di sana terdapat beberapa hadiah atau anugerah berkaitan dengan kesusasteraan. Antaranya termasuklah Hadiah Kesusasteraan Mao Dun, iaitu sebuah hadiah yang paling prestij. Hadiah ini mula diperkenalkan sejak tahun 1982. Pada tahun ini anugerah tersebut bakal memasuki tahun ke-11 penganjurannya. Ujar beliau;
Hadiah ini dinamakan sebagai Mao Dun kerana mengenang jasanya.
Moa Dun atau nama sebenarnya Shen Yen Ping merupakan seorang mantan Menteri Kebudayaan dan penulis legenda di China. Karya beliau yang terkenal ialah Midnight dan Rainbow.
Sebelum itu, delegasi ini turut disertai oleh Xue Shu, Timbalan Presiden Persatuan Penulis Bandar Shanghai; Yang Hui, Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa dan Sastera China, Universiti Shaanxi Normal; Jiang Shengmen, Dekan Pusat Penyelidikan Pengkaryaan Siber, Universiti Wenzhou; dan Li Qiang, iaitu Ketua Bahagian Hubungan Luar (Asia dan Afrika) Persatuan Penulis China.
Pihak DBP yang hadir dalam sesi dialog tersebut ialah Encik Zulfa Hamzah, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi); Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Penerbitan; Encik Abdul Ghani Abu, Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan; Puan Norhafizah Mohamed Husin, Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa; dan beberapa pegawai kanan yang lain.
Dialog ini turut dihadiri oleh Dato’ Goh Hin San dan penulis, SM Zakir. Sebelum bersurai, Puan Zaleha Amat berkesempatan membaca dua buah sajak, “Ingatan di Malam Sunyi” dan “Berpisah dengan Hwang Lin”.